BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Disember 28, 2011

Surat Pembaca - Keliru Dengan Hubungan Cinta

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.

Surat Pembaca: Keliru Dengan Sikap Kekasih

Salam, Amiene Rev.

Saya seorang pelajar dan sedang menuntut di sebuah institut. Saya sudah berusia 20 tahun dan beberapa tahun lagi akan menamatkan pengajian. Saya sangat cemburu dengan kawan-kawan yang telah berpunya sedangkan saya belum. Saya menyedari bahawa saya bukanlah seorang yang sangat cantik. Sebelum ini, saya pernah berkenalan dengan seorang lelaki selama beberapa bulan namun dia menghilang tanpa saya tahu apa sebabnya dan ini sedikit sebanyak telah membuat saya tertekan.

Selepas hampir 6 bulan, saya berkenalan pula dengan seorang lelaki yang lain dan dia dengan yakin telah meluahkan isi hatinya kepada saya. Saya selesa dengannya tidak seperti lelaki yang lain. Namun, saya dapat merasai kekurangan dalam perhubungan ini kerana dia sudah jarang berkomunikasi dengan saya. Saya cuba untuk memberi dia ruang kerana bimbang akan mengganggu sebarang aktiviti hariannya disebabkan dia seorang penuntut di luar negara, jadi waktu cuti adalah waktu untuk bersama keluarga. Apa yang mengelirukan saya ialah dia mengatakan saya terlalu baik untuk dia menyebabkan dia sukar untuk menghubungi saya.

Saya keliru dengan sikapnya walaupun saya sudah cuba untuk memahami dirinya. Melihat teman-teman yang gembira membuatkan saya cemburu dan berharap saya juga akan punya saat sebegitu. Saya harap Amiene Rev dapat membantu saya sedikit sebanyak.

Anaraz

Jawapan Amiene Rev: Usah Ditunggu Kepada Yang Tidak Sudi

Salam kembali, Anaraz.

Berdasarkan keterangan saudari Anaraz, saya kurang pasti sama ada hubungan saudari dengan lelaki tersebut berada pada tahap serius atau belum. Berdasarkan komen lelaki tersebut, saya berpendapat bahawa dia tidak mempunyai apa-apa hubungan cinta yang serius dengan saudari. Oleh itu, dalam keadaan ini, adalah menjadi perkara biasa sekiranya hubungan seperti ini tidak berkekalan, melainkan jika sudah jodoh.

Apakah yang dimaksudkan dengan meluahkan isi hatinya di sini? Adakah dia ada menyatakan bahawa dia benar-benar mencintai saudari? Adakah saudari pernah bersemuka dengan beliau? Lelaki ini berkemungkinan sedang sibuk dengan urusan pengajiannya dan mungkin terbeban dengan pelbagai tugas, oleh itu adalah bijak jika saudari tidak mengganggunya selalu, melainkan memberinya sokongan moral, dan jangan sekali-kali menambah beban beliau.

Mungkin saudari terlalu awal mendekatinya, kerana pada ketika ini beliau mungkin belum bersedia untuk bercinta. Barangkali tindakannya meluahkan isi hatinya tempoh hari dilakukan secara terburu-buru, mengikut perasaan, tanpa mempertimbangkan baik buruknya dahulu.

Saudari digalakkan untuk melakukan solat istikharah, dan kemudian tinggalkan perkara yang lara ini dari terus menghantui diri saudari. Jika benar dia jodoh saudari, maka pasti dia akan datang kepada saudari selepas dia tamat pengajiannya. Jika dia tidak datang, ternyata hatinya telah tawar. Namun, perlu saya ingatkan, jangan sesekali membebankan lelaki tersebut, kecuali saudari memberi sokongan moral kepadanya.

Ada sesetengah gadis bertindak membebankan lelaki yang dicintainya dengan tanggungjawab cinta dan hubungan cinta sehingga menyebabkan si lelaki rasa terbeban dan serba salah, dan akhirnya bertindak memutuskan hubungan yang mengganggu tanggungjawab sedia adanya. Berhati-hatilah.


Yang benar,
AMIENE REV

ANDA ADA MASALAH? Duke Amiene Rev: Pos Masalah Anda - Borang