BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Disember 09, 2011

ILMU UNTUNG RUGI FILEM BAJET RENDAH DAN FILEM BAJET BESAR

FORMULA AMIENE REV: STRATEGI PENERBITAN FILEM: 
Untung Rugi Filem Bajet Besar dan Filem Bajet Kecil

Ulasan perbandingan beberapa buah filem bajet kecil dan filem bajet besar dari aspek untung ruginya:

FILEM: Penunggu Istana
KATEGORI: SERAM   
MODAL: 0.60 juta
TARIKH TAYANG: 21.04.2011
KUTIPAN: 0.89 juta   
BILANGAN PANGGUNG: 39
Ulasan Amiene Rev: Filem ini saya anggap berjaya mengaut keuntungan, walaupun bajet kecil, tetapi untungnya tetap ada. Tajuk dan jalan cerita filem ini dikaitkan dengan cerita sebenar yang pernah menjadi bualan pihak tertentu.

FILEM: Sumpahan Puaka
KATEGORI: SERAM / KELUARGA / MISTERI   
MODAL: 0.46 juta   
TARIKH TAYANG: 20.10.2011   
KUTIPAN: 0.31 juta   
BILANGAN PANGGUNG: 42
Ulasan Amiene Rev: Filem ini gagal mengaut keuntungan. Mungkin sekiranya penerbit meningkatkan lagi promosi, keuntungan boleh dicapai.

FILEM: HAQ
KATEGORI: AKSI   
MODAL: 2.50juta   
TARIKH TAYANG: 27.01.2011   
KUTIPAN: 0.80 juta
BILANGAN PANGGUNG: 50
Ulasan Amiene Rev: Filem ini menampilkan pelakon-pelakon hebat. Kegagalan filem ini mungkin kerana kurang promosi. Saya juga tidak tahu filem HAQ ini filem apa, tetapi kerana saya menyokong filem-filem tempatan, maka saya pun pergi menonton filem ini. Promosi tampak perkara penting dalam mempromosikan filem.


FILEM: Hikayat Merong Mahawangsa
KATEGORI: SEJARAH / AKSI / PEPERANGAN   
MODAL: 6.82 juta   
TARIKH TAYANG: 10.03.2011   
KUTIPAN: 6.50 juta   
BILANGAN PANGGUNG: 67
Ulasan Amiene Rev: Kutipan untuk filem ini amat memberangsangkan tetapi filem ini masih belum untung sepenuhnya di Malaysia. Filem ini tidak menggandingkan pelakon-pelakon hebat dan terkenal. Pelakon terkenal yang masih lekat pada ingatan saya dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa ini cuma Stephen Rahman Hughes, Datuk Rahim Razali, Khir Rahman, Ummi Nazeera dan Jehan Miskin. Gandingan pelakon dalam filem ini bersifat rencah, kerana ada pelakon yang banyak muncul bersama watak utama (pelakon hebat) tetapi lakonannya agak kaku (masih boleh diperbaiki sebenarnya). Namun, KRU Studios bijak menganggar keuntungan filem ini di Malaysia dan mengambil langkah bijak dengan mempromosikan filem ini di luar negara. Kita ambil contoh, filem TWILIGHT - BREAKING DAWN juga pasti akan rugi jika dipaparkan di satu negara kecil seperti Malaysia, malah berada di tangga kutipan yang lebih rendah berbanding filem Ombak Rindu karya tempatan. Filem yang bersifat antarabangsa akan menjamin pulangan balik yang menguntungkan sekiranya strateginya betul.

  
FILEM: 2 Alam
KATEGORI: DRAMA
MODAL: 1.51 juta
TARIKH TAYANG: 18.11.2010
KUTIPAN: 0.44 juta
BILANGAN PANGGUNG: 83
Ulasan Amiene Rev: Filem ini sememangnya mendapat promosi yang luar biasa hebatnya dalam sejarah promosi filem di Malaysia. sebaliknya filem ini gagal teruk di pasaran. Sebelum ini, kita (saya) anggap promosi sebagai satu perkara penting dalam memastikan kutipan tinggi bagi satu-satu filem. Malah filem ini juga telah menepati beberapa teori pemasaran seperti meningkatkan pasaran dengan memperbanyakkan bilangan panggung. Jadi, apakah silapnya filem ini sehingga gagal di pasaran? Dikatakan, filem 2 Alam ini diiringi dengan promosi berbentuk provokasi tidak langsung dari pihak penerbitnya yang menyebabkan filem ini hilang popularitinya. Malah ada pembaca surat khabar yang menganggap iklan filem 2 Alam ini di surat khabar sebagai satu bentuk provokasi tidak langsung kepada pengarah-pengarah filem senior, walaupun ini pasti bukan niat sebenar penerbit. 

