BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Jun 10, 2012

Kenapa Wanita Muda Suka Suami Orang - Lelaki Beristeri Lebih Matang, Stabil Serba-serbi

Tentu ramai yang bertanya kenapa wanita lebih suka lelaki yang telah berkahwin, atau berstatus suami orang. Mungkin ramai yang ingin tahu sebabnya. Berikut ada satu artikel menarik yang mengupas mengenai kenapa suami orang menjadi pilihan sesetengah wanita.

Penangan suami orang!
Sumber: Berita Harian, Oleh Nadia Hamid


SEKUMPULAN saintis di London dilaporkan pernah mendedahkan hasil kajian bagi merungkai misteri mengapa wanita kerap tertarik kepada suami orang dengan menyatakan wanita mungkin diprogramkan secara genetik mencari lelaki yang membawa bau kulit isteri masing-masing.

Profesor neurobiologi Universiti Rochester di New York, Dr Donald Pfaff menjelaskan, dalam kajian dijalankan terhadap tikus betina dan tikus jantan mendapati tikus betina mudah memberi lebih perhatian kepada tikus jantan jika disembur dengan bau tikus betina lain.

Hasil ujian itu menyimpulkan perspektif bahawa lelaki yang membawa bau wanita lain kelihatan lebih menarik berbanding lelaki 'bersih'.

Senario hari ini, bukan sedikit wanita muda rela berkongsi kasih malah sanggup merampas kasih suami orang. Mungkin sindrom tarikan ‘wedding ring syndrome’ (lelaki dengan cincin perkahwinan di jari manisnya lebih ‘laris’ berbanding lelaki berjari kosong) menjadi kunci asas mengapa suami orang lebih diminati wanita berbanding lelaki bujang.

Persoalannya, sejauh manakah kebenaran pendapat bahawa wanita muda lebih mengejar suami orang berbanding lelaki bujang?

Pengamal undang-undang syarie yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Syarie, Isa Mohd Ralip ketika ditemubual kolum XY vs XX membabitkan isu poligami berkata, wanita biasanya sukakan jaminan dalam hidup termasuk dari aspek keperluan asas, keselamatan dan keperluan sosial.

Isa berkata, berdasarkan pemerhatian dan pembacaan menunjukkan wanita memerlukan individu yang boleh melindungi diri mereka, bersikap positif, bertolak ansur, tidak ego, bertanggungjawab dan memahami pasangan.

Beliau berkata, disebabkan faktor psikologi dan emotif berkenaan, tidak mustahil suami orang mempunyai tarikannya yang tersendiri sehinggakan menjadi buruan gadis yang belum pernah berkahwin dan janda.

“Dalam kehidupan masyarakat hari ini, isu kewangan adalah pokok utama membina kehidupan selesa. Justeru, saya boleh sifatkan wanita yang memilih suami orang berbanding lelaki bujang melihat pasangannya daripada sudut kewangan stabil dan memberi jaminan kehidupan selesa.

“Jika dilihat senario lelaki bujang sekalipun, biasanya individu ini masih baru berkecimpung dalam dunia pekerjaan dan ada antaranya dalam proses membina kerjaya kukuh.

“Lelaki berkahwin bijak berfikir, pandai memujuk rayu wanita, bersikap sentimental, romantik dan penyabar serta pemurah dalam perhubungan termasuk membelikan hadiah serta memenuhi keperluan materialistik wanita,” katanya.

Isa berkata, wanita yang tertarik dengan suami orang boleh dikategorikan kepada dua iaitu gadis yang belum pernah berkahwin dan wanita yang pernah mengharungi alam rumah tangga namun bercerai (janda).

Jelasnya, antara kategori berkenaan, golongan janda mudah dan cenderung berkahwin dengan suami orang mahupun duda berbanding teruna. Ia berikutan sejarah perkahwinan janda itu membenarkan tarikan suami orang berbanding pasangan bujang.

Beliau berkata, lelaki berkahwin mempunyai ketrampilan dan tarikan karisma yang tinggi menyebabkan mereka menjadi idaman wanita berbanding lelaki bujang yang selekeh, mudah emosi, panas baran, kurang arif melayani kerenah serta cara memikat wanita.

"Setiap individu memerlukan keseronokan dan kepuasan dalam hidup masing-masing. Justeru, tidak hairanlah sekiranya lelaki berkahwin mencari keseronokan dengan memikat wanita muda. Malah, ia satu tindakan escapism melepaskan diri daripada tekanan kebosanan dalam hieraki kehidupannya.

“Lelaki bujang pula acap kali tidak berkeyakinan dalam menjalinkan hubungan menyebabkan wanita mudah rasa tergugat serta keliru dengan pilihannya. Lelaki bujang sering kali menimbulkan konflik perhubungan akibat sifat baran, mudah mencari alternatif lain sebagai cara melarikan diri daripada konflik perhubungan dan tidak sabar mempertahankan institusi kekeluargaan yang dibina.

“Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes syarie, kebanyakan lelaki muda mudah melafazkan cerai berbanding lelaki berusia. Pernah ada baru kes berkahwin tiga bulan namun, memfailkan permohonan ceria di mahkamah akibat kesilapan kecil dan pergaduhan remeh,” katanya.

Secara psikologinya, wanita gemarkan pujuk rayu dan elemen romantis menyebabkan mereka mudah tertarik kepada lelaki penyabar. Lelaki berkahwin dikatakan kaya dengan sikap sabar, penyayang, tidak berfoya-foya dan pandai memujuk rayu berikutan pengalamannya mengendalikan kerenah isteri yang sudah dikahwini bertahun-tahun lamanya.

Malah, lelaki berkahwin sudah faham akan kehendak wanita, bersikap lebih tenang dan tidak gelojoh dalam perhubungan. Faktor remeh sebegini dikatakan mampu membeli jiwa dan kasih sayang wanita. Bagi lelaki, hormon testosteron (seks) sentiasa ada menyebabkan mereka sentiasa mendambakan belaian manja dan kasih sayang seorang isteri walaupun sudah berusia.

Tegas Isa, individu berkemampuan sama ada daripada segi kewangan dan mampu bersikap adil dibolehkan mendirikan rumah tangga lebih daripada satu. Namun, katanya lelaki berkenaan perlu memahami hukum berkahwin yang terbahagi kepada lima iaitu, wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

“Surah An Nisa ayat tiga berbunyi; Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi sama ada dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (kemampuan keperluan asas, giliran dan kasih sayang), maka (kahwinilah) seorang saja,” katanya.

Kepada wanita muda yang mahu menjalinkan hubungan dengan lelaki berkahwin, ingatlah bahawa tidak mudah melayari alam berumahtangga. Tanggungjawab digalas amat berat bagi wanita namun bertambah dua kali ganda bagi ketua keluarga.

Bukan mudah menjadi ketua keluarga apatah pula jika mempunyai isteri lebih daripada satu. Mereka bukan saja perlu stabil dan kukuh dari segi ekonomi, kesihatan dan mental, tetapi juga harus mempunyai pegangan agama yang baik dan boleh membimbing isteri dan anak masing-masing.

Antara lelaki berstatus suami orang tapi memikat di mata wanita

* Aaron Aziz
* Yusri Abdul Halim (Yusry KRU)
* Asyraf Muslim
* Aidil Zafuan
* David Beckham
* Brad Pitt
* Fernando Torres