BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Disember 15, 2012

Thailand, Pengadil Korea Selatan Beri Layanan Buruk Kepada Pasukan Malaysia

Layanan buruk daripada tuan rumah, iaitu Thailand dan juga pengadil yang lebih layak digelar pelawak dari Korea Selatan adalah dua perkara terburuk dalam sejarah Penganjuran Piala AFF Suzuki oleh Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Insiden-insiden layanan buruk yang dilakukan oleh kedua-dua negara terbabit, Korea Selatan dan Thailand sebenarnya boleh memberi kesan buruk terhadap hubungan secara emosi antara rakyat-rakyat ketiga-tiga negara.  Kemenangan kotor Thailand 2-0 ke atas Malaysia langsung tidak bernilai apa-apa melainkan hina dan tidak bermaruah.

Thailand nyata telah menang dengan cara yang kotor dan tidak bermaruah, sama ada sengaja atau tidak sengaja. Tidak ada kebanggaan bagi pihak Thailand kerana menang dengan cara yang begitu hina. Malaysia pula tewas dengan bermaruah. Layanan baik Malaysia terhadap pasukan bola sepak Thailand umpama pepatah Melayu, "Diberi susu, dibalas tuba." Thailand ternyata menang dengan cara yang hina. Adakah rakyat Thailand berbangga dengan cara kemenangan yang sebegitu rupa?

KEUNGGULAN SEMANGAT PEMAIN DAN JURULATIH MALAYSIA: Saya tidak kecewa: Raja
2012-12-14 Disediakan oleh Berita Harian


Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha, (depan) diasak pemain Thailand, Piyaphon Buntao dalam saingan separuh akhir kedua di Bangkok, malam tadi.

Jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal tidak kecewa selepas Malaysia gagal layak ke final Piala Suzuki AFF 2012, sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu kerana anak buahnya sudah melakukan yang terbaik.

"Selepas kalah 3-0 kepada Singapura pada aksi pertama peringkat kumpulan, kita berjaya bangkit semula sehingga ke separuh akhir ini. Jadi saya tak kecewa.

“Lagipun kita terganggu menghadapi Thailand dengan lima pemain yang cedera. Tapi pemain sudah tunjukkan yang kita bukan mudah untuk ditewaskan," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Namun pengendali berusia 56 tahun itu tetap menyalahkan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Fadhli Shas pada penghujung separuh masa pertama sebagai punca kekalahan 2-0 kepada Thailand, malam tadi.

"Ya memang kita tahu apabila datang ke sini, Thailand akan beri tekanan untuk mendapatkan gol awal. Kita sudah main baik pada babak pertama terutama dengan permainan fizikal dan berintensiti tinggi.

"Tapi semuanya berubah apabila kita dapat kad merah. Jika tidak, permainan boleh terus seimbang. Walaupun kurang seorang pemain, kita dapat beri tentangan hebat sebelum gol pertama berpunca kesalahan individu, Amar Rohidan dan gol kedua, pertahanan lambat menyambar bola muntah sepakan percuma.

"Memang susah nak bangkit selepas ketinggalan dua gol dan perancangan saya untuk memasukkan Safee Sali lebih awal tidak dapat dilakukan kerana beraksi 10 pemain. Tapi pemain sudah berusaha sedaya upaya.," jelas Rajagobal.


PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA JADI MANGSA ANIAYA: Janji palsu!
2012-12-13 Disediakan oleh Berita Harian


Pemain Harimau Malaya terpaksa menjalani latihan di Stadium Debhasadin dan bukan di Stadium Supachalasai di Bangkok seperti dijadualkan, semalam.

Penganjur pula buat Harimau Malaya marah lagi menjelang separuh akhir kedua

Hanya empat jam selepas penganjur, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) memohon maaf berhubung insiden Harimau Malaya menjalani latihan di padang umpama bendang di Jaran Buraprat, petang kelmarin, skuad kebangsaan sekali lagi 'dipermainkan' pada sesi latihan terakhir, malam tadi.

