BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Disember 02, 2011

Maharaja Lawak Minggu Ke-4 Ulasan Amiene Rev

Sekali lagi, boleh dikatakan agak lambat saya menulis ulasan mengenai Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-4, kerana Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-5 sudah pun berlangsung baru-baru ini. Malam ini saya berkesempatan menonton Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-4, di mana pada malam ini saya menyaksikan biarpun ramai warga Malaysia yang berkecil hati dengan sikap dan layanan penduduk di Indonesia terhadap kontinjen Malaysia, namun di medan perjuangan Maharaja Lawak Mega, Malaysia dan Indonesia bagaikan adik-beradik yang mesra dan rapat. Saya dapati kumpulan Syok, Bawel dan Saehu seolah-olah sudah dapat memahami budaya Malaysia dan melakukan perubahan sedikit demi sedikit dalam cara persembahan mereka.

Jalil Hamid Pergi Meninggalkan Mesej
Juga pada malam tersebut, salah seorang Otai Lawak Malaysia iaitu Jalil Hamid, tersingkir. Pada dasarnya, kita boleh katakan Jalil Hamid seolah-olah tidak mampu untuk mencipta lawak yang menggelikan hati para penonton, namun cara Jalil Hamid berlawak adalah cara orang lama berlawak. Dalam persembahannya, Jalil Hamid sering menyelitkan mesej yang berbentuk teguran dan nasihat yang mungkin tersirat dan perlu difikirkan oleh para penonton. Pengucapan Jalil Hamid berisi. Jalil Hamid berjaya menarik perhatian penonton dan membawa penonton masuk dan melibatkan diri, bersuara dan memberikan pandangan. Dalam satu sisi yang lain, Jalil Hamid selaku orang lama sebenarnya sedang cuba menggunakan pentas Maharaja Lawak Mega untuk menyampaikan mesej kepada generasi hari ini. Jalil Hamid berjaya menggerakkan minda orang ramai untuk berfikir dan merenung realiti masyarakat hari ini. Namun semua ini memerlukan pengorbanan dan risiko, Jalil Hamid akan kehilangan penyokong. Dari segi politik, cara Jalil Hamid ini disenangi oleh golongan intelektual. Namun dari sudut hedonisme, tidak ramai generasi hari ini yang sukakan teguran atau kritikan, mereka cuma mahu keseronokan dan terhibur. Dengan itu, Jalil Hamid tersingkir, bersama-sama ilmu penuh di cangkir. Pemergian Jalil Hamid diiringi tangisan para penyokongnya. Ini kerana Jalil Hamid pergi sebagai orang lama yang penuh ilmu di dada. Dalam kata-kata terakhirnya di pentas lawak, Jalil Hamid memberitahu orang ramai bahawa ada beza antara berlawak dengan melakonkan lawak. Berlawak datang dari idea sendiri manakala melakonkan lawak ialah membawakan watak lawak mengikut skrip. Ada orang dilahirkan semula jadi pandai berlawak, ada orang dilahirkan sebagai pelakon. Bakat manusia adalah unik.

3G Makin Serasi
Kumpulan 3G nampaknya sudah makin serasi. Pengaruh kuasa kumpulan 3G makin lama makin kuat. Kumpulan Maharaja Lawak Mega 3G sentiasa berjaya menyengat penonton. Yasin masih mendahului mana-mana anggota kumpulan Senario. Ini keistimewaan Yasin sebagai pelawak semula jadi.

Saehu Seronok Di Pentas
Kumpulan Maharaja Lawak Mega dari Indonesia, Saehu tampak selesa berlawak di atas pentas. Mereka kelihatan seronok berlawak. Sesekali saya terbayangkan cara Aznil berlawak di depan kamera. Lawak kumpulan Maharaja Lawak Mega Saehu kelihatan mesra. Kesungguhan kumpulan Saehu sentiasa jelas, mereka bukan sahaja bertanding, tetapi seronok dengan apa yang mereka lakukan. Kumpulan ini mempunyai jiwa seorang penghibur.

