BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Jun 30, 2012

NEGARA ASEAN SEPAKAT TANGANI JEREBU

Cari jalan penyelesaian tangani jerebu
30/06/2012 1:25pm


MIRI - Negara-negara Asean akan segera mencari penyelesaian serantau bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan tahun ini berikutan jangkaan musim kering yang panjang sehingga tiga bulan mulai Julai.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura dan Brunei semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio di Brazil untuk membincangkan kemungkinan mengadakan mesyuarat serantau mengenai jerebu lebih awal daripada yang dijadual.

"Kami bersetuju untuk mengadakan mesyuarat lebih awal daripada tarikh yang dijadual pada September," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai keadaan jerebu di sini hari ini.

Mesyuarat Asean ke-14 Kumpulan Kerja Teknikal mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan dan Mesyuarat Asean ke-14 Jawatankuasa Pemandu Kementerian Bahagian Serantau mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dijadual diadakan di Bali, Indonesia pada September ini.

Negara-negara Asean terdiri dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Vietnam, Kemboja, Filipina, Laos, Thailand dan Myanmar. - BERNAMA