BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Februari 11, 2012

Bahasa Inggeris Antara Punca Pelajar Tidak Minat Subjek Sains dan Matematik

Bahasa Kebangsaan Penyatu Bangsa: Satu Bahasa Satu Malaysia
Penulis: Amiene Rev
  
"Sejak penggunaan Bahasa Kebangsaan dan buku teks berbahasa Melayu digunakan untuk subjek Sains dan Matematik, didapati minat, semangat dan keghairahan pelajar untuk menguasai konsep-konsep di dalam subjek Sains dan Matematik mula meningkat. Ini kerana wujudnya perasaan mesra dan rapat antara diri pelajar dengan kedua-dua subjek tersebut apabila mereka dibolehkan untuk mempelajari kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa yang mereka paling fahami dan sering gunakan dalam kehidupan seharian mereka sebagai warganegara Malaysia, negara yang berdaulat." - Amiene Rev

Antara faktor minat pelajar terhadap subjek Matematik dan Sains merosot, adalah sejak Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar untuk kedua-dua subjek tersebut. Ini merupakan kerugian yang besar buat negara, di mana kita mungkin akan kekurangan ramai pelapis pakar dalam bidang Sains dan Matematik untuk beberapa tahun akan datang. Tindakan segera bagi menyeragam penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa tunggal untuk subjek ini mampu menyelamatkan Malaysia daripada ketandusan generasi celik Matematik dan Sains.

Artikel di bawah ini ditulis sekitar tahun 2009. Kajian daripada 53 pakar bahasa mendapati bahawa minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk mempelajari Sains dan Matematik telah dibunuh oleh PPSMI. Malah saya juga mendapati bagaimana kelonggaran yang diberikan untuk memilih sama ada penggunaan Bahasa Inggeris atau Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik sedikit-sebanyak telah menjejaskan usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia.

Penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa tunggal dalam pendidikan Malaysia mesti ditegaskan. Malah, rakyat Malaysia sepatutnya diwajibkan untuk menguasai Bahasa Kebangsaaan sebagai tanda kesetiaan kepada negara. Pengorbanan rakyat Malaysia untuk mempelajari dan menguasai Bahasa Kebangsaan adalah satu tanda aras yang benar untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia benar-bena cintakan negara, dan setia kepada negara.

Sikap acuh tidak acuh sesetengah rakyat Malaysia terhadap kepentingan Bahasa Kebangsaan merupakan bukti bahawa semangat kebangsaan di kalangan golongan ini rendah. Kesetiaan mereka kepada negara diragui, dan status kelangsungan kedaulatan Bahasa Kebangsaan di Malaysia berada di paras yang boleh dibimbangkan. Ada golongan yang sengaja tidak mahu mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, dan ini dikhuatiri akan menjadi salah satu punca rakyat berpecah-belah.

Demi memastikan hasrat kerajaan untuk mengukuhkan semangat Satu Malaysia, penguasaan Bahasa Kebangsaan mesti diwajibkan seberapa segera. Setiap hari saya melihat masa depan kesatuan rakyat Malaysia berada pada paras yang semakin membimbangkan. Mungkin, kedamaian negara kita sekarang ini menyebabkan kita leka, atau tidak dapat merasai wujudnya benih-benih perpecahan dan tumbuhnya kulat-kulat beracun yang bakal menjejaskan perpaduan negara, apabila wujudnya golongan yang lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri dan keluarga sendiri berbanding pengorbanan terhadap kedaulatan negara. Apa yang dimaksudkan sebagai mengutamakan kepentingan diri sendiri di sini ialah, apabila satu-satu keluarga tidak sanggup mengorbankan masa untuk menguasai Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar untuk mempelajari Matematik dan Sains.

Logiknya, seorang yang memahami konsep Matematik dan Sains tidak kisah untuk berfikir mengenai konsep Matematik dan Sains dalam Bahasa Kebangsaannya. Jika ada pelajar mendakwa bahawa dia tidak dapat memahami Matematik dan Sains apabila bahasa pengantar telah ditukar dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, maka ini bermaksud pelajar itu sebenarnya menghafal konsep, dan bukannya betul-betul memahami satu-satu konsep bagi tajuk Matematik atau Sains yang dipelajarinya. Pelajar yang mampu memahami konsep bagi satu-satu topik Matematik dan Sains yang telah dipelajarinya seharusnya boleh menghuraikan konsep tersebut dalam pelbagai bahasa yang telah dikuasainya.

Adalah amat pelik bagi seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya paling menguasai Bahasa Malaysia, tidak dapat menghuraikan tentang kefahamannya mengenai satu-satu konsep, atau tidak dapat berfikir tentang satu konsep dengan menggunakan Bahasa Malaysia, sebaliknya lebih mampu berfikir dalam bahasa asing (Bahasa Inggeris). Ini tidak masuk akal, melainkan jika seseorang itu membesar di luar negara. Setiap rakyat Malaysia yang menetap di Malaysia, mesti diwajibkan menguasai Bahasa Malaysia, dan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa paling utama.

Sejak pengunaan Bahasa Melayu dikuatkuasakan kembali, didapati pelajar-pelajar yang menduduki kelas corot kini semakin berupaya untuk menyelesaikan soalan-soalan Matematik berbentuk penyelesaian masalah. Ini merupakan satu berita gembira untuk masa depan negara. Pelajar juga kini sudah mula mampu berfikir tentang konsep-konsep Matematik dan Sains, tidak lagi begitu fanatik menghafal, sebaliknya mereka mula menghayati konsep Sains dan Matematik. Ini kerana, sejak mereka didekatkan dengan konsep Matematik dan Sains dalam bahasa yang mereka sedia fahami, mereka mula merasakan adanya kemesraan atau hubungan antara diri mereka, masa depan mereka, pemikiran mereka dengan subjek Matematik dan Sains. Tidak lama lagi, kita akan dapat lihat, wujudnya minat, semangat dan keghairahan untuk menguasai konsep Sains dan Matematik di kalangan pelajar-pelajar kita.

Di sini, saya berdoa, agar semua rakyat Malaysia akan menjadi semakin cinta kepada negara, dan akan sentiasa bersatu-padu dalam usaha menjulang Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Malaysia adalah negara berdaulat, dan Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan di Malaysia.


Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI
Penulis: Jimadie Shah Othman, 18 Mac 2009
Sumber: MalaysiaKini.com

Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari dua subjek tersebut.

"PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.

Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.

Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.

Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.

Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Daerah dan sekolah tertentu.

Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Laporan eksekutif kajian itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.

Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.

Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Raof berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.

Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.

Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah – turut dipilih sebagai sampel.

Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.

"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.