BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, April 11, 2012

KRONOLOGI: Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 - 2012 -Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 - Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bermula
11/04/2012 10:36am


KUALA LUMPUR: Istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 bermula pagi ini di Istana Negara di sini dengan upacara pemeriksaan barisan kehormat.

Seramai l07 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain pangkat, terlibat dalam perbarisan kehormat di anjung utama Istana Negara.

Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, sebelum menerima "Hormat Diraja" daripada barisan kawalan kehormat, yang diikuti dengan lagu "Negaraku."

Serentak dengan lagu "Negaraku' dimainkan, Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda dikibarkan.

Selesai upacara itu, Seri Paduka berdua bersemayam di Bilik Seri Maharaja, sebelum berangkat ke Balairong Seri untuk upacara pertabalan yang buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru, Jalan Duta, yang berdiri megah sebagai lambang pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Pertabalan kali ini turut melakar sejarah kerana buat pertama kali Sultan yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Upacara hari ini yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dirakamkan oleh National Geographic Channel dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk penerbitan dokumentari bagi siaran di persada antarabangsa.

Dokumentari pertabalan kali ini menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya. - BERNAMA


Ikrar Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong
11/04/2012 2:06pm


KUALA LUMPUR 11 April — Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara hari ini.

“BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.

DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: “BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.” — BERNAMA


Tuanku Abdul Halim selamat ditabal Yang di-Pertuan Agong Ke-14
11/04/2012 2:07pm


KUALA LUMPUR 11 April — Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu “Perang” bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu

“Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left. Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua, Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya. - BERNAMA