BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Februari 27, 2012

Pelajar Sering Dibuli Di Sekolah Ingin Berhenti Sekolah - Surat Pembaca

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul. Nama yang disiarkan juga adalah nama samaran, berdasarkan kehendak pengirim surat.

Surat Pembaca - Berhenti Sekolah
Saya selalu dibuli di sekolah. Cikgu, emak, ayah semua tidak faham apa yang saya lalui. Sekarang hati saya rasa berat sangat hendak pergi ke sekolah. Saya tidak mahu pergi ke sekolah tetapi saya hendak ambil peperiksaan SPM secara persendirian tetapi emak saya kata tidak boleh sebab saya calon sekolah. Hati saya betul-betul tertutup untuk ke sekolah tetapi saya ingin menduduki SPM dengan cara belajar sendiri. Emak saya asyik suruh saya ke sekolah sebab dia tidak mahu saya dibuang sekolah kerana kerap ponteng. Saya hendak amnbil SPM tetapi saya tidak mahu pergi sekolah. Tolonglah saya.

Nurul

Maklum balas - Pelajar Kerap Dibuli Perlu Bimbingan Daripada Kaunselor
Tindakan Nurul untuk belajar di rumah adalah tidak digalakkan kecuali keluarga Nurul sanggup menghabiskan ribuan duit sebulan untuk mengupah guru-guru tuisyen peribadi untuk datang mengajar di rumah. Dalam kes ini, Nurul harus memikirkan beban kewangan yang bakal ditanggung oleh keluarga Nurul. Subjek-subjek peringkat SPM rata-rata memerlukan guru bagi membolehkan Nurul memahami konsep bagi satu-satu topik dan sub-topik yang dipelajari. Melainkan Nurul adalah seorang genius yang mendapat 100% bagi semua mata pelajaran di peringkat PMR, maka mungkin Nurul boleh mencuba risiko untuk belajar tanpa guru. Dalam Islam, seorang pelajar digalakkan menuntut ilmu secara berguru. Doa seorang guru ke atas anak muridnya mudah makbul.

Adakah Nurul sudah bertemu dengan kaunselor di sekolah? Saya mencadangkan agar Nurul merujuk kepada kaunselor sekolah Nurul untuk tindakan lanjut. Sebenarnya semua sekolah mempunyai cara untuk menangani masalah buli yang dihadapi oleh pelajar di sekolah. Jika Nurul ada masalah kehadiran, sudah pasti guru tingkatan Nurul akan memaklumkan kepada kaunselor sekolah agar sesi pertemuan kaunseling akan diatur untuk Nurul. Kebiasaannya kes buli sekolah pasti akan dapat diselesaikan selepas pelajar memaklumkan kepada pihak sekolah, oleh itu saya berpendapat kes buli bagi Nurul ini masih belum dilaporkan kepada kaunselor.

Terdapat pelbagai bentuk buli yang wujud di sekolah, iaitu sama ada secara verbal atau pun secara fizikal. Buli secara verbal membawa maksud buli yang dilakukan dengan mulut atau tulisan, manakala buli secara fizikal pula boleh mendatangkan kesakitan atau kecederaan fizikal. Pelajar yang membuli pelajar lain akan dikenakan hukuman yang berat. Saya menggesa Nurul agar segera memaklumkan kes buli ini kepada kaunselor sekolah untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan pembelajaran Nurul tidak terganggu. Semoga Nurul akan berjaya mengatasi masalah bui di sekolah dan dapat belajar dengan aman selepas ini.

Yang benar,
AMIENE REV