Bawel Ubah Cara Persembahan
Kumpulan Maharaja Lawak Mega dari Indonesia yang satu lagi iaitu Bawel tampil dengan kreativiti dan keunikan lawak mereka. Kali ini, anggota lain pula yang dibuli.. Sekali lagi Bawel berjaya menggeletek para penonton dengan lawak mereka. Teknik berlawak kumpulan Bawel ialah secara naik tangga, mereka mengulang-ulang satu bentuk persembahan lawak sehingga lawak tersebut sedikit demi sedikit menggeletek hati para penonton sehingga ketawa terbahak-bahak. Bak kata orang lama-lama, seperti menggaru kurap, makin digaru makin sedap. Ini keistimewaan kumpulan Bawel.

Syok Temui Rentak Lawak Malaysia
Kumpulan Maharaja Lawak Mega Syok kini sudah mula menemui rentak berlawak yang disenangi oleh rakyat Malaysia. Lakonan kumpulan Maharaja Lawak Mega Syok adalah antara yang terhandal di pentas Maharaja Lawak Mega, namun selalunya keseriusan lakonan mereka menyebabkan lawak yang disampaikan mati di hati penonton. Ini kerana wujudnya kejutan dan keterujaan yang menyebabkan penonton tidak dapat mengikut rentak persembahan kumpulan Syok. Umpama besi panas dicurahkan air sejuk, begitulah kombinasi lawak kumpulan Syok yang menyebabkan penonton tidak dapat cepat beralih antara serius menghayati dengan geli hati. Pukauan lakonan serius kumpulan Syok menjadikan kesan lawak mereka lambat untuk diterima penonton. Namun dalam minggu ke-4 ini, kumpulan Syok sudah mengubah resepi dan adunan lawak mereka. Lawak mereka makin mendapat tempat. Saya sendiri belum berani menjangkakan sejauh mana kumpulan Syok mampu pergi, kerana persaingan hebat dan keazaman tak kunjung kalah beberapa kumpulan peserta lain tidak boleh dinilai dengan mudah.

Adlin Tampak Kurang Keyakinan Diri
Persembahan Adlin pada malam tersebut memang hebat, pengurusan masa persembahan juga tepat, namun setelah dilanda kontroversi dalam persembahannya, imej dan populariti Adlin tampak agak merudum. Segelintir penonton mempunyai persepsi yang kurang baik tentang Adlin, berikutan isu sensitif yang dibawanya pada minggu lalu. Adlin juga bagaikan sudah tahu apa maklum balas yang bakal diterimanya pada minggu ini. Kesungguhan Adlin barangkali merupakan penyelamat, yang menyebabkan Adlin masih mampu menakluki hati penyokong, sebagai salah seorang Maharaja Lawak Mega.

Pimai Memandu Dingin Hujan
Kumpulan Pimai pada malam ini nampaknya seperti menyandarkan sepenuhnya tanggungjawab berlawak kepada Sathiya. Sukar dipastikan kenapa para pelawak otai pada malam ini kelihatan agak merudum, barangkali kerana tumpang simpati dengan Bob Kuman yang dimasukkan ke hospital kerana kemalangan di tandas. Memandangkan ada beberapa peserta dan individu yang tampak dingin pada minggu ke-4 ini, saya juga agak kurang senang untuk memanjangkan ulasan.

Bawal Power Tetap Berkuasa
Ketiadaan Bob Kuman bukan satu kelemahan buat Sobri untuk meneruskan perjuangan. Sobri tampil mengusik beberapa orang penonton sebelum menghabiskan saki baki beberapa saat terakhir di atas pentas. Keyakinan dan keberanian Sobri mengusik beberapa peserta lain termasuk anggota kumpulannya sendiri memang satu aset yang tidak ada pada mana-mana peserta lain. Sobri seorang pelakon yang hebat, beliau telah cuba sedaya upaya untuk menggaris antara lawak dan sensitiviti peribadi. Usikan-usikan panas Sobri berakhir dengan simpati, tetapi simpati itu dikejutkan semula dengan usikan seterusnya daripada Sobri kepada Bob Kuman. Bob Kuman pasti terlupa seketika kesakitannya di hospital.

