BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, November 16, 2012

War Of The World Goliath

 War Of The World: Goliath
Angkat Darjat orang Melayu Menerusi Watak Raja Iskandar Shah
Persepsi Amiene Rev (C) 2012

Filem War of The World: Goliath ini mengangkat darjah orang-orang Melayu sehingga sama taraf dengan bangsa-bangsa terbaik dunia. Menerusi filem War of The World: Goliath ini juga, elemen perpaduan diketengahkan.

Filem War of The World: Goliath memperlihatkan watak Raja Iskandar Shah (suara oleh Tony Eusoff) sebagai seorang putera Melayu yang kuat pegangan agama, beradab sopan, taat setia, berani, bijaksana, tegas, berpengetahuan tinggi, tenang dan berdisiplin dan jauh mengatasi mana-mana tentera ARES.

Ada beberapa babak yang menarik untuk watak Raja Iskandar Shah dalam ARES ini. Pertama, ketika rakan-rakan sepasukan yang bukan Islam mengajak keluar minum pada waktu malam, Raja Iskandar Shah diperlihatkan sebagai seorang yang menjaga hukum-hakam agama. Ketika rakan-rakannya meminum bir di dalam gelas belasr, dia minum teh atau kopi di dalam cawan.

Kedua, Raja Iskandar Shah, putera Melayu, digambarkan sebagai seorang yang memiliki kualiti emosi yang tinggi. Beliau menjawab balik kenyataan seorang askar Irish yang berbentuk hasutan atau provokasi dengan menunjukkan ketinggian tahap ilmunya sehingga askar Irish tersebut terdiam.

Ketiga, Raja Iskandar Shah juga digambarkan sebagai seorang yang menjaga solatnya. Beliau digambarkan bersolat di dalam kawasan kanopi simpanan Tripod, iaitu sut mecha berkaki tiga.

Keempat, Raja Iskandar Shah digambarkan sebagai seorang yang taat setia. Beliau akan patuh pada arahan yang diberikan oleh kapten atau ketua pasukannya.

Kelima, Raja Iskandar Shah juga digambar sebagai seorang yang berani dan handal bertarung. Beliau menewaskan makhluk asing yang besar dan tinggi dengan menggunakan keris.

Keenam, Raja Iskandar Shah digambarkan sebagai seorang yang mempunyai kepercayaan terhadap ketentuan Qada dan Qadar yang tinggi dan menyokong kekurangan watak utama iaitu Eric Wells. Watak Raja Iskandar Shah ini memang menarik perhatian sehingga mampu berdiri sama hebat dengan watak-watak utama yang lain dilakon-suarakan oleh beberapa pelakon dari filem-filem terkenal seperti Adrian Paul, Peter Wingfield, Elizabeth Gracen dan Jim Byrnes from Highlander, Adam Baldwin, Mark Sheppard (Battlestar Galactica), Matt Letscher (Mask Of Zorro), Beau Billingslea (Star Trek 2).