BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 11, 2011

LONDON - Pelajar Malaysia Dipukul Perusuh - Disamun



Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, 20 (gambar atas), patah gigi dan cedera rahang selepas dipukul dan disamun sekumpulan perusuh di London, semalam. Gambar dirakam di Hospital Royal London. Turutan gambar di kanan dipetik dari YouTube menunjukkan:
  1. Asyraf terduduk selepas dipukul perusuh.
  2. Ketika Asyraf masih dalam keadaan kesakitan selepas diserang, seorang perusuh pura-pura cuba membantu Asyraf, manakala rakanya menyelongkar beg mangsa.
  3. Lelaki itu merampas dompet dan telefon bimbit Asyraf yang disimpan dalam begnya.
Pelajar patah gigi & cedera rahang diserang perusuh di London

Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, 20 (gambar atas), patah gigi dan cedera rahang selepas dipukul dan disamun sekumpulan perusuh di London, semalam.

Asyraf Haziq dalam perjalanan berbuka puasa disamun sekumpulan perusuh

LONDON: Seorang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli cedera diserang dan disamun sekumpulan belia lelaki yang terbabit dalam rusuhan di sini petang kelmarin.

Ketika kejadian, Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan MARA di Kolej Kaplan sedang menunggang basikal dengan rakannya untuk berbuka puasa di rumah rakan mereka. Beliau yang patah gigi dan bengkak pipinya dihantar ke Hospital Royal London untuk dibedah.

Kejadian berkenaan dirakam oleh orang awam dan video klip rakaman itu muncul dalam YouTube yang kemudian disiarkan oleh siaran berita Sky TV.

Rakaman itu menunjukkan Asyraf terduduk selepas diserang dengan mulutnya berdarah. Tidak lama selepas itu, sekumpulan pemuda datang membantunya sambil beberapa daripada mereka membuka beg yang dibawanya dan mencuri dompet serta telefon bimbitnya. Seorang pemuda kemudian dilihat meninggalkan tempat kejadian menunggang basikalnya.

Pengarah Mara di United Kingdom (UK), Dr Noorzaini Mohd Noor, berkata ibu bapa Asyraf sudah dimaklumkan kejadian itu dan pihaknya serta Jabatan Pelajar Malaysia di London sedang berusaha memindahkan pelajar yang tinggal di tempat dikenal pasti sebagai berbahaya diancam perusuh.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK, Datuk Zakaria Sulong, berkata setakat ini tidak ada pelajar atau rakyat Malaysia lain terbabit dalam rusuhan dan sudah menasihatkan mereka menjauhi tempat yang dianggap berbahaya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Disebabkan rusuhan cepat merebak, kita akan mengeluarkan arahan dan nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.
Seorang pegawai perhubungan polis di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, Nik Aziz Nik Razak juga sudah meninjau keadaan.

Rusuhan bermula di London tiga hari lalu selepas seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Tottenham, utara London dan merebak ke banyak bandar. Rusuhan turut berlaku di Bayswater yang menempatkan Malaysia Hall, tetapi hanya kejadian kecil berbanding di tempat lain.

Semalam, rusuhan menyaksikan kumpulan pemuda yang membakar dan mencuri, merebak ke bandar lain termasuk Birmingham, Liverpool. Bristol dan Manchester.

-Berita harian

LONDON 9 Ogos – Kota London yang selama ini dikenali sebagai bandar raya yang aman dan selamat untuk dikunjungi kini bertukar menjadi medan rusuhan, segala-galanya berpunca daripada insiden kecil seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis.

Gelombang keganasan dan kejadian mencuri yang sudah masuk hari ketiga di seluruh kota ini kini merebak pula ke tiga bandar raya utama lain di Britain, semalam.

Campur tangan pihak berkuasa masih gagal membendung kekacauan terburuk di negara ini sejak rusuhan kaum menyebabkan London terbakar pada 1980-an.

