BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Januari 09, 2012

Surat Pembaca - Ingin Melupakan Orang Yang Tidak Mahu Dicintai

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul. Nama yang disiarkan juga adalah nama samaran, berdasarkan kehendak pengirim surat.

Surat Pembaca: Selalu Mengingati Kawan Abang
Masalah saya ialah saya selalu saja teringat kepada salah seorang kawan baik abang saya. Dia tu jiran saya dan setahu sayalah dia rapat dengan kawan baik saya. Saya dah tak tahu hennak buat apa. Lepas saja berdoa saya mesti ingat lagi dia dan ternampak nama dia di mana-mana. Saya tak mahu dia walaupun kami dah kenal sejak dari kecil lagi. Tolonglah bagi tips bagaimana hendak lupakan dia. Sudah Buat istikharah tetapi masih nama dia diingati. Saya tak nak jadi penghalang antara dia dengan kawan baik saya sendiri. Tolonglah, bantu saya.

Atie

Jawapan Amiene Rev: Bacalah Al-Quran
Melupakan orang bukan perkara yang susah sebenarnya. Ia bergantung kepada diri kita sendiri. Pertama, saudari harus berfikiran rasional. Si dia sudah berpunya, dan saudari tidak mahu menjadi penghalang. Jadi biarkan sahaja. Usah difikir lagi. Masalah utama saudari ialah fokus. Saudari tidak dapat fokus pada matlamat saudari. Dalam Islam, kita diajar supaya mengawal emosi, dan jangan mengikut perasaan. Bisikan syaitan begitu kuat, sehingga mengaburi hati saudari.

Jalan terbaik ialah dekatkan diri kepada Allah. Bacaan Al-Quran mampu melunturkan bisikan syaitan. Jika saudari amalkan setiap hari, saudari pasti akan kembali tenang. Cinta bukan kerana nafsu, tetapi kerana mencari keredhaan Allah. Cinta kerana nafsu mengundang kemurkaan Allah, hati saudari tidak akan tenang, kerana hidup tidak diberkati. Bercintalah kerana Allah, dan tinggalkanlah si dia kerana Allah. Itulah panduan yang dapat saya berikan untuk saudari. Semoga berjaya dan semoga berbahagia.

Yang benar,
AMIENE REV