BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 27, 2011

Ulasan Maharaja Lawak Mega Minggu 3 - Baru Selesai Menonton

Sebenarnya, saya baru sahaja selesai menonton Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-3. Memandangkan Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-4 sudah pun tersiar di Astro, maka ulasan yang bakal saya berikan untuk Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-3 ini mungkin agak terlambat atau sudah terlambat kerana ada peserta yang telah disingkirkan.

Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan sememangnya seorang tukang masak yang bukan sahaja mampu memasak masakan yang sedap-sedap tetapi mampu memasak para peserta Maharaja Lawak Mega dengan sedap sekali. Cukup masin mulut Chef Wan apabila berjaya mengagak pemergian kumpulan Maharaja Lawak Mega Anje pada minggu ke-3.

Adlin Aman Ramli Terus Berani Mati
Adlin Aman Ramli sememangnya seorang peserta Maharaja Lawak Mega yang berani mati. Beliau menggunakan hukum agama dan hukum talak sebagai bahan persembahannya. Bahan persembahan dan bahan lawak mungkin kedengaran sama tetapi jika diteliti, 'ceramah' agama yang disampaikan oleh Adlin Aman Ramli memiliki garis sempadan antara sensitiviti agama dengan fakta benar. Adlin Aman Ramli menyampaikan fakta tentang hukum agama tetapi watak ulama yang dibawa oleh Adlin Aman Ramli sememangnya satu isu.

Perkara seperti ini sebenarnya memerlukan kepakaran yang tinggi kerana Adlin Aman Ramli perlu memisahkan antara soal mempersendakan agama dengan kehormatan agama. Saya meneliti video Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-3 dan sememangnya saya rasa agak kurang senang melihat watak ulama yang ditampilkan oleh Adlin Aman Ramli. Seketika saya teringatkan pula kisah Bob Lokman yang diburu polis kerana beliau dikatakan memberi ceramah tanpa permit. Mungkin sekiranya Bob Lokman menyertai Maharaja Lawak Mega dan berbuat demikian, ini tidak akan jadi satu isu. 

Adakah Adlin Aman Ramli akan menjadi penakluk ala-ala Hitler, Pol Pot atau Khmer Rouge kerana cuba meluaskan jajahan takluknya menerusi cara yang boleh mencetuskan provokasi terhadap masyarakat? Persembahan Adlin Aman Ramli banyak menimbulkan isu keagamaan seperti 'haram' atau 'menyentuh sensitiviti agama'. Haram kerana menyerupai wanita, sensitif kerana berani berjenaka dengan menggunakan isu agama. Isu talak yang dicetuskan oleh Adlin Aman Ramli mungkin secara tidak sedar akan menyinggung perasaan atau menimbulkan kebimbangan atau rasa tidak senang bagi mana-mana pasangan yang telah bercerai, belum bercerai atau hampir bercerai. Pandangan Chef Wan supaya Adlin Aman Ramli tidak lagi menjadikan hukum agama sebagai bahan persembahan sememangnya tepat. Bak kata Sobri dan Bob Kuman, malam ini kita tengok siapa kena kongkang.

Boboi Konsisten
Kumpulan Maharaja Lawak Mega Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik yang merupakan Presiden SENIMAN, sememangnya sentiasa unggul dalam persembahannya. Dua tokoh seniman ini berjaya menarik perhatian penonton. Kumpulan Maharaja Lawak Mega turut mengambil peluang ini untuk mempromosikan filem Misteri Jalan Lama. Kehebatan watak Boboi yang dilakonkan oleh Harun Salim Bachik bukan sekadar pada pembawaan wataknya tetapi juga pemakaiannya. Untuk memastikan watak Boboi kelihatan seperti kanak-kanak, Harun Salim Bachik menggunakan teknik menipu mata dengan mengangkat seluarnya ke paras atas pusat supaya badannya kelihatan lebih kecil. Taktik ini sememangnya menjadi.

Osbon Perlu Lebih Peka Dengan Kehendak Penonton
Kumpulan Maharaja Lawak Mega Osbon yang diwakili oleh Mr. Os dan Abon pada minggu ketiga masih menggunakan lawak berunsurkan definisi atau perkataan. Orang Beruk dan Beruk Orang merupakan dua kata kunci penting dalam lawak mereka. Penampilan Osbon dikatakan sangat bagus pada minggu ke-4, saya belum dapat menonton Maharaja Lawak Mega Minggu Ke-4, oleh itu saya tidak mahu komen kumpulan Osbon dengan lebih lanjut.

Jalil Hamid - Otai Lawak Yang Tercabar
Jalil Hamid selaku salah seorang daripada dua peserta tunggal dalam Maharaja Lawak Mega mula merasai bahang cabaran pertandingan. Kritikan yang diterimanya pada minggu ke-2 yang lalu, menyebabkan Jalil Hamid kini bangkit sebagai penanding. Masa sememangnya batasan hebat dalam Maharaja Lawak Mega. Kemunculan AC Mizal sebagai pengacara kadangkala kelihatan cacat di mata para penonton tetapi itu sememangnya tugas AC Mizal untuk memastikan peserta-peserta Maharaja Lawak Mega tidak membuat persembahan melebihi masa yang ditetapkan sehingga menjejaskan jadual waktu rancangan program televisyen Astro yang lain.