Pindah gelanggang lagi

Pada mulanya, Harimau Malaya yang bakal berdepan Thailand untuk aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF, malam ini dijanjikan sesi latihan rasmi selama sejam di Stadium Supachalasai, malam tadi tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Ini berikutan tiada sesi latihan dibenarkan di stadium berkapasiti 20,000 penonton itu, semalam, sebaliknya skuad kebangsaan hanya diberi peluang menjalani latihan di gelanggang kelab BEC Tero Sasana, Stadium Thephasadin berkapasiti 6,000 penonton yang terletak betul-betul bersebelahan Stadium Supachalasai.

“Sudah dua hari berturut-turut kita tidak dapat kesempatan berlatih dengan baik. Kita tidak boleh buat apa-apa, hanya perlu fokus sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan.

Hujan jadi penghalang

“Saya hanya berkesempatan selama 20 minit untuk betul-betul mendapatkan apa yang saya mahu lihat daripada pemain.

“Bagaimanapun, jika hujan (malam ini), mungkin susah sedikit menerapkan corak permainan kita,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas latihan, malam tadi.

Terdahulu pada mesyuarat pengurus pasukan sebelum sidang media pra-perlawanan di Hotel Golden Tulip Sovereign, petang semalam, pihak AFF meminta maaf kepada skuad kebangsaan kerana layanan teruk membabitkan padang latihan pasukan, petang kelmarin dan berjanji perkara sama tidak berulang.

Ditanya apakah alasan penganjur untuk tidak membenarkan sesi latihan di Stadium Supachalasai, malam tadi, Rajagobal berkata: "Mereka kata padang terlalu lembut dan akan rosak jika digunakan untuk latihan. Thailand juga tidak dibenarkan berlatih di situ (malam tadi) dan mereka turut berlatih di stadium lain."

Berdasarkan latihan malam tadi, Rajagobal dijangka mengekalkan kesebelasan sama dan formasi 4-5-1 seperti pada aksi pertama, Ahad lalu kecuali S Kunanlan mengisi tempat Baddrol Bakhtiar di sayap kiri, manakala Safee Sali dan Wan Zack Haikal Wan Nor sudah cergas untuk dimasukkan sebagai pemain gantian.


KEPUTUSAN KONTROVERSI PENGADIL KOREA SELATAN: Putih mata!
2012-12-14 Sumber Berita Harian


Teerasil (kanan) yang menyumbang gol pertama Thailand diasak pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok, malam tadi.

Impian Harimau Malaya pertahan mahkota berakhir, Gajah Perang menang agregat 3-1 layak ke final

Impian skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu tidak kesampaian apabila gagal melangkah ke final Piala Suzuki AFF 2012 selepas tewas 2-0 kepada Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, malam tadi.

Keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan, Lee Minhu melayangkan kad merah kepada pertahanan Malaysia, Fadhli Shas pada minit ke-42 ternyata menjadi 'penyumbang' kejayaan Thailand yang mara dengan agregat 3-1 untuk bertemu Singapura pada final timbal balik, 19 dan 22 Disember ini.

Babak pertama menyaksikan kelekaan dua pertahanan Malaysia, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mahalli Jasuli nyaris menghadiahkan gol pendahuluan buat Thailand, mujur rembatan Jakkapan Pornsai pada minit ke-3 dihadang baik penjaga gol, Farizal Marlias manakala percubaan satu lawan satu Teerasil Dangda minit ke-29 sedikit sipi.

Pada minit ke-42, susulan pergeseran ketika perebutan bola tinggi, Fadhli dan pemain Thailand, Datsakorn Thonglao kelihatan saling bertikam lidah menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain tanpa menyedari Fadhli sudah pun mengutip kad kuning pertama pada minit ke-7.

Bersambung babak kedua, Thailand yang biarpun tanpa jurulatih, Winfried Schafer di bangku simpanan akibat digantung ternyata memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi lebih seorang pemain.

