BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 22, 2011

IMIGRESEN BEROPERASI SETIAP HARI UNTUK PROSES PERMOHONAN PASPORT KETIKA CUTI SEKOLAH

KENYATAAN MEDIA

Y.BHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI

mengenai

IMIGRESEN BEROPERASI SETIAP HARI UNTUK PROSES PERMOHONAN PASPORT KETIKA CUTI SEKOLAH

21 NOVEMBER 2011
  1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensinya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang mengambil segala langkah perlu bagi menangani jumlah permohonan tinggi bagi kelulusan pasport yang kebiasaannya berlaku pada setiap cuti persekolahan hujung tahun.
  2. Hal ini berikutan jumlah permohonan pasport yang kebiasaannya naik mendadak berbanding tempoh biasa, khususnya bagi tiga lokasi kritikal iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  3. Pada November dan Disember tahun lalu (2010), sejumlah 131,582 permohonan pasport diuruskan pejabat JIM di tiga lokasi tersebut. Berdasarkan statistik, angka paling tinggi dicatatkan Selangor dengan rekod 69,301 permohonan; diikuti Kuala Lumpur, (49,232); dan Putrajaya (13,049).
  4. Sehubungan itu, bagi melancarkan urusan permohonan pasport yang dijangka meningkat berikutan cuti sekolah yang bermula hari ini, 21 November 2011, semua 12 pejabat cawangan di tiga lokasi ini akan beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Bagaimanapun, pejabat tidak akan dibuka pada cuti umum dan makluman akan dibuat menerusi hebahan di laman web JIM.
  5. Urusan permohonan ini boleh dibuat di mana-mana JIM Selangor cawangan Shah Alam, Subang, Pelabuhan Klang, Kajang, Sungai Pelik, dua di Kuala Selangor, Puchong dan Kuala Kubu Baru. Tiga lagi ialah di Presint 15, Putrajaya dan cawangan Jalan Duta serta Wangsa Maju di Kuala Lumpur.
  6. Bagaimanapun, untuk mengelak kesesakan dan tempoh menunggu yang lama, orang ramai dinasihat supaya tidak bertumpu kepada pejabat cawangan utama sahaja.

#####
Disediakan :
Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Putrajaya
No. Telefon : 03 – 8886 8000