BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mei 29, 2012

Sultan Kedah: Sejarah Terus Dipelajari Di IPT

Sultan Kedah: Sejarah Terus Dipelajari Di IPT

JITRA – Pengajian sejarah bukan sahaja wajib dipelajari di peringkat sekolah, malah perlu diteruskan ke peringkat pengajian tinggi kerana ia penting dalam kehidupan negara bangsa, titah Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda bertitah sejarah adalah ‘buku kehidupan’ yang mengandungi pelbagai pengajaran dan perkara penting untuk dijadikan panduan ke arah perkembangan negara bangsa.

“Institut Pengajian Tinggi (IPT) harus menawarkan kursus bersifat holistik dan bersepadu dengan memberi fokus kepada komunikasi, keusahawanan dan pembinaan sahsiah bagi membantu membina keterampilan pelajar sejajar dengan dunia global.

“Sebagai contoh, pelajar dalam bidang Sains, Perdagangan dan Kejuruteraan perlu didedahkan dengan kursus persejarahan, falsafah atau pengajian perbandingan agama,” titah baginda pada majlis Konvokesyen Ke-25 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), di sini, Ahad.

Baginda bertitah sejarah perlu dipelajari serta diambil iktibar terutama oleh generasi baru agar golongan itu lebih menghargai erti merdeka, kedaulatan bangsa dan negera dengan lebih bijaksana.

Sultan Abdul Halim bertitah sejarah negara bangsa perlu diketahui, difahami dan diserap oleh seluruh lapisan masyarakat, bukan sahaja sekadar mempelajarinya malah apa yang telah berlaku perlu dijadikan pedoman.

“Apa yang telah berlaku perlu dinilai semula untuk perkembangan masa depan, membina semula kedudukan dan kekuatan bangsa kerana sejarah berkait dengan jatuh bangun sesuatu bangsa dan negara,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan graduan Polimas supaya menggunakan ilmu serta kepakaran masing-masing dengan sebaiknya dan cara yang betul serta mencurahkan apa yang ada demi bangsa dan negara.

Sejak ditubuhkan pada 1984, Polimas telah melahirkan lebih 30,000 graduan dan pada konvokesyen kali ini seramai 2,309 graduan dari Jabatan Perdagangan, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, akan menerima sijil dan diploma masing-masing. – BERNAMA