BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Januari 10, 2012

Surat Pembaca - Menghilangkan Rasa Cemburu

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul. Nama yang disiarkan juga adalah nama samaran, berdasarkan kehendak pengirim surat.

Surat Pembaca: Cemburu Kuasai Hidupku

Aku punyai teman lelaki yang baik. Beza umurnya denganku 5 tahun. Aku 19 tahun dan dia 24 tahun. Kami bercinta sudah hampir 4 tahun. Banyak ranjau duri kami redahi ditambah pula aku menetap di KL dan dia di Perak. Alhamdulilah syukur aku dapat melanjutkan pelajaran di Perak dan kami kerap berjumpa. Tetapi sejak motornya rosak menyebabkan kami sudah jarang berjumpa. Malah masanya banyak dihabiskan bersama rakan-rakannya. Aku sedih dan terkilan kenapa tak ada inisatif lainkah nak datang jumpa aku walau sekejap. Hari tu aku ada terjumpa mesej teman wanita rakannya yang sedang bermasalah dengan teman lelakinya. Bermain message pula dengan adik perempuan tu. Aku naik angin akibat cemburu banyak kali dia terangkan yang dia memang tak ada apa dengan mana-mana perempuan tetapi aku cukup sakit hati. Hari tu aku jumpa myspace dia. Dia tidak beritahu aku langsung mengenai itu. Aku naik angin sebab dia punyai kawan-kawan perempuan yang ramai di situ. Katanya bukan dia yang online. Aku sedih. Aku memang kuat cemburu. Aku bukannya apa. Myspace tu banyak buruknya dari baik. Aku marah sebab ada comment dari girlfriend kawannya di situ. Aku tetap teringat dan kurang kepercayaan kepadanya. Aku tahu dia bukanlah jenis lelaki yang layan perempuan. Tapi aku tak boleh terima kalau ada perempuan yang cuba dekati dia. Aku dah cukup banyak berkorban untuk dia. Aku takut kehilangan dia dan aku paling tak suka hatiku dilukai. Tolonglah macam mana aku nak tepis perasaan ini.  Kadangkala ia menganggu kehidupan aku seharian.

Camelia


Jawapan Amiene Rev: Bercinta Kerana Takutkan Allah

Daripada gaya penulisan Camelia, memang ternyata Camelia telah dikuasai perasaan geram dan cemburu. Tahniah buat Camelia kerana mempunyai keazaman untuk menghilangkan perasaan cemburu. Kekuasaan Allah dalam menentukan jodoh memang sukar, bagi kita sebagai hambanya untuk membuat jangkaan.

Camelia, siapakah diri kita di dunia ini? Kita adalah hamba Allah. Adakalanya bukan kita yang mampu membuat keputusan. Soal mati, soal jodoh, semua ini penuh dengan misteri dan hikmah. Cemburu yang keterlaluan boleh berlaku apabila kita gagal menghalang bisikan syaitan. Syaitan yang menghasut kita supaya cemburu, supaya kita lalai dan leka kerana setiap hari rungsing dan memikirkan sesuatu yang kadangkala bukan di bawah kekuasaan kita - jodoh.

Dalam memilih jodoh, pilihlah pasangan hidup yang dapat memberi kita kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jika Camelia rasa tidak bahagia bersama dia, cari saja lelaki lain yang lebih beriman, menjaga batas pergaulan dan mempunyai matlamat hidup serta bertanggungjawab.

Cinta harus hadir kerana takutkan Allah, kerana mencari keredhaan Allah. Perasaan itu sesuatu yang istimewa bagi manusia, tetapi jika kita dikuasai oleh perasaan, hidup kita boleh musnah. Adakah cemburu Camelia ini kerana hendakkan keredhaan Allah, atau kerana manusia?

Camelia mungkin sukakan lelaki yang tidak memandang kepada wanita lain, dan menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Lelaki muslim sejati seperti ini boleh ditemui di masjid-masjid, surau-surau atau di majlis-majlis keagamaan. Mungkin lelaki jenis ini yang lebih sesuai untuk Camelia.

Perasaan cemburu boleh ditepis. Tetapkan niat apa sahaja tindakan kita kerana mencari keredhaan Allah. Suatu ketika nanti, Allah akan membantu kita, mungkin menunjukkan jalan hidup yang lebih baik daripada apa yang kita sedang lalui sekarang ini. Niatkan perhubungan ini kerana Allah, maka Allah pasti akan tunjukkan jalan yang lebih membahagiakan.

Semoga Camalia akan berbahagia hendaknya, selepas ini.

Yang benar,
AMIENE REV