BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 26, 2011

Misteri Jalan Lama - Sinopsis dan Ulasan

 POSTER FILEM MISTERI JALAN LAMA

Moral Dalam Filem Misteri Jalan Lama
Dalam Filem Misteri Jalan Lama, dua adik beradik kembali berdamai setelah 15 tahun berpisah. Indra yang pada mulanya sangat benci pada bapanya, berubah hati selepas menemui satu folio atau buku skrap yang mengandungi segala artikel tentang dirinya. Dalam erti kata lain, biarpun sudah 15 tahun Indra melarikan diri dari rumah, ayahnya masih tetap mencari berita tentang dirinya. Indra kembali berbaik dengan Ilya dan cuba menunaikan hajat bapanya yang terakhir.

Afdlin Pegang Watak Jahat
Apakah perkara yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama?  Perkara pertama yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama ialah apabila Afdlin Shauki memegang watak jahat dan tidak menunjukkan wajah sebenarnya melainkan bertopeng, kostum dan solekan yang langsung tidak menunjukkan rupa sebenarnya. 

Rock 2 Filem Terakhir Lakonan Que Haidar?
Perkara yang kedua yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama ialah kemunculan semula Que Haidar selepas lama tidak berlakon. Que Haidar sebenarnya sudah mengumumkan persaraannya dalam bidang lakonan. Filem terakhir lakonannya ialah Rock 2 arahan Mamat Khalid.

Kenapa Que Haidar Tidak Mahu Promosi Filem Misteri Jalan Lama?
Perkara ketiga yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama ialah filem Misteri Jalan Lama sebenarnya sudah terperap sejak dua tahun lalu. Que Haidar juga dikatakan tidak berminat untuk mempromosikan filem Misteri Jalan Lama ini kerana ada satu babak yang tidak disenangi oleh Que Haidar.

Babak Seks Dalam Filem Misteri Jalan Lama Tidak Menyenangkan Penonton
Di dalam filem Misteri Jalan Lama ini terdapat satu adegan babak seks yang bertapis pada malam perkahwinan Ilya dan Sara di perkampungan Niyan. Pada mulanya ramai penonton berpendapat bahawa Ilya telah berzina dengan Sara, gadis Niyan, dengan dialog berbentuk sindiran yang keluar dari mulut Ilya "Semua orang kampung kat sini macam ni ke?" merujuk kepada perbuatan zina tanpa segan silu yang bakal dilakukan oleh Ilya dan Sara. Namun, selepas itu, ketika Ilya pergi bertemu Ratu Dewata untuk meminta maaf atas keterlanjurannya berzina dengan Sara, barulah Ilya sedar bahawa dia telah pun melalui majlis perkahwinan dengan Sara pada malam majlis kenduri yang diadakan oleh orang Niyan. Rupa-rupanya malam tersebut ialah malam perkahwinan antara Sara dengan Ilya.

Adakah Persamaan Antara Filem Misteri Jalan Lama dengan Filem Libas?
Memandangkan penggunaan CGI dalam filem Misteri Jalan Lama ialah teknologi sekitar dua tahun lalu, maka kelemahan teknik CGI yang kurang realistik, khususnya bahtera terbang yang mendarat di jalan raya, dan beberapa lagi kesan khas yang lain adalah setara dengan teknik CGI dalam filem Cicakman 2. Ini bukan satu masalah besar, namun babak Que Haidar terbang ke langit kelihatan agak kelakar kerana walaupun tidak ada tali, Que Haidar seolah-olah diangkat oleh sesuatu dalam keadaan tidak bersedia atau ragu-ragu.

Begitu juga kostum yang dipakai oleh Que Haidar menyebabkan penonton ketawa kerana babak-babak ini mengingatkan para penonton pada filem Power Ranger. Lakonan yang hebat dengan kesan khas janaan komputer yang kurang realistik menyebabkan saya teirngatkan filem Libas. Lakonan Rosyam Nor dalam filem Libas memang hebat, tetapi kesan khasnya kurang memuaskan. 

Babak beberapa orang halus tanpa wajah yang ketawa terbahak-bahak semasa menonton filem seram di sebuah gerai misteri juga tidak memuaskan. Kenapa mesti wajah mereka dikaburkan seperti ditapis?

Namun begitu, cuba imbas kembali watak beruang yang tidak realistik dalam Papadom. Adakah kostum beruang tersebut mencacatkan jalan cerita Papadom? Bagi yang serius tentang teknik CGI atau realistik dalam filem, pasti itu akan menjadi satu kritikan berat. Namun, hakikatnya filem-filem Afdlin Shauki tampak lebih mengutamakan mesej dan lakonan watak untuk menyampaikan mesej berbanding kesan khas, kostum dan sebagainya. Pedulikan tentang CGI, hayati mesej filem Misteri Jalan Lama. Layan!