HIRO Memanaskan Badan Dalam Kesejukan
Pada malam yang kelihatan dingin ini, kumpulan Maharaja Lawak Mega HIRO masih tetap mampu mempamerkan lawak mereka. Melakonkan watak secara lawak merupakan kelebihan kumpulan HIRO. Zaman kegemilangan Senario di pentas masih mampu dibangkitkan di pentas Maharaja Lawak Mega. Namun, kehadiran beberapa Otai Lawak menyebabkan kedudukan mereka tergugat pada minggu ini.

Boboi Masih Juara
Minggu ini tema yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan Maharaja Lawak Mega ialah cinta. Terdapat beberapa persamaan yang dilihat antara kumpulan-kumpulan Maharaja Lawak Mega. Salah satu elemennya ialah Facebook, manakala elemen yang paling ketara ialah lelaki berpakaian wanita. Harun Salim Bachik sekali lagi mempamerkan ketokohannya dalam dunia lawak. Beliau tampil denngan lakonan lawak yang hebat. Barangkali inilah yang dikatakan oleh Jalil Hamid, dua kepala lebih bagus daripada satu kepala. Kombinasi kreativiti Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik memang sudah nyata memberi penangan hebat kepada dua peserta solo iaitu Jalil Hamid dan Adlin. Boboi sentiasa tampil dengan sketsa dan skrip yang kemas. Siri Boboi yang dibawa oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik penuh dengan aksi lakonan dan dialog lawak yang cukup menggeletek jiwa penonton. Kedua-duanya berjaya menulis dan melakonkan satu skrip lawak yang cukup berkualiti, dan pada masa yang sama ada mesej yang tersirat.

Osbon Mula Tunjuk Taring
Persembahan kumpulan Maharaja Lawak Mega Osbon bagaikan penyelamat kedinginan suasana yang agak terasa menyengat ke tulang sumsum para penonton. Mr. Os, merupakan satu nama yang cukup gah pada suatu ketika dahulu, di mana Os pernah menjadi bintang filem dan hero dalam filem-filem lawak sekitar era sebelum zaman siber dahulu kala. Abon pula merupakan seniman yang telah banyak muncul dalam persembahan pentas komedi, salah seorang Otai Lawak yang sentiasa hadir dengan lawak spontan. Malam ini, gabungan kedua-duanya berjaya meragut populariti beberapa kumpulan peserta yang lain.

Secara jujurnya, setelah melihat penyingkiran Jalil Hamid, saya berasa agak kurang seronok untuk mengulas secara panjang lebar. Ini kerana Jalil Hamid merupakan salah seorang tokoh dunia seni yang saya hormati. Jalil Hamid tidak meninggalkan pentas Maharaja Lawak secara kosong, beliau mengiringi pentas dengan lawak jenaka, beliau berjaya mengawal penonton dan menarik perhatian penonton. Cuma satu sahaja yang mungkin Jalil Hamid tidak begitu peduli, iaitu ini sebuah pertandingan. Mungkin bagi Jalil Hamid, niat asalnya menyertai Maharaja Lawak Mega ini adalah untuk suka-suka menguji diri, namun di luar sana terdapat ramai peminat Jalil Hamid yang berharap Jalil Hamid dapat mara ke pusingan akhir, apatah lagi pada masa sekarang ini, sukar sekali untuk melihat aksi Jalil Hamid di pentas secara langsung.

Ketidakhadiran Chef Wan juga menyebabkan rancangan Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-4 menjadi agak kurang sempurna. Chef Wan sememangnya seorang tukang masak legenda yang sejak dulu berjaya menarik perhatian dan mencuit hati suri-suri rumah semasa beliau mengendalikan rancangan masakan anjuran Bird Custard dahulu kala. Kepetahan bercakap dan kehangatan gurauan kata-kata Chef Wan memang tidak dapat disangkal lagi. Malam ini, rancangan Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-4 menjadi agak dingin, salah satu faktor utamanya barangkali adalah ketiadaan Chef Wan.