BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 22, 2011

LEBIH SEJUTA JAWATAN KOSONG UNTUK DIISI RAKYAT MALAYSIA SEBELUM DITAWARKAN KEPADA PATI MENERUSI PROGRAM 6P

KENYATAAN MEDIA DATO’ ALWI IBRAHIM 
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen Kementerian Dalam Negeri 

LEBIH SEJUTA JAWATAN KOSONG UNTUK DIISI RAKYAT MALAYSIA SEBELUM DITAWARKAN KEPADA PATI MENERUSI PROGRAM 6P 
23 OGOS 2011 
  1. Lebih sejuta atau 1,051,427 jumlah keperluan tenaga kerja telah disenaraikan oleh lapan kementerian dan agensi berkaitan untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia sebelum bakinya diisi pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya, Program 6P. 
  2.  Daripada statistik tersebut, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyenaraikan jumlah keperluan paling tinggi iaitu 275,723 kekosongan; diikuti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (237,700); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (220,000); Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (165,000); Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (140,000); Kementerian Dalam Negeri (10,000); Kementerian Pelancongan (2,041); dan Kementerian Pengangkutan (963). 
  3. Statistik ini diperolehi hasil maklum balas semua kementerian dan agensi berkaitan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Mesyuarat Taklimat Proses Pemutihan Program 6P yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN semalam. 
  4. Kekosongan jawatan bagi lebih sejuta keperluan tenaga sumber ini membabitkan lima sektor utama yang dikenal pasti banyak menggunakan khidmat tenaga pekerja asing iaitu perkilangan, pembuatan, perladangan, pertanian dan pembinaan. 
  5. Susulan daripada itu, semua kekosongan berkenaan akan diiklankan di beberapa akhbar tempatan secara berperingkat-peringkat bermula Khamis ini, dan rakyat Malaysia khususnya yang masih menganggur digesa mengambil peluang tersebut, sekali gus menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada pekerja asing.
  6. Peringkat seterusnya ialah pemadanan antara permintaan keperluan majikan dengan senarai PATI yang berdaftar dengan Program 6P yang akan dibuat berdasarkan baki jumlah kekosongan tenaga kerja yang tidak diisi penduduk tempatan. 
  7. Sementara itu, jumlah pekerja asing sah dan PATI yang direkodkan sehingga 8.30 pagi ini (Selasa, 23 Ogos 2011) telah mencapai 2,210,235 orang. Daripada jumlah tersebut, 1,215,004 adalah PATI yang didaftarkan menerusi Program 6P yang telah dilanjutkan tempoh pendaftarannya kepada 31 Ogos 2011.
  8. Susulan lanjutan tersebut, KDN sekali lagi menggesa supaya semua PATI dan majikan mengambil kesempatan ini untuk keluar berdaftar kerana selepas 31 Ogos 2011, fasa program akan masuk kepada proses pemutihan. 
  9. Selain itu, KDN juga sekali lagi menegaskan bahawa tiada tangkapan akan dibuat terhadap PATI yang berdaftar dengan Program 6P.
Tamat/.