BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 06, 2012

Pertandingan mengarang Pantun Jawi Kebangsaan 2012

Pertandingan mengarang Pantun Jawi Kebangsaan 2012
06/11/2012 3:44pm


KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Pertandingan Mengarang Pantun Jawi Peringkat Kebangsaan 2012 bertemakan ‘Tulisan Jawi Citra Keunggulan Budaya Melayu’.

Pertandingan Mengarang Pantun Jawi ini diadakan bagi menjelmakan pemikiran murni masyarakat dalam penulisan pantun yang puitis dan indah, mengangkat budaya penulisan Jawi melalui pertandingan pantun moden yang kreatif serta menyediakan ruang kepada segenap lapisan masyarakat untuk berkarya melalui pantun dalam tulisan Jawi.

Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Terbuka. Penyertaan adalah percuma dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang Perpustakaan Negara Malaysia di http://www.pnm.my atau di Kaunter Penerangan PNM dan setiap penyertaan hendaklah dihantar ke alamat: Urusetia Pertandingan Mengarang Pantun Jawi Peringkat Kebangsaan 2012 Menara Perpustakaan Negara Malaysia Pusat Manuskrip Melayu, Aras 11 232, Jalan Tun Razak, 50572 Kuala Lumpur.

Tarikh tutup penyertaan telah dilanjutkan pada 30 November 2012. Hadiah berupa wang tunai menanti pemenang. Untuk pertanyaan lanjut, sila menghubungi Urusetia Pertandingan Mengarang Pantun Jawi Peringkat Kebangsaan di talian 03-2687 4392/1858 atau melalui e-mel di semarakjawi@pnm.my. - BERNAMA