BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Ogos 18, 2012

Aliran Trafik PLUS - pergerakan masuk trafik secara berperingkat-peringkat dan berjaya mengelak kesesakan di laluan utama

Pergerakan balik raya lancar, pergerakan masuk trafik secara berperingkat-peringkat berjaya mengelak kesesakan di laluan utama

PERGERAKAN trafik lancar menghala ke utara (kanan) yang dirakam dari jejantas Hentian Rehat Sungai Buloh pada pukul 6.45 petang semalam.

KUALA LUMPUR - Bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut esok kian terasa apabila semakin ramai warga ibu kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan pihak pengendali lebuh raya memperkenalkan cadangan waktu perjalanan telah berjaya mengatur pergerakan masuk trafik secara berperingkat-peringkat dan berjaya mengelak kesesakan di laluan utama khususnya Lebuhraya Utara-Selatan.

Maklumat Twitter Plustrafik setakat pukul 9.40 malam tadi tidak melaporkan sebarang kesesakan luar biasa melainkan aliran kenderaan yang meningkat dari Sungkai hingga ke Tapah.

Laporan LLMinfotrafik pula mendapati aliran trafik meningkat dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah untuk perjalanan ke Pantai Timur tetapi pergerakan kenderaan masih lancar.

Keadaan yang sama juga dapat dapat dilihat di hentian-hentian bas utama khususnya Hentian Pudu Raya, Hentian Putra dan Hentian Jalan Duta semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati walaupun jumlah penumpang lebih ramai daripada biasa, ia tidak menyebabkan kesesakan di luar jangkaan.

Guru tadika, Munirah Hashim, 23, terpaksa meminta pelepasan kerja separuh hari daripada majikannya untuk pulang ke Kamunting, Perak pada sebelah petang.

"Saya terpaksa berbuat demikian kerana tiket pada waktu malam sudah habis dijual di Hentian Pudu Raya walaupun saya telah cuba membelinya sejak awal Ramadan lagi," katanya.

Bagi Saizzah Salim, 26, pula, dia lebih selesa menggunakan pengangkutan awam untuk pulang berhari raya di Kuala Terengganu walaupun mempunyai kenderaan sendiri.

Katanya, dengan menaiki pengangkutan awam, dia tidak perlu risau untuk menempuhi kesesakan jalan raya.

"Walaupun terpaksa bersesak untuk membeli tiket bas, ia lebih berbaloi dan menjimatkan. Saya hanya naik dan tunggu untuk tiba sahaja ke destinasi," jelasnya.

Di Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh, pasangan warga emas, Abdul Wahab Saksi, 63, dan Rokiah Hassan, 63, dari Kampung Gajah mahu beraya di rumah anak mereka, Abdul Fathil Sham, 30, yang tidak mendapat cuti di Setapak, Kuala Lumpur.

"Tiga lagi anak kami juga menetap di Kuala Lumpur, tak sedap rasanya menyambut Aidilfitri tanpa semua anak dan cucu.

"Baik kami beralah dengan pergi ke rumah anak agar raya lebih meriah," katanya.

Di Terminal 1, Seremban, pelatih Kolej Hospital Pakar Nilai (KPJ), Nurul Hazmah Naman, 20, sudah tidak sabar untuk balik raya di Johor.

"Saya pun sudah lama tidak pulang ke kampung halaman sejak belajar di Nilai, pastinya esok (hari ini) saya dapat membantu keluarga membuat persiapan terakhir dan bertemu adik-beradik," katanya.

Di Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam, pelajar Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Nurul Hidayah Ismail, 18, berkata, inilah tahun pertama dia balik raya sebagai perantau.

"Semoga perjalanan pulang ke kampung di Pendang, Kedah berjalan lancar, terasa rindu sangat kepada ahli keluarga," katanya.

Di Melaka, warga Indonesia yang beragama Islam membanjiri Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Melaka, Banda Hilir semalam untuk menaiki feri pulang beraya.

Peniaga di Kajang, Yus Kudin, 42, memberitahu, suasana menyambut hari raya di kampung halaman sendiri di Paya Kumboh, Sumatera Barat jauh berbeza berbanding menyambutnya di negara ini.

"Suasana hari raya dirasakan lebih meriah dan seronok jika menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan saudara-mara," katanya.

Rakan senegara, Sri Purwanti, 33, sudah tidak sabar untuk kembali ke Dumai, Indonesia selepas lima tahun beraya di Malaysia.

"Setiap kali hari raya, saya sedih kerana terpaksa menyambutnya di tempat orang. Tahun ini saya gunakan cuti yang diberi majikan untuk pulang beraya bersama keluarga," katanya.

Di Kuching, perkhidmatan bot ekspres menjadi pilihan orang ramai pulang berhari raya di kampung halaman kerana menjimatkan masa dan tambang.

Mekanik, Halippuma Mudah, 25, berkata, perjalanan bot ke kampungnya di Sibu hanya mengambil masa lima jam berbanding lapan jam jika menaiki bas ekspres.

"Sepanjang enam tahun lepas, saya dan isteri memilih bot ekspres untuk balik berhari raya sebab ia lebih cepat, murah, selesa dan selamat," katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Bot Ekspres Kuching semalam.

Mohd. Sabri Serah, 31, pula memilih bot ekspres kerana perjalanan melalui jalan raya lebih terdedah kepada kemalangan.

"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering hujan, naik bot lebih selamat daripada guna Lebuhraya Pan Borneo," katanya.