BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Julai 18, 2012

Hukum Makan Ikan Buntal - Halal atau Haram?

Apakah hukum memakan ikan buntal yang telah dibuang racunnya?
Hukum memakan ikan buntal yang dibuang racunnya adalah harus.

RUJUKAN: http://kemusykilan.islamgrid.gov.my


Fakta Penting Mengenai Hidangan Ikan Buntal
  • Chef perlu memiliki lesen khas untuk membersih dan menghidangkan ikan buntal.
  • Hati dan ovari ikan buntal merupakan antara organ yang paling berbahaya.

HUKUM MEMAKAN IKAN BUNTAL

BARU-baru ini, masyarakat nelayan di Terengganu dikejutkan dengan berita kematian seorang tekong dan keracunan teruk empat awak-awak kapal gara-gara memakan kari ikan buntal di perairan Dungun.

Pelik tetapi benar. Difahamkan, kebanyakan pelaut biasa memakan ikan buntal walaupun spesis itu beracun kerana mendakwa tahu cara untuk membuang bisanya.

Pun begitu, sedalam manakah pengetahuan mereka mengenai bisa haiwan vertebrat (bertulang belakang) kedua paling berbahaya kepada manusia selepas katak emas beracun (Phyllobates terribilis) dari Pantai Pasifik Colombia itu?

Racun pada ikan tersebut bukan sahaja mampu melumpuhkan urat saraf malah boleh membunuh jika kita tidak berhati-hati. Untuk memegangnya disaran memakai sarung tangan tebal bagi mengelak keracunan atau digigit ikan tersebut.

Ikan buntal atau nama saintifiknya, Tetraodontidae mempunyai empat gigi besar, tertanam pada 'gusi' atas dan bawah yang digunakan untuk menghancurkan cengkerang mangsanya seperti krustasia, moluska dan cacing merah.

Kulit dan organ dalamannya seperti ovari, hati, usus, tisu otot dan darah pula mengandungi neurotoksin dipanggil tetrodotoksin yang membawa maut kepada manusia. Racun tersebut melumpuhkan otot mangsa dalam keadaan sedar dan akhirnya mati akibat asfiksia.


Hidangan eksotik

Walaupun pakar mengesahkan racun yang terdapat dalam seekor ikan buntal boleh membunuh kira-kira 30 orang dewasa, ia tetap menjadi salah satu hidangan tradisi istimewa di Jepun dan Korea, masing-masing dikenali sebagai fugu serta bok-uh.

Sebagai hidangan eksotik yang bermusim (November hingga Februari), pelanggan perlu bersedia untuk membelanjakan kira-kira RM150 hingga RM1,000 bagi sepinggan fugu.

Fugu adalah perkataan Jepun bagi ikan buntal dan hidangan yang diperbuat daripada daging ikan buntal termasuk spesis Takifugu, Lagocephalus atau Sphoeroides dan ikan landak genus Diodon.

Disebabkan racun ikan buntal boleh membawa maut jika salah cara penyediaannya, fugu dianggap sebagai antara makanan Jepun yang paling terkenal dan berbahaya.

"Tukang masak fugu perlu melalui latihan ekstrem untuk mempelajari seni persediaannya tanpa membiarkan toksin berbahaya pada organ dalaman ikan terkena pada dagingnya.

"Di Jepun, kerajaan mengeluarkan lesen khas kepada tukang masak serta restoran yang menyediakan hidangan berkenaan,'' kata Master Chef, Ricky Kamiishi, Chef Eksekutif Jepun di Restoran Iketeru, Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Mempunyai pengalaman hampir 15 tahun dalam seni penyediaan fugu, Kamiishi cukup berkemahiran dalam memastikan setiap ikan yang disiang 100 peratus bebas racun untuk hidangan para pelanggan.

Namun, terdapat sesetengah chef tidak bertanggung jawab sengaja meninggalkan sedikit toksin pada daging ikan untuk memberi 'kejutan' kepada pelanggan tanpa membunuh mereka.

