BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Jun 07, 2012

Ombak Besar Melanda Negeri-negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia

Peristiwa ombak besar yang melanda di bahagian utara Semenanjung, khususnya di kawasan Pantai Barat mengingatkan saya tentang Taufan Durian yang pernah melanda sekitar tahun 2006 dahulu.

7  JUN 2012: Rumah di pinggir pantai diancam ombak besar
07/06/2012 3:08am
Sumber: KOSMO!

KANGAR – Ombak besar dan air pasang melanda kawasan pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang semalam mengakibatkan ratusan buah rumah dimasuki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Perlis, Mat Hassan berkata, ratusan rumah dimasuki air masin apabila air pasang disertai ombak mula berlaku pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, beliau melawat mangsa air pasang itu dan mendapati kebanyakannya telahpun memindahkan barangan ke tempat selamat.

Sementara itu, di kampung Sungai Padang dekat sini, para penduduk berhadapan saat mencemaskan apabila air memasuki rumah separas pinggang dalam masa 15 minit akibat ombak besar.

Tinjauan mendapati jalan pinggir pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang dipenuhi lumpur dan mangsa masih bertungkus lumus membersihkan rumah mereka semalam. – BERNAMA


6 JUN 2012: Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang Rabu.
Sumber: HMETRO


GEORGE TOWN: Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang tadi.

Di Kampung Tsunami Tanjung Bungah, tidak kurang daripada 11 buah rumah dimasuki air laut kesan pukulan ombak itu.

Seorang penduduk, Tan Eng Kee, 67, berkata air memasuk rumahnya sehingga paras buku lali dan menyebabkan halaman rumahnya berbecak.

"Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku sejak 20 tahun lalu dan ia bencana kedua terburuk selepas kejadian Tsunami empat tahun lepas," katanya kepada Bernama.

Katanya penduduk membina benteng pasir di sekeliling kediaman mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar Padang Kota Lama dan Persiaran Gurney yang berhampiran laut, mendapati air laut melimpah sehingga ke jalan raya di samping membasahi ruang pejalan kaki.

Namun bagi kaki pancing, Hamzah Sidik, 54, dia sedikit pun tidak bimbang dengan keadaan itu dan tetap meneruskan hobinya bersama isteri dan dua anaknya, biarpun keadaan ombak berkeadaan tidak seperti biasa.

"Waktu macam ini ikan banyak naik, tiada apa yang hendak dibimbangkan. Jika keadaan berbahaya sudah tentu amaran menjauhi pantai dikeluarkan," katanya.

Di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang pula keadaannya didapati agak lenggang apabila orang ramai menjauhi kawasan pantai sementara nelayan dikatakan tidak turun ke laut sejak semalam.

Namun aktiviti perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meterologi, Muhammad Helmi Abdullah menyifatkan kejadian itu adalah fenomena biasa kesan pertukaran angin dari monsun timur laut kepada monsun barat daya bermula 4 Mei lalu.

Katanya keadaan ombak turut dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam yang diramal berterusan sehingga Jumaat ini.

"Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda," katanya. - Bernama


IMBAS KEMBALI: Taufan Durian kian lemah, tetapi terus mengancam
Khamis Disember 07, 2006
SUMBER: MSTAR Online


KUALA LUMPUR:  Taufan Durian kini semakin lemah dan dijangka tidak melanda Malaysia, tetapi beberapa kawasan di utara Semenanjung dan Pantai Timur masih terdedah kepada ancaman cuaca buruk dengan laut bergelora

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, angin kencang kadang kala mencapai kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan ombak dengan ketinggian 4.5m dijangka melanda perairan Kelantan dan Terengganu dan keadaan ini akan berterusan sehingga hari ini.

Jabatan itu berkata keadaan angin yang serupa dengan ombak setinggi 4m pula dijangka berterusan di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sehingga Jumaat.

Ia juga memberi amaran bahawa angin kencang antara 40 dan 50km sejam dengan ombak besar sehingga 3.5m dijangka berterusan di perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, dan Sabah Timur sehingga hari ini.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai.

Katanya lekukan taufan Durian kini masih berada di Teluk Siam dan akan menjadi semakin lemah dalam masa 24 jam.

Lekukan tropika itu akan bergerak ke arah barat merentasi Teluk Siam dengan kelajuan 20km sejam dan melintasi selatan Thailand petang Semalam.

Kelajuan angin maksimum 60km sejam dijangka berlaku berhampiran lekukan tropika tersebut, kata jabatan itu.

Sementara itu, di SUNGAI PETANI, Bernama melaporkan, lebih 600 nelayan Kuala Muda yang menjadi mangsa ombak besar Tsunami pada Disember 2004, mahu pihak berkuasa memaklumkan segera perkembangan Taufan Durian yang dijangka melanda pantai negara esok, sebagai panduan sebelum keluar ke laut menangkap ikan.

"Kami sentiasa mengikuti perkembangan pergerakan Taufan Durian namun adalah lebih baik pihak berkuasa sendiri yang memaklumkannya atau mengumumkannya melalui radio dan televisyen," kata mereka.

Hashim Yahya, 57, dari Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda dekat sini, berkata bencana taufan itu yang melanda Filipina seminggu lepas dan Vietnam selepas itu membuatkan mereka perlu lebih peka sebelum ke laut.

"Kami terpaksa turun ke laut menangkap ikan kerana itu adalah pekerjaan dan punca rezeki kami," katanya yang sentiasa mengikuti perkembangan Taufan Durian melalui radio.

Sahidan Abdullah, 56, dari Kampung Permatang Katong, Kuala Muda berkata sehingga ini keadaan laut tempat mereka menangkap ikan tidak bergelora cuma kadangkadang sedikit berombak.

Terdapat lebih 100 buah bot berenjin dalam (bot besar jenis kayu) dan hampir 300 bot fiber yang berpangkalan di pantai Kuala Muda, membabitkan lebih 600 nelayan, keluar menangkap ikan setiap hari.