BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 17, 2012

Bawah RM5,000 - Cukai Pendapatan Tidak Perlu Dibayar

Bajet 2013: 170,000 tidak perlu lagi bayar cukai pendapatan 
LHDN Tegaskan Individu Dengan Pendapatan Bercukai Bawah RM5,000 Tidak Dikenakan Cukai

    CYBERJAYA, 29 Sept (Bernama) -- Selaras dengan pengumuman penurunan kadar cukai satu mata peratusan, individu yang pendapatan bercukainya di bawah RM5,000 tidak perlu lagi membayar cukai mulai tahun taksiran 2013.

    Menjelaskan demikian, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata mereka yang berpendapatan bercukai RM5,000 hingga RM20,000 ke atas pula akan menikmati kadar cukai sebanyak dua peratus berbanding tiga peratus sebelum ini.

    "Manakala bagi individu yang pendapatan bercukainya antara RM20,001 hingga RM35,000 pula akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus berbanding sebelum ini tujuh peratus," katanya kepada pemberita di sini.

    Beliau berkata pengurangan cukai itu setelah diambil kira semua pelepasan cukai dan bukannya mengikut pendapatan kasar.

    Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Bajet 2013 dan pengurangan cukai itu boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-88-3010 atau emel di callcentre@hasil.gov.my.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2013 semalam, mengumumkan penurunan kadar satu mata peratusan cukai mulai tahun depan, langkah itu membolehkan kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.