Persembahan Bawel Power Mampu Cetus Tekanan Darah Tinggi
Kumpulan Maharaja Lawak Mega Bawal Power sebenarnya merupakan nama restoran Bob Kuman. Lakonan Bob Kuman dan Sobri kali ini kelihatan agak tegang. Watak pesakit mental yang dibawakan oleh Sobri menjadi dan penonton kadangkala berada dalam dilema sama ada mahu gelak atau mahu tercengang. Bob Kuman juga kelihatan tercungap-cungap dan kelihatannya seperti mahu rebah ke bumi. Kesungguhan Bob Kuman memang menambat hati.

PIMAI Mantap!
Kumpulan Maharaja Lawak Mega PIMAI pula sekali lagi mempamerkan aksi lawak yang hebat. Watak-watak nostalgia Sam dalam Sitcom 2+1 masih diteruskan oleh Imuda. Satthiya seperti biasa tetap seorang lagenda lawak. Mat Over kali ini nampak semakin aktif melawak. Ini petanda yang bagus untuk Kumpulan Maharaja Lawak Mega PIMAI. Salah sebuah kumpulan kegemaran saya dalam Maharaja Lawak Mega.

HIRO Bijak Menyampaikan Mesej Tersirat
Kumpulan Maharaja Lawak Mega HIRO yang dianggotai oleh Ilya, Hamdan dan Ropie Cecupak tampak semakin serasi walaupun ketiadaan anggota asal kumpulan Senario iaitu Wahid. Kumpulan Maharaja Lawak Mega HIRO juga tidak kurang hebatnya apabila membawa tema rakyat tempatan yang menyamar sebagai warga Bangladeh atau warga asing untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia. Sememangnya ada mesej tersirat yang boleh dilihat menerusi karya sketsa Kumpulan Maharaja Lawak Mega HIRO ini. Kumpulan Maharaja Lawak Mega HIRO sebenarnya telah berjaya menjadikan rancangan Maharaja Lawak Mega untuk berkongsi pandangan mereka tentang nasib rakyat Malaysia yang menganggur pada ketika warga asing berpeluang mendapat pekerjaan di Malaysia. Saya pernah bertanya kepada satu keluarga pasangan seorang doktor di mana pendapatan sebulan pemandu rumah seorang warga Indonesia ialah RM6000 (enam ribu ringgit Malaysia) sebulan. Mengejutkan bukan? Betapa kayanya pekerjaan sebagai seorang pembantu rumah warga Indonesia di Malaysia.

3G Makin Menyengat
Kumpulan Maharaja Lawak Mega 3G juga semakin berjaya menghimpun peminat. Watak hantu yang mahu menghadiri uji bakat dengan pembaharuan tentang konsep Pocong yang terdedah kakinya berjaya menarik perhatian penonton. Nampaknya Maharaja Lawak Mega Ke-3 adalah permulaan bagi para peserta Maharaja Lawak Mega untuk mula serius bertanding. Tidak ada lagi main-main.

Syok Syok Sendiri?
Kumpulan Maharaja Lawak Mega Syok mungkin dikatakan sesetengah pihak sebagai syok sendiri. Aduh, pedas betul lontaran kritikan ini. Sememangnya ada kesan khas yang hebat yang digunakan oleh Kumpulan Maharaja Lawak Mega Syok tetapi aksi mereka mungkin kurang sesuai dengan budaya ketimuran atau budaya di Malaysia. Saya dapati lawak-lawak yang dibuat oleh para peserta dari Singapura kurang dapat diterima oleh penduduk tempatan. Lakonan anggota-anggota Kumpulan Maharaja Lawak Mega Syok sebenarnya sangat hebat. Saya mengakui kehebatan lakonan kumpulan Syok, tetapi kelemahan mereka adalah dalam menggubah karya mereka supaya dapat diterima oleh warga Malaysia. Kumpulan Maharaja Lawak Mega Syok sepatutnya menjadikan penyertaan mereka dalam Maharaja Lawak Mega ini sebagai peluang untuk mengkaji apakah jenis pasaran yang sesuai bagi seniman Singapura di Malaysia.

Saehu, Syok dan Bawel Berkomitmen Sebagai Penanding
Kumpulan Saehu pula tampil dengan lawak berkonsepkan guru dengan anak murid. Saya ingin memuji persembahan peserta-peserta dari luar negara seperti Syok, Bawel dan Saehu. Ketiga-tiga Kumpulan Maharaja Lawak Mega ini ternyata membuat persediaan yang cukup rapi dan serius semasa bertanding.

Begitulah ulasan ringkas yang dapat saya buat bagi peserta-peserta Maharaja Lawak Mega Minggu ke-3. Pada saat ini, sudah lewat malam, dan saya juga masih ada tugas yang perlu dilaksanakan pada pagi esoknya. Justeru, saya memohon diri untuk menangguhkan ulasan bagi rancangan Maharaja Lawak Mega, dan saya juga memohon maaf kepada semua pihak jiikalau ada mana-mana ulasan saya ini menyinggungkan perasaan. Sekian, beransur dulu.