BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 04, 2011

Anjung Singgah - Rumah Sementara Untuk Golongan Merempat dan TIdak Ada Rumah

‘Anjung Singgah’, Tiada Lagi Yang Merempat
Anjung Singgah - Rumah Sementara Untuk Golongan Merempat
dan Tidak Ada Rumah


Bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) mengambil inisiatif menyediakan rumah bagi golongan gelandangan yang dikenali sebagai Anjung Singgah.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Anjung Singgah diwujudkan selepas mengambil kira pelbagai maklum balas daripada orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan rumah sementara supaya golongan itu mendapat perlindungan sewajarnya.

“Anjung Singgah menyediakan perkhidmatan secara holistik yang dapat membantu golongan ini daripada segi pendaftaran, penyediaan khidmat bantuan untuk mendapat peluang pekerjaan, kemudahan perumahan, kaunseling dan bantuan kebajikan kepada mereka yang layak.

“Bagi memantapkan proses intervensi, kemudahan tempat penginapan untuk tempoh seminggu hingga dua minggu disediakan dalam usaha untuk membantu mereka berdikari dan mencari pekerjaan serta mendapatkan tempat penginapan sesuai,” katanya pada sidang media penubuhan Anjung Singgah, Pusat Sehenti Intervensi bagi menangani isu gelandangan di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Timbalan Ketua Setiausaha KPWKM, Harjeet Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd.

Pusat Sehenti yang bertempat di Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu ditadbir YKN di bawah Projek Kemasyarakatan KPWKM di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi isi rumah berpendapatan rendah (NKRA-LIH).

Ia turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti bilik kaunseling dan bilik penginapan lelaki serta wanita yang boleh menempatkan 76 orang gelandangan pada satu-satu masa dan mula beroperasi 7 April ini.

Shahrizat berkata, bagi penempatan pekerjaan untuk orang gelandangan yang berdaftar di Anjung Singgah, KPWKM turut bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan sesuai. Bagaimanapun, beliau juga tidak menafikan terdapat segelintir golongan gelandangan yang kembali ke kehidupan asal selepas dibantu kerajaan.

No. Telefon Anjung Singgah :
03-2616 5600.

Alamat dan Cara Pergi Anjung Singgah :
Bangunan Ehsan,
Jalan Hang Lekiu ,
Kuala Lumpur

Anjung Singgah mula beroperasi : 9 April 2011