Gol pertama Thailand hadir pada minit ke-60 selepas Teerasil mudah merampas bola daripada Amar Rohidan seterusnya pantas melarikan bola dan mengatasi Aidil sebelum tenang melepaskan rembatan menewaskan Farizal di gawang.

Hanya selang empat minit, Thailand menambah gol kedua, kali ini menerusi rembatan pemain sayap, Theerathon Bunmathan ketika keadaan kelam kabut dalam kotak penalti selepas Farizal menepis bola sepakan percuma.

Seminit kemudian barulah jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal memasukkan Faizal Muhamad selepas mendapati gandingan pertahanan Amar-Aidil tidak mampu lagi menahan asakan jentera serangan Thailand.

Bagi segera mendapatkan dua gol untuk mengikat agregat 3-3, Rajagobal akhirnya memasukkan Safee Sali pada minit ke-72 menggantikan Baddrol Bakhtiar, namun sehingga wisel penamat, tiada jaringan terhasil, sekali gus berakhirnya kempen skuad Harimau Malaya kali ini.


LAYANAN BURUK DARIPADA PERSATUAN BOLA SEPAK THAILAND: Padang atau bendang?
2012-12-12 Disediakan oleh Berita Harian


Skuad negara terpaksa menjalani latihan ringan di atas padang yang ditakungi air di Stadium Express-way semalam.

Pengurusan Harimau Malaya buat aduan mengenai layanan buruk tuan rumah

Pihak pengurusan pasukan kebangsaan membuat aduan kepada penganjur Piala Suzuki, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) serta tuan rumah, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengenai keadaan padang latihan Harimau Malaya, yang didapati becak dan layak dipanggil bendang.

“Saya sudah buat aduan kepada pihak penganjur dan FAT. Harap esok (hari ini) dapat padang lebih elok. Tapi anggap ini semua dugaan untuk berjaya,” kata pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya di padang Jaran Buraprat, kira-kira satu kilometer dari hotel penginapan skuad negara, petang semalam.

Kami amat kecewa dengan padang yang macam bendang padi, tempat pemain salin pakaian pun tiada, jaring gol koyak rabak dan orang awam boleh tengok secara terbuka," Subahan Kamal, Pengurus Harimau Malaya

Layanan yang diterima Harimau Malaya agak berbeza dengan layanan lima bintang disediakan Malaysia kepada Thailand ketika berkunjung ke ibu negara untuk perlawanan separuh akhir pertama Ahad lalu termasuk menyediakan padang latihan tertutup dan anggota keselamatan.

Macam bendang padi

Skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan tindakan penganjur Piala Suzuki AFF dan tuan rumah, FAT hanya menyediakan padang awam sebagai tempat latihan di Bangkok, petang semalam.

Biarpun lokasinya hanya satu kilometer dari hotel Golden Tulip Sovereign, keadaan padang Jaran Buraprat itu sepatutnya tidak layak dijadikan padang latihan untuk kejohanan tertinggi peringkat Asia Tenggara itu.

“Kami amat kecewa dengan padang yang macam bendang padi, tempat pemain salin pakaian pun tiada, jaring gol koyak rabak dan orang awam boleh tengok secara terbuka. Jika di Malaysia, main peringkat kampung pun tidak seperti tahap ini.

“Sedangkan ketika skuad Thailand datang ke Kuala Lumpur tempoh hari, kita beri layanan begitu baik, jagaan pihak polis dan padang latihan tertutup (Kompleks Latihan Maybank, Bangi) supaya mereka dapat buat latihan sulit tanpa gangguan,” katanya.

Ditanya adakah ini salah satu taktik atau strategi Thailand untuk melunturkan semangat juang Harimau Malaya, Subahan berkata: "Saya tak tahu. Apa pun, yang berlaku ini tidak menunjukkan semangat kesukanan. Patut layanan lebih baik dan kita sudah rugi sehari tidak dapat menjalani latihan penuh."