Ada juga penonton yang mengatakan mereka berasakan kualiti dan jalan cerita filem 2 Alam ini tidak sehebat yang digembar-gemburkan. Pada pandangan penonton, filem ini telah dikhabarkan sebagai sebuah filem hebat, tetapi realiti sebenarnya dianggap penonton sebagai tidak sampai ke tahap itu. Mungkin kerana faktor ini, ramai penonton berasa seolah-olah telah ditipu dan diperlekehkan tentang daya fikir mereka tentang satu-satu produk filem, dan akhirnya menyebabkan banyak cerita negatif tentang filem ini tersebar. Saya pasti penerbit 2 Alam tidak berniat untuk membohongi penonton, dan semangat penerbit filem 2 Alam ini sememangnya hebat.

Moral yang dapat saya perolehi daripada kes filem 2 Alam ini ialah, jika mahu filem laku di pasaran, jauhi provokasi, hormati penerbit senior. Penerbit senior juga tidak berani mensasarkan 40 juta walaupun tahun pengalaman mereka dalam dunia penerbitan filem jauh lebih lama berbanding penerbit filem 2 Alam. Teknik promosi yang luar biasa hebat akan musnah sekiranya terdapat kontradiksi anggapan di kalangan pembeli tiket dengan apa yang cuba digambarkan.

FAKTA UNTUK FILEM NASI LEMAK 2.0 KURANG JELAS KERANA MAKLUMAT FILEM INI TIDAK DIPAPARKAN DI LAMAN WEB FINAS.

FILEM: Nasi Lemak 2.0
KATEGORI: Komedi
MODAL: bajer rendah (tidak dinyatakan)
TARIKH TAYANG: 8 September 2011
KUTIPAN: 7 juta (berdasarkan laporan berita)
BILANGAN PANGGUNG: 60-70

Ulasan Amiene Rev: Kontroversi lebih bagus berbanding provokasi. Berbeza dengan filem 2 Alam yang mencetuskan provokasi, filem Nasi Lemak 2.0 pula diiringi kontroversi penerbitnya yang lama. Penerbit filem ini, Namawee, sebenarnya secara tidak langsung telah mencipta dua persepsi berbeza tentang dirinya. Pertama, segolongan orang menganggap beliau sebagai seorang yang biadab. Kedua, segolongan orang telah melihat dirinya sebagai wira yang berani bersuara demi keadilan. Berbeza dengan penerbit filem 2 Alam, Namawee dilihat sebagai seorang pejuang. 

Filem Nasi Lemak 2.0 sebenarnya tidak mempunyai promosi yang hebat, tetapi kontroversi yang mengekori Namawee secara tidak langsung telah memancing para pemburu kontroversi dan cerita sensasi untuk mengenali filem Nasi Lemak 2.0. Keberanian Namawee untuk menerbitkan filem Nasi Lemak 2.0, di samping kesungguhannya untuk menemui Perdana Menteri bagi memohon kelulusan agar filem ini ditayangkan kerana filem ini bertemakan 1 Malaysia telah menyentuh hati ramai orang. Berbeza dengan penerbit filem 2 Alam, Namawee dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai apa-apa tetapi berhati waja. Sifat seorang pejuang yang ada dalam diri Namawee ini menyebabkan filem Nasi Lemak 2.0 laku di pasaran. 

Namawee dan penerbit filem Nasi Lemak 2.0 juga bijak menganggar keuntungan filem ini, beliau cuba membawa filem ini keluar dari kelompok pasaran filem Malaysia, dan menayangkannya di luar negara, Australia. Kerana Namawee bijak menganggar senario paling merugikan yang bakal dihadapi dan bagaimana mengatasi senario tersebut, Namawee berjaya menyelamatkan filem Nasi Lemak 2.0. Perbezaan jelas antara Nasi Lemak 2.0 dengan 2 Alam ialah faktor keyakinan. Penerbit filem 2 Alam terlebih yakin, dan dilihat tidak memikirkan senario apa akan berlaku jika filem 2 Alam rugi, dan bagaimana untuk menyelamatkan kutipan filem 2 Alam, manakala filem Nasi Lemak 2.0 yang lahir dalam keadaan penerbitnya memiliki risiko untuk rugi, telah memikirkan jalan selamat untuk menyelamatkan kutipan filem ini dan mengaut keuntungan. Filem Nasi Lemak 2.0 juga dijadualkan untuk ditayangkan di beberapa buah negara lain pada bulan Disember, iaitu di Taiwan dan Singapura.

KEHEBATAN FILEM NASI LEMAK 2.0
Filem Nasi Lemak 2.0 diterbit dan ditayangkan pada tahun yang sama. Perkara seperti ini jarang-jarang berlaku kerana kebanyakan filem perlu menunggu giliran sebelum ditayangkan. Namawee boleh dianggap sebagai wira dalam dunia perfileman, dia bangkit dari kontroversi dan persepsi negatif sesetengah rakyat Malaysia dan berjaya menjual filemnya dengan jayanya. Namawee adalah graduan universiti dari luar negara dalam bidang media. Strategi Namawee boleh dicontohi dan dirujuk oleh penerbit-penerbit filem yang lain.

