BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Julai 30, 2011

KTMB Guna Koc Terpakai Jepun Mulai Awal Oktober

KTMB Guna Koc Terpakai Jepun Mulai Awal Oktober

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menjangka penumpang kereta api akan meningkat berikutan penggunaan 14 kos terpakai dari Jepun pada awal Oktober ini.

Pengurus Penyelenggaraan Stok Kereta KTMB Mahadi Aripin berkata koc berkenaan masih dalam keadaan yang amat baik dan KTMB tidak perlu mengeluarkan belanja untuk memperbaiki dalamannya.

“Bagi projek sumbangan ini, KTMB hanya menanggung kos pengangkutan laut bagi koc tersebut,” kata beliau kepada pemberita di kediaman duta Jepun di sini Rabu.

Beliau berkata koc berkenaan perlu diubah suai disebabkan oleh pelbagai standard teknikal antara sistem rel Malaysia dan Jepun tetapi kosnya lebih murah berbanding dengan membeli koc penumpang tambahan.

KTMB menerima koc kereta api disumbangkan oleh syarikat kereta api Jepun, Kyushu Railway Company dan West Jepun Railway Company, pada Disember tahun lepas.

Bagi memastikan operasi koc terpakai itu berjalan lancar, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) akan menghantar pakar kereta api Jepun untuk melatih petugas KTMB yang akan mengendalikan operasi koc itu.

Pakar berkenaan juga akan membantu KTMB berhubung aspek teknikal kerja ubah suai serta ujian dan penggunaan koc. Beberapa petugas KTMB juga akan menjalani program latihan di Jepun.

Koc berkenaan dijangka digunakan di sektor pantai timur KTMB sepanjang 723.17km antara Johor Baharu dan Tumpat di Kelantan.

Sumber: BERNAMA