Sementara itu, seorang lelaki yang cedera akibat terkena tembakan semasa memandu ketika rusuhan di kota ini meninggal dunia di hospital semalam, menjadi korban pertama keganasan di London.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditemui cedera dengan kesan tembakan lewat Isnin lalu di Croydon, di selatan London di mana perusuh bertindak membakar banyak bangunan di bandar itu, kata pegawai polis Metropolitan London.

Polis sedang melancarkan siasatan berhubung pembunuhan itu.

Di London, gerombolan pemuda mengganas masuk malam ketiga berturut-turut semalam dengan bertindak membakar bangunan, kenderaan dan tong sampah, mencuri barangan kedai dan membaling botol serta mercun ke arah anggota polis.

Polis meminta bantuan tambahan ratusan anggota dan mengambil keputusan luar biasa untuk mengerahkan kereta perisai di beberapa daerah yang paling teruk dilanda keganasan.

Namun, mereka masih mengalami kesulitan untuk membendung huru-hara yang merebak di kawasan-kawasan panas di seluruh London, di bandar-bandar raya Birmingham, Bristol dan Liverpool.

Pihak berkuasa mengakui insiden-insiden baru keganasan di kawasan utama menyebabkan mereka tidak ‘menang tangan’.

“Keganasan yang kita saksikan tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana kehidupan orang ramai menjadi kacau-bilau disebabkan perbuatan samseng,” kata komander polis, Christine Jones.

Perkhidmatan Ambulans London merawat 16 mangsa rusuhan, 15 daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, manakala polis menangkap 334 orang dan mendakwa 69 lagi atas pelbagai kesalahan.

Tidak ada satu faktor yang dilihat menyatukan perusuh, walaupun sesetengahnya mendakwa mereka menentang potongan perbelanjaan kerajaan yang akan mengurangkan bayaran faedah kebajikan dan menghapuskan puluhan ribu jawatan sektor awam sehingga akhir 2015.

Sebahagian lagi dipercayai mengambil kesempatan untuk melakukan keganasan.

Kekacauan yang merebak itu menjadi amaran bagi penganjur Sukan Olimpik 2012 tentang kemungkinan berlakunya keganasan semasa temasya tersebut yang bakal berlangsung kurang setahun dari sekarang. – Agensi

Penuntut Malaysia Cedera Dibelasah dan Disamun Perusuh

Seorang penuntut Malaysia cedera dibelasah dan disamun sekumpulan remaja dalam kejadian rusuhan yang berlaku di London dan beberapa bandar di Britain.

Dalam kejadian yang berlaku di Barking, Timur London itu, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang patah tulang rahang dan gigi terpaksa dimasukkan ke Hospital Royal London.

Difahamkan ketika kejadian, penuntut bidang perakaunan berasal dari Ampang itu keluar bersama rakan-rakannya untuk membeli juadah berbuka puasa.

Visual Asyraf yang duduk sambil mengusap mulutnya yang berdarah dan dikelilingi lebih 10 remaja itu dimuat naik ke laman perkongsian video, YouTube hari ini di bawah tajuk ‘Heartless robbery in London riots!!!!

Video itu juga sempat merakamkan aksi seorang pemuda berkulit putih yang dengan selamba membuka beg galas Asyraf dan menyamunnya lalu berlalu tanpa sesiapa pun yang menegahnya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kelab-Kelab UMNO United Kingdom, Dzuhair Hanafiah berkata, Asyraf kini menjalani pembedahan membetulkan tulang rahang.

Menurut Dzuhair, Barking adalah salah satu kawasan tegang dan panas dalam beberapa siri rusuhan serta kekacauan sejak tiga hari lalu di London.

Katanya, Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) dan Kelab UMNO London kini berusaha memindahkan penuntut ke kawasan selamat.

Penuntut serta rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan menghubungi MSD di UK atau Kelab UMNO UK di info@umnolondon.com atau talian +447435644040.

-Utusan