Kamiishi menjelaskan, cara menyiang fugu perlu dibuat dengan teliti mengikut bahagian ikan tersebut yang akan dimasak secara berasingan.

Kebanyakan isinya boleh dimakan, kecuali insang, kepala, gigi, pipi dan permukaan kulit fugu yang mesti dikikis dengan alat khas.

"Apabila fugu dipotong dan dibersihkan dengan selamat, ia dipotong halus (2 atau 3 milimeter) menggunakan pisau khas dipanggil 'hiki' untuk menyediakan fugu sashimi atau tessa.

"Tessa dihidang seperti lukisan blok kayu yang indah berbentuk bunga kekwa, iaitu bunga kematian masyarakat Jepun,'' ujarnya.

Ia dihidang bersama kulit fugu yang dihiris halus bersama sashimi atau kepingan fugu mentah. Isi selebihnya dimasak dalam periuk panas di buat sup menggunakan daging fugu, tauhu, cendawan shitake dan sayuran mentah.

Sup berkenaan akan dimasak sehingga pekat dengan menambah bahan-bahan baru dan digunakan untuk menyediakan hidangan zousui atau bubur nasi.


Haram atau halal?

Dalam pada itu, menilai dari sudut agama, Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir, berkata, secara umumnya, ikan dianggap sebagai bangkai laut dan hukumnya harus dimakan.

Pun begitu, hukum agama jelas mengkategorikan ikan buntal sebagai binatang beracun yang haram dimakan sekiranya masih mempunyai sifat beracun yang membawa mudarat kepada manusia.

"Ikan buntal haram dimakan bukan kerana zatnya ( contoh: haiwan berpenyakit) tetapi disebabkan sifatnya yang berbahaya kepada manusia.

"Tetapi jika sifatnya yang kotor dan berbisa itu dibuang, hukumnya harus atau halal dimakan, sama seperti kebanyakan bangkai laut (hidupan marin) lain,'' jelas beliau.


Penangan ikan beracun fugu. Ikan buntal di Jepun biasanya disediakan dalam hidang sashimi.
Sumber: KOSMO!

RASA berdenyut pada bibir selepas menjamah merupakan keistimewaan makanan laut itu. Penggemar ikan bertoksik fugu atau dikenali juga sebagai buntal itu menyatakan kesan tersebut disebabkan oleh kandungan neurotoksin yang tinggi dalam ikan 'pembunuh' kegemaran ramai tersebut.

Kekebasan yang dialami individu selepas menjamu juadah eksotik itu bagaimanapun berpotensi mengakibatkan lumpuh dan masalah pernafasan.

Berdasarkan laporan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (AS), ikan tersebut boleh mendorong kematian dalam tempoh empat hingga enam jam.

Walaupun 'mangsa' lumpuh sepenuhnya, mereka mungkin berada dalam keadaan sedar dan dalam kebanyakan kes mereka tahu apa yang sedang berlaku sebelum mati.

Biarpun penyebaran berita kematian akibat fugu kian meluas, pelanggan di Restoran Torafugu-tei di Tokyo tidak perlu khuatir.

Tukang masak restoran itu, Shigekazu Suzuki adalah antara tukang masak yang telah menjalani latihan khas dan mempunyai lesen bagi menghidangkan ikan pengundang maut itu.

"Tidak mudah bagi orang yang tiada lesen membersihkan buntal," kata Suzuki ketika ditemui di salah satu cawangan Torafugu-tei di bandar Ginza yang sedang sibuk mengeluarkan organ dalaman ikan itu yang bertoksik menggunakan pisau yang tajam.

"Saya tidak pernah makan bahagian ini kerana takut," tambahnya sambil menunjukkan ovari berwarna kuning cair yang merupakan salah satu bahagian ikan itu yang paling beracun yang kemudiannya dibuang ke dalam bekas besi berkunci.

Hati Ikan Buntal Merupakan Organ Bahaya

Menurut Suzuki, beliau mengambil masa kira-kira lima tahun untuk lulus peperiksaan lesen buntal yang melibatkan ujian bertulis dan praktikal tentang bagaimana memisahkan bahagian beracun dengan yang selamat dimakan.

