BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Julai 20, 2012

MOMOK - JANGAN CARI PASAL ada mesej tersendiri.

Setiap orang memiliki pandangan yang tersendiri. Bagi saya, saya mempunyai pandangan yang khusus tentang filem Momok - Jangan Cari Pasal. Entah kenapa, filem ini mungkin dianggap sebagai filem sampah oleh sesetengah penonton, namun saya meneliti setiap jalan cerita yang dimuatkan dalam filem ini, dan saya dapati filem ini sebenarnya sedang memberitahu penonton satu mesej yang penting.

Jika sebelum ini saya ragu-ragu untuk menerbitkan filem, namun selepas menonton filem Momok Jangan Cari Pasal, fikiran saya mula semakin terbuka. Saya lantas membuka blog Momok Jalan Cari Pasal dan dari situ saya mendapat ilmu tentang cara-cara penerbitan filem pada kos yang rendah. Entah bagaimana, tiba-tiba saya rasa M. Jamil adalah salah seorang sifu rujukan saya dalam penerbitan filem kos rendah.

Dalam filem M. Jamil ini ada diselitkan lirik lagu berkaitan dengan penerbitan filem, tentang kos dan risiko yang perlu diambil kira oleh penerbit filem sebelum menerbitkan satu-satu filem. Sebenarnya, pada pandangan peribadi saya, apabila filem Momok Jangan Cari Pasal berjaya diedar dan ditayang di panggung-panggung wayang di seluruh Malaysia, M. Jamil sebenarnya telah berjaya membuktikan kepada ramai pengarah dan penerbit filem baru bahawa penerbitan filem itu bukanlah sesukar yang dirasakan.

Filem Momok Jangan Cari Pasal mungkin mendapat kritikan daripada sesetengah pihak, tetapi bagi saya, filem ini merupakan satu filem rujukan yang unik, di mana filem Momok Jangan Cari Pasal ini membantu memberi motivasi kepada saya supaya jika kita mahu menerbitkan filem, jangan takut-takut, tetapi mesti ada keberanian. Di mana ada kemahuan, di situ adalah jalan.

Terima kasih, M. Jamil. Ikhlas dari lubuk hati saya.

Yang benar,
Amiene Rev