BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, April 09, 2013

Gula-Gula Tingz Sekat Gigi Cepat Rosak

‘Tingz’ sekat gigi cepat rosak
2013-04-07 08:55 Disediakan oleh Berita Harian


Salah satu perisa yang ditawarkan syarikat pengeluar manisan bebas gula.

London: Ibu bapa sering memberitahu anak-anak bahawa memakan terlalu banyak gula-gula menyebabkan gigi cepat reput.

Alternatif bebas gula ialah aspartame - sejenis pemanis tiruan kontroversi yang diluluskan untuk penggunaan dalam makanan dan minuman tetapi menyebabkan kebimbangan potensi kesan sampingan.

Kini sebuah syarikat melancarkan pelbagai manisan bebas gula yang dikatakan bukan hanya 100 peratus semula jadi, namun mengandungi bahan aktif menyekat gigi rosak.

‘Bebas gula’

Gula-gula Tingz keluaran Peppersmith, yang digelar ‘bebas gula dan bagus untuk gigi’ ada perasa termasuk strawberi, vanila, oren dan limau mandarin.

Manisan kecil berbentuk bulat dibuat 100 peratus dengan xylitol, bahan semula jadi yang diperoleh dari pokok birch iaitu polipol atau gula alkohol.

Bahan itu rasanya sama dengan gula namun memiliki 40 peratus kurang kalori dan rendah GI, yang diluluskan secara meluas industri perubatan sebagai ejen bantuan menentang kerosakan gigi.

Di laman web mereka, Peppersmith berkata keupayaan xylitol untuk mengurangkan plak dan kerosakan gigi ditunjukkan dalam ‘beratus-ratus kajian klinikal dan lapangan.’

Ia mengurangkan bakteria berbahaya dalam mulut kepada 90 peratus, kata mereka.

“Ketika ini, manisan mengandungi xylitol diluluskan lebih 15 persatuan pergigian utama di seluruh dunia, termasuk Yayasan Kesihatan Pergigian British dan FDI (Persekutuan Pergigian Antarabangsa),” kata mereka.

Ada bukti di tempat lain untuk menyokong penggunaan preskripsi xylitol. Di Sweden dan Finland, kanak-kanak di sekolah diberikan gula-gula mengandungi xylitol untuk melindungi gigi mereka selepas makan.

Justeru, bagaimana ia berkesan? Di laman web mereka, Peppersmith menggariskan proses itu secara terperinci. Mereka berkata, kerosakan gigi bermula dengan bakteria dalam mulut digelar Streptococcus Mutans.

“Bakteria ini membentuk plak yang melekat pada gigi dan menyebabkannya rosak. Apabila anda makan, gula dalam makanan memberi bakteria itu tenaga dan mereka membiak dan mula menghasilkan asid.

“Apabila pH dalam mulut akhirnya menurun di bawah pH 5.5, permukaan enamel gigi mula larut. Proses sama berlaku setiap kali selepas snek atau makan dan jika ia berterusan, pada akhirnya gigi rosak. - AGENSI