Pengawalan ketat yang dijalankan telah mengurangkan jumlah kecelakaan akibat buntal. Tetapi laporan yang diterima membabitkan nelayan-nelayan yang mati selepas memakan ikan berbahaya itu terus meningkat.

Hati ikan fugu yang mesti dibuang dengan betul kerana ia sangat beracun. Malah, ada penggemar makanan laut itu, cuba melangkaui batas apabila meminta pihak restoran menghidangkan organ dalaman yang diharamkan. Terdapat tukang masak terpaksa memenuhi permintaan tersebut meskipun berisiko tinggi.

Pada Disember tahun lalu, kerajaan Tokyo membatalkan lesen seorang tukang masak di sebuah restoran dua bintang di Michelin selepas beliau menyajikan hati ikan buntal kepada pelanggan yang membuat permintaan khas. Pelanggan itu bagaimanapun sembuh selepas dimasukkan ke hospital untuk beberapa hari.

"Sesetengah orang berkeras untuk merasai bahagian yang berbahaya kerana menganggap rasanya lebih sedap. Ada kalanya mereka yang makan ikan buntal jatuh sakit namun majoriti individu seperti kami tidak mahu mengambil risiko," ujar Mahiro Shin, pelanggan Torafugu-tei yang berusia 33 tahun.

Set hidangan ikan buntal yang disediakan dalam periuk panas di Torafugu-tei berharga kira-kira 5,000 yen (RM200.50) dan boleh mencecah sehingga 10,000 yen (RM401.10) di restoran-restoran eksklusif di Tokyo.

"Ia memang sedikit mahal berbanding ikan biasa, tetapi kepuasan yang diperoleh itu amat berbaloi," ujar seorang penggemar fugu, Yoheri Watanebe.

Menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun, 17 orang jatuh sakit selepas menjamah isi ikan buntal sepanjang tahun lalu dengan salah seorang daripada mereka maut.

Rombakan peraturan

Di bawah sistem baharu, restoran-restoran di kawasan Metropolitan Tokyo yang menjadi kediaman untuk 13 juta orang hanya boleh menghidangkan buntal sekiranya mereka memiliki tukang masak yang telah menjalani latihan khas yang disediakan.

Namun, pada ketika undang-undang itu rancak dijalankan, sekumpulan pemerhati dikejutkan dengan pengumuman badan penguatkuasa awal tahun ini yang membuat keputusan untuk melonggarkan syarat tersebut.

Kesannya, mulai Oktober tahun lalu, orang ramai dibenarkan membeli ikan buntal yang telah siap disiang atau dimasak termasuk pek sejuk beku dengan syarat kerja-kerja penyediaan dilakukan tukang masak berlesen. Namun, ikan yang tidak disiang akan terus diharamkan daripada menu di kesemua restoran tanpa lesen yang sah.

Badan penguatkuasa menyatakan perubahan peraturan itu adalah bagi menyesuaikannya dengan situasi semasa.


SUZUKI antara chef terkemuka Jepun yang mempunyai lesen membersihkan ikan buntal.

Sementara itu, pengguna di Tokyo telah lama membeli daging buntal dari kawasan lain menerusi internet. Kebanyakan tempahan datang dari lingkungan selatan Kyushu yang cukup terkenal dengan makanan tersebut.

Suzuki pula menyatakan beliau tidak bimbang tentang persaingan walaupun syarat baharu telah diperkenalkan.

"Disebabkan penukaran penguatkuasaan, lebih banyak restoran boleh menyediakan buntal bagi memudahkan orang ramai menikmati makanan tersebut sekali gus membentuk budaya memakan buntal dalam kalangan rakyat Jepun," ujar lelaki berusia 44 tahun itu kepada AFP.

"Sebagai tukang masak berlesen, saya akan terus menjaga keselamatan pelanggan dengan penuh cermat," tambahnya.