BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, September 07, 2012

Kurikulum Baharu Sejarah - Subjek Sejarah Dirombak

Subjek Sejarah Dirombak
07/09/2012 - 05:49:52AM BERITA HARIAN

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang merangka kurikulum baru subjek Sejarah sekolah menengah untuk melahirkan warganegara bersemangat patriotisme yang tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia berpandukan perakuan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

Tumpu pada kurikulum

Beliau berkata, ia juga selaras dengan perhatian khusus kerajaan terhadap kandungan kurikulum subjek Sejarah di sekolah. Jawatankuasa khas dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim (Pengerusi Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)) mempunyai tugas besar dan berat. Laporan sudah diserahkan dan Insya-Allah akan dilaksanakan, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis PSM ke-57, di Wisma Sejarah di sini, semalam.

Jawatankuasa khas yang ditubuh pada Mei 2011 dianggotai 10 pakar sejarah bertujuan membantu mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah. Ia bagi memastikan subjek itu mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cintakan tanah air, sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Malaysia. Penubuhannya juga selaras dasar kerajaan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM mulai 2013.

Zaman yang menganggap Sejarah boleh diajar oleh sesiapa saja dan menganggap ia sebagai satu mata pelajaran pinggiran sudah berlalu. Kita mahu Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dengan perhatian yang serius dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu itu, katanya.

Kurikulum Baharu Mata Pelajaran Sejarah
SUMBER: KOSMO

MUHYIDDIN (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Omar (kiri) ketika melawat pameran sempena Mesyuarat Tahunan Majlis ke-57 PSM di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran merangka kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah untuk pelajar sekolah menengah bertujuan melahirkan warga negara yang mempunyai semangat patriotisme lebih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kurikulum baharu itu berpandukan kepada perakuan-perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

“Kerajaan memberi perhatian khusus terhadap kandungan kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-57 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah di sini semalam.

Jawatankuasa yang ditubuhkan pada Mei 2011 dianggotai 10 pakar sejarah dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM, Tan Sri Omar Mohd. Hashim.

Fungsi utama jawatankuasa tersebut adalah menentukan hala tuju perkembangan kurikulum mata pelajaran Sejarah dalam merealisasikan keperluan semasa dan cabaran masa depan.