BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Jun 06, 2012

Bantuan RM100 Juta Untuk Peniaga Bumiputera!

Bumiputera patut manfaat dana RM100 juta
Disediakan oleh Berita Harian

KOTA KINABALU: Usahawan dan peniaga Bumiputera di negeri ini diminta memanfaatkan dana RM100 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi meningkatkan perniagaan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, beliau menyambut baik peruntukan diperoleh menerusi Dana Mudah Cara yang keseluruhannya berjumlah RM2 bilion sekali gus boleh digunakan secara optimum oleh usahawan dan peniaga Bumiputera yang ingin memulakan perniagaan. Katanya, selain kesungguhan dan keyakinan pada diri seseorang usahawan serta peniaga, ia mampu membantu mereka mencapai kejayaan seperti dinikmati orang lain. “Kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Pusat dengan menyalurkan peruntukan yang besar ini dan ia membuktikan keprihatinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap rakyat termasuk golongan peniaga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan inisiatif TERAJU, Jejak 2012 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Ketua Eksekutif TERAJU, Husni Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDIA), Datuk Dr Mohd Yaakub Johari.