BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 13, 2012

Ramalan Albert Einstein Kini Jadi Nyata - Bahaya Teknologi

Manusia Hamba Teknologi
Pandangan: Amiene Rev (C) 2012

"I fear the day that technology will surpass our human interaction. The world will have a generation of idiots." - Albert Einstein.

"Saya takut akan hari di mana teknologi mengatasi hubungan sesama manusia. Dunia akan dihuni oleh generasi yang bodoh." - Albert Einstein
.

Pada hari ini kita lihat tak kira di mana-mana, teknologi telah menguasai hidup manusia, menjadi satu bentuk ketagihan yang tidak dihindari. Teknologi komunikasi merupakan satu cara mudah untuk manusia menghubungi antara satu sama lain, mencari maklumat dan khabar berita terkini. Kepantasan teknologi dalam menyampaikan maklumat kepada manusia menyebabkan manusia kini tidak lagi tertarik pada hubungan kemasyarakatan.

Seterusnya ini membongkar sifat sebenar manusia yang mementingkan diri sendiri. Manusia yang lemah iman dan jati diri keagamaannya mudah dikuasai teknologi. Cuba bayangkan bagaimana dunia ini apabila manusia sentiasa menggunakan teknologi biarpun pada ketika itu, mereka sepatutnya memberi perhatian kepada orang di samping mereka?

Anak-anak muda leka mengurungkan diri bermain internet. Anak-anak keluar makan dengan ibu bapa sambil membawa Ipad, Samsung Galaxy Tab dan lain-lain teknologi komunikasi. Mereka tidak lagi tertarik untuk berkongsi cerita dengan ahli keluarga mereka, rakan-rakan mereka. Masing-masing di tangan bermain gajet canggih masa kini.

Mungkin ada ibu bapa yang tersenyum pahit, merasa lucu dan comel melihat anak-anak mereka leka menggunakan gajet tetapi ketahuilah, mereka sebenarnya sedang menyaksikan dunia teknologi yang mengatasi hubungan manusia yang ditakuti oleh Albert Einstein.

Ini adalah permulaan kiamat sosial bagi umat manusia.