Penamat Filem Penuh Persoalan
Filem Misteri Jalan Lama ditamatkan dengan pemergian Que Haidar atau Ilya bersama orang-orangnya untuk membuat persiapan bagi menghadapi serangan daripada orang-orang Harak pada kemudian hari. Sementara itu, Hans Isaac atau Indra pula berjalan kaki kerana keretanya telah dirampas oleh Botak sebagai bayaran hutangnya kerana kalah judi semasa Indra berjudi dengan Botak. Persoalan yang timbul ialah adakah Filem Misteri Jalan Lama ada sambungannya? Bagaimanakah kesudahan perang antara Ilya dan Harak? Adakah Indra betul-betul bebas dari cengkaman botak? Bagaimana pula dengan majlis pengkebumian ayah Indra? Adakah Indra akan menghadiri majlis tersebut? Adakah Que Haidar akan berlakon dalam sambungan filem Misteri Jalan Lama sekiranya ada sambungannya?

Kesimpulan yang dapat saya buat ialah Filem Misteri Jalan Lama sememangnya filem yang benar-benar misteri. Saksikan lakonan hebat Que Haidar, Hans Isaac, Vanidah Imran, Afdlin Shauki dan ramai lagi dalam filem Misteri Jalan Lama di panggung, dan jangkalah sendiri jawapan bagi setiap persoalan dalam filem ini.

Sinopsis: 
Sebuah kisah yang menakjubkan tentang dua dunia berbeza, namun berlandaskan kasih sayang. Dua beradik, Indra dan Ilya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka untuk urusan pengebumian ayah mereka, Iskandar. Indra adalah anak kandung Iskandar yang menjadi pelumba kereta profesional, tetapi kuat berjudi dan seringkali meminjam daripada ah long. Hidupnya kini diburu gangster. Manakala Ilya pula adalah anak angkat Iskandar yang diberikan oleh ‘seseorang’ ketika Iskandar melalui sebatang jalan lama 25 tahun dahulu. Ilya seorang anak yang baik, yang banyak membantu Iskandar membina kerjayanya. Iskandar juga sangat sayangkan Ilya. Ini jugalah yang menjadi punca ketidakpuasan hati Indra, lalu membawa diri jauh daripada keluarga. Pada hari kematian Iskandar, buat pertama kalinya selepas 15 tahun, Indra ke pejabat ayahnya untuk mengambil surat wasiat yang ditinggalkan untuknya. Indra diminta membawa Ilya pulang, kerana Ilya tidak tahu memandu. Ketika di lebuhraya, Indra dikejar oleh gangster. Lalu Indra mengambil keputusan menggunakan jalan lama. Ketika melalui jalan lama, tidak semena-mena mereka memasuki ‘dunia lain’. Pelbagai peristiwa pelik dialami mereka sepanjang berada di dunia tersebut. Daripada diganggu oleh makhluk mengerikan hinggalah kepada sesuatu yang mengasyikkan. Apakah akan terjadi kepada mereka berdua ? siapakah sebenarnya sebenarnya mereka ? Apakah yang terdapat di jalan lama tersebut ?

Misteri Jalan Lama 
Pengarah : Afdlin Shauki 
Syarikat Penerbit : Tayangan Unggul Sdn. Bhd. 
Bahasa : Bahasa Melayu 
Kategori : Filem Cereka 
Genre : Keluarga, Drama Klasifikasi : U - Untuk tontonan umum 
Tarikh Tayangan : 24 November 2011 
Audio : Surround Sound Format : 35mm 

Penulis: 
Afdlin Shauki : (Cerita Asal) 
Afdlin Shauki : (Lakon layar) 
Afdlin Shauki : (Scriptwriter) 

Lakonan: 
Que Haidar : Ilya (Pelakon Utama) 
Hans Isaac : Indra (Pelakon Utama) 
Datuk Ahmad Tamimi Siregar : Iskandar (Pelakon Utama) 
Vanidah Imran : Old Lady / Queen Devata (Pelakon Pembantu) 
Sabrina Mohammed Hassan : Sara ( Isteri Indra ) (Pelakon Pembantu) 
Namron : Botak (Pelakon Pembantu) 
Adam Corrie : Zak (Pelakon Pembantu) 
Sobri Anuar : Zaidi (Pelakon Pembantu) 
Afdlin Shauki : Harak (Pelakon Pembantu) 
Nasir Bilal Khan : Old Man / King Dewata (Pelakon Pembantu) 
Yalal Chin : Pemilik Gerai (Pelakon Pembantu)
Liyana Jasmay : Awek Botak (Pelakon Pembantu) 
Sufian Mohamed : (Pelakon Pembantu) 

Krew: 
Helmi Yusof : (Pengarah Fotografi) 
Pacai : (Muzik)
Azlan Suhaimi : (Jurukamera) 
Ahmad Reedzuan Rahmad : (Gaffer) 

Penerbit: 
Gayatri Su-Lin : (Penerbit Eksekutif) 
Noraini Ridzuan : (Penerbit Bersama)