BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 27, 2012

Penempatan semula pekerja perlu fleksibel

Penempatan semula pekerja perlu fleksibel

Kuantan: Penambahan kakitangan awam perlu dilakukan mengikut keperluan kekosongan dengan keutamaan diberi kepada sektor pendidikan dan keselamatan yang sentiasa memerlukan kakitangan tambahan.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula perlu lebih fleksibel dalam menentukan penempatan semula kakitangan awam supaya tidak perlu mewujudkan jawatan baru serta menambah petugas dalam sektor awam. Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa juga turut menyuarakan perkara itu baru-baru ini.

“CUEPACS setuju saranan Ketua Setiausaha Negara kerana ia satu lagi transformasi dilakukan kerajaan dalam memantapkan anggota penjawat awam dari segi kualiti dan kuantiti.

“Justeru, penambahan jawatan baru rasanya tidak perlu, sebaliknya JPA mungkin boleh menimbang meletakkan pegawai sedia ada melakukan kerja tambahan melalui proses penyusunan semula dalam sektor atau jabatan yang terbabit,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Kualiti dan Inovasi 2012 di Universiti Malaysia Pahang, semalam.

Ali sebelum ini berkata, kerajaan menunggu Suruhanjaya Khas (Mengkaji Transfromasi Perkhidmatan Awam) mengemukakan laporan sebelum 31 Disember ini untuk memperbaiki perkhidmatan awam secara keseluruhan. Katanya, jumlah penjawat awam kini seramai 1.4 juta dilihat mencukupi dan jumlah itu tidak perlu ditambah lagi, sebaliknya JPA lebih fleksibel dari segi penempatan semula.