BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Julai 25, 2011

Ibu Bapa Digalakkan Bawa Anak Jalani Ujian Genetik

Ibu bapa digalakkan membawa anak mereka menjalani ujian bagi mengesan lebih daripada 400 gangguan genetik yang dijalankan melalui ujian berasaskan tatasusunan mikro yang diperkenalkan buat pertama kali di Asia oleh Sengenics, sebuah syarikat bionexus Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sengenics Syed Izzuddin Al’Shahab berkata ujian itu yang mengikut standard Khidmat Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom, akan dijalankan ke atas kanak-kanak yang berumur seawal tiga bulan.

Bagaimanapun, ujian itu hanya boleh dijalankan atas rujukan doktor, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata ujian itu boleh mengesan lebih daripada 400 jenis gangguan terhadap kanak-kanak termasuk ketidakupayaan pembelajaran, kekurangan kuprum, sindrom down, gangguan mental, kanser keturunan dan autisme.

Penyakit-penyakit berkaitan dengan sindrom metabolik, fungsi jantung dan gangguan seksual seