BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Ogos 03, 2011

Bayar Zakat Dengan SMS Maxis

Bayar zakat melalui khidmat SMS Maxis
Sumber: KOSMO!

PELANGGAN Muslim penyedia perkhidmatan telekomunikasi bersepadu, Maxis Berhad (Maxis) kini boleh membayar zakat menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) di beberapa negeri terpilih iaitu Selangor, Melaka, Sabah, Kedah, Perlis, Pahang dan Terengganu.

Perkhidmatan yang dikenali mZakat Maxis itu wujud selepas syarikat itu dilantik menjadi ejen kutipan zakat fitrah bagi negeri berkenaan.


Dengan mZakat Maxis, pelanggan Muslim Maxis kini boleh memenuhi tuntutan agama supaya membayar zakat fitrah yang menjadi kewajipan pada setiap bulan Ramadan.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah berkata, mZakat Maxis terbuka kepada pelanggan prabayar atau pascabayar dan jumlahnya akan dicaj ke dalam bil telefon atau ditolak terus daripada baki kredit akaun prabayar mereka.


“Kemudahan tambahan ini membolehkan pelanggan memenuhi tuntutan agama. Ini adalah suatu penyelesaian yang berkesan kepada masalah kekurangan masa untuk ke kaunter pungutan zakat atau mungkin juga bagi mereka yang biasanya menunggu saat akhir untuk menunaikan kewajipan itu.


“Ia juga sangat berguna kepada orang kelainan upaya (OKU) yang tidak perlu bergegas ke kaunter zakat, malah proses transaksi pembayaran mengambil masa kurang lima minit,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Pelanggan boleh membuat bayaran dengan hanya menaip mesej FITRAH (nama negeri) dan hantar ke 22032. Pelanggan kemudian perlu memberikan maklumat terperinci seperti nama, nombor kad pengenalan dan bilangan orang yang hendak dibayar zakat fitrahnya.