BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Disember 17, 2011

Surat Pembaca - Menghilangkan Rasa Sunyi

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.

SURAT PEMBACA - SERING KESUNYIAN

Saya sentiasa berasa kesunyian dan kesepian setiap hari. Pelbagai perkara telah saya cuba lakukan untuk menghapuskan perasaan tersebut selain dengan menyiapkan assigment, saya juga melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan dan memenuhi masa terluang dengan membaca buku cerita atau sebarang bahan bacaan. Namun, perasaan tersebut akan hadir juga beberapa ketika kemudian. Saya tidak tahu apa lagi tindakan yang patut saya ambil. Saya kurang gemar berada bersama kawan-kawan yang ramai dan menghabiskan masa berborak kosong dan melepaskan hilai tawa yang keterlaluan. Saya sentiasa merasakan ingin berteman dengan seseorang yang memahami saya. Kadang-kadang kesunyian dan kesepian yang melanda jiwa saya menjadikan saya agak tertekan kerana sudah buntu.

Apa lagi yang harus saya lakukan bagi menghilangkan perasaan sebegini. Kerap kali juga uga saya menangisi kesunyian dan kesepian yang dialami. Saya harap masalah saya ini dapat diberi penawarnya agar saya gembira dan kesunyian itu diganti dengan kebahagiaan.

Miss Lonely



JAWAPAN AMIENE REV : LIHAT KELEBIHAN DIRI DAN PENDERITAAN ORANG LAIN, KITA AKAN MAKIN BERSYUKUR.

Daripada apa yang saya faham mengenai masalah saudari Miss Lonely ini, bukanlah kesunyian, tetapi kemurungan. Saya yakin, Miss Lonely adalah seorang pelajar di peringkat pengajian tinggi. Saudari berasa tidak mendapat kepuasan dalam hidup, lantaran tidak ada teman yang betul-betul dapat memahami keperluan saudari.

Kadangkala tidak semua perkara dapat memenuhi kehendak atau ikut kemahuan kita. Saudari harus belajar untuk menerima rakan-rakan lain. Mungkin saudari berasa sunyi kerana kawan-kawan lain suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, sedangkan saudari pula dari jenis yang suka melakukan sesuatu yang berfaedah.

Saudari mungkin seorang yang bercita-cita tinggi. Jika saudari ada matlamat yang boleh dicapai, cubalah isu ruang masa saudari dengan mencapai matlamat tersebut. Mungkin saudari boleh cuba tuliskan apa masalah saudari di dalam jurnal atau hasil pembacaan saudari di dalam jurnal dan berkongsi idea dengan penulis-penulis intelek yang lain? Atau, sertai mana-mana kelab atau persatuan kebajikan supaya saudari dapat mengenali lebih ramai aktivis kemanusiaan yang suka melakukan perkara-perkara berfaedah.

Mungkin, dengan melakukan kerja-kerja kebajikan di dalam kelab atau persatuan, seperti ke rumah orang-orang tua, akan membuka pandangan saudari tentang erti kesunyian. Orang-orang tua, atau pesakit-pesakit kanser di wad kritikal mungkin melalui tempoh kesunyian yang lebih teruk. Jika ini benar, saudari akan dapati bahawa saudari lebih beruntung daripada mereka.

Bersyukurlah. Bersyukur adalah kunci penghapus kesunyian.

Yang benar,
AMIENE REV