BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, April 14, 2012

Artis, Pelakon Terkenal, Menteri Jadi Cikgu Di Sekolah-Sekolah

Ramai artis akan bekerja sebagai guru selama beberapa minggu. Apabila artis-artis menjadi cikgu di sekolah, apakah agaknya yang akan berlaku di sekolah?

Tokoh masyarakat, selebriti jadi pengajar
KOSMO: 14/04/2012 1:51PM

KUALA LUMPUR – Beberapa peneraju industri dan tokoh masyarakat terkenal Malaysia akan memainkan peranan sebagai tenaga pengajar dalam pelbagai mata pelajaran di sekolah melalui program “Teach for Malaysia" yang disokong Kementerian Pelajaran dari 16 hingga 20 April ini.

Mereka akan mencurahkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh secara bersusah-payah sebelum ini kepada generasi muda serta berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa pendidikan adalah tanggungjawab setiap manusia, kata Teach For Malaysia dalam kenyataannya.

Mereka yang mengambil bahagian pada “Teach For Malaysia Week” (Minggu Mengajar Demi Malaysia) ini mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.

Tokoh-tokoh ini termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah.

Turut menjayakan program ini ialah penyanyi dan pencipta lagu, Yusry Abdul Halim; pelakon, Lisa Surihani; pelawak, Harith Iskandar; dan Miss Universe Malaysia 2012, Kimberley Leggett.

Mereka dijadualkan mengajar di sekolah di kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Perdana dan Hulu Langat di Selangor; Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur; dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

"Kami harap penyertaan tokoh terkenal ini akan memberi dorongan kepada pelajar di sekolah berkeperluan tinggi ke arah mencapai impian mereka,” kata pengasas bersama dan pengarah eksekutif operasi, Teach For Malaysia, Dzameer Dzulkifli. – BERNAMA