FORMULA FILEM NASI LEMAK 2.0
YANG DILIHAT
Kontroversi (bukan provokasi) jadi sumber percuma promosi. Orang suka melihat sesuatu yang buruk, jadi apa salahnya kita tampal iklan promosi di tempat yang buruk itu. Jadi apabila orang tercari-cari sesuatu yang buruk dan kontroversi itu, mereka melihat ada iklan promosi pula di situ.

Gabungan 1 Malaysia dan barisan pelakon pelbagai kaum. Kontroversi Namawee sebelum ini telah mengheret ramai kaum untuk secara tidak langsung terlibat dalam promosi filem ini. Tambahan pula filem ini berjaya memuatkan pelakon-pelakon 1 Malaysia yang terkenal sejak filem arahan arwah Yasmin Ahmad dahulu seperti Adibah Noor dan Afdlin Shauki, filem ini tampil mesra pelbagai kaum.

Keperwiraan dan pengaruh Namawee. Namawee dilihat sebagai seorang yang biadab apabila bersuara, tetapi suaranya mewakili keadilan untuk kaum, masyarakat dan rakyat. Namawee mengutarakan persoalan-persoalan yang nyata memihak kepada masyarakat. Ini membantu meningkatkan pengaruh Namawee. Orang ramai datang mencari Namawee kerana kontroversi, kemudian Namawee berjaya mengubah mereka yang datang itu kepada penyokongnya menerusi kehebatan dan pengaruhnya. Namawee mungkin mampu menjadi seorang ahli politik, dan dia berjaya mendapat peminatnya yang tersendiri.

Kata-kata Namawee mungkin biadab, tetapi mesejnya bermakna. Ramai orang datang mahu menonton filem Namawee kerana mahu mendengar apa yang Namawee ingin sampaikan. Lihat saja pada lirik lagu tarian India tetapi berbahasa Cina dalam filem Nasi Lemak 2.0, dari situ kita dapat lihat betapa bijaknya graduan universiti bidang media ini menyusun langkah untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat. Dalam komedi, ada intipati.

Strategi pemasaran. Namawee dan pihak penerbit filem Nasi Lemak 2.0 tahu filem ini mempunyai risiko untuk gagal di pasaran Malaysia, maka beliau mengambil langkah bijak bersama pihak penerbit filem ini untuk memasarkan filem ini ke beberapa negara selain Malaysia.

APA YANG DAPAT SAYA RUMUSKAN HASIL DARI KAJIAN RINGKAS SAYA TENTANG UNTUNG RUGI FILEM-FILEM BAJET BESAR DAN BAJET RENDAH SEPERTI BERIKUT:
  • Filem bajet rendah boleh berjaya jika ada promosi.
  • Tema seram biasanya berjaya untuk filem bajet rendah.
  • Promosi boleh ditampal pada cerita kontroversi supaya apabila orang cari cerita kontroversi, tetapi mendapat cerita promosi. Bak kata, cerita kontroversi yang dicari, promosi yang didapati.
  • Kontroversi membuka peluang promosi, manakala provokasi membuka pintu kritikan.
  • Keyakinan melampau memakan diri, perlu ada rasa bimbang tentang risiko kerugian filem dan cari cara untuk menghadapi kerugian tersebut.
  • Strategi pemasaran perlu.
Strategi Pemasaran Perlu Ada
Caranya ialah dengan membawa keluar filem atau karya itu dari kelompok tempatan ke kelompok luar kerana pemikiran dan budaya penduduk berbeza mengikut geografi. Jika di sini, penerbit dicerca dan diboikot, mungkin di negara lain adalah sebaliknya.

Sebagai contoh, jika belanja bikin filem ialah 1,000,000 juta, dan promosi serta kos pemasaran ialah 50,0000 dan kutipannya cuma 200,000, penerbit mesti cari jalan supaya berapa banyak tapak untuk tayangkan filem atau pasarkan filem tersebut untuk membolehkan pulangan modal berlaku.

Kos filem ialah 1,000,000 + 5(50,000) = 1,250,000 manakala kutipan untuk filem ialah 5 x 200,000 = 1,000,000 maka mesti pastikan kutipan melebihi kos bikin filem + kos (promosi + pemasaran) supaya ada untung. Dalam kes ini cuba lihat kalau:

Kutipan untuk filem 10 x 200,000 = 2,000,000 manakala kos bikin, promosi dan pemasaran filem ialah 1,000,000 + 10(50,000) = 1,500,000

KEUNTUNGAN: Jumlah Kutipan - Jumlah Kos = 2,000,000 - 1,500,000 = 500,000

Apabila ditingkatkan keluasan pasaran dan promosi pada kadar yang munasabah, maka senario balik modal boleh berlaku.

Begitulah pandangan dan ilmu tentang strategi yang dapat saya wujudkan tentang bagaimana penerbit filem mampu menyelamatkan filem mereka dari segi kutipan filem. Jangan sekadar bertaruh nasib, tetapi mesti ada strategi menyelamat kutipan dan keuntungan untuk satu-satu filem. Usaha ini pasti menjadi kenangan manis buat pihak penerbitan filem itu sendiri, selain mampu meningkatkan pengaruh yang tidak disangka.