BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Julai 26, 2011

‘Redback’ Bakal Jadi Pengganti Dolar, Euro

‘Redback’ Bakal Jadi Pengganti Dolar, Euro

Renminbi mampu mencatat jumlah dagangan mata wang tertinggi di dunia jika ia digunakan sebagai penyelesaian perdagangan, sekali gus bakal memberi persaingan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dan euro.

Ketua Perancangan dan Strategi Perniagaan The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Ltd. Hong Kong, Thomas Poon meramalkan penggunaan Renminbi atau kini dipanggil Redback digunakan sebagai penyelesaian boleh tukar dalam tempoh empat atau lima tahun lagi atau selewat-lewatnya pada tahun 2020.

Katanya, oleh sebab, China kini merupakan kuasa kedua terbesar dalam ekonomi dunia, sewajarnya penggunaan Renminbi diberi pertimbangan oleh negara-negara yang menjalinkan hubungan dagangan.

Beliau berkata, penggunaan Renminbi dalam penyelesaian dagangan kepada perniagaan mampu mengurangkan kos transaksi penggunaan mata wang pihak ketiga (dolar AS).

”Contohnya perdagangan China-Malaysia, mengapa perlunya menggunakan dolar AS sebagai transaksi.

”Bukankah ia lebih menguntungkan sekiranya penggunaan Renminbi kerana transaksi melibatkan antara China dan Malaysia sahaja,” katanya ketika ditemui selepas forum Activate Asia: Asean-China: Awakening of New Company anjuran HSBC Business di sini hari ini.

Tambahnya, ia bukan sahaja tidak terdedah kepada turun naik dolar AS sehingga terpaksa melindung nilai mata wang tersebut.

Poon berkata, sehingga hari ini penggunaan Renminbi telah menerima reaksi positif dalam dagangan dengan unjuran 56 peratus pengeksport dan pengimport menggunakan mata wang tersebut dalam transaksi pada 2011.

Malah, 17 negara-negara utama turut meningkatkan aktiviti dagangan menggunakan Renminbi pada tahun ini.

”Lebih separuh transaksi dagangan China yang bernilai AS$2 trilion (RM6 trilion) telah diselesaikan dalam Renminbi,” tambahnya.

Beliau berkata, Hong Kong pula dijangka menyelesaikan nilai dagangan yang mencecah RMB2.2 trilion (RM1.1 trilion) menjelang 2020.

Poon berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh perbankan antarabangsa itu mendapati 50 pelanggannya bersedia untuk menggunakan Renminbi sebagai penyelesaian perdagangan.

Manakala bakinya masih berhadapan dengan beberapa masalah yang membabitkan pembekal dan pembeli.

Berikutan itu, katanya, The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Ltd. akan mempergiatkan proses pendidikan mengenai kelebihan RMB meskipun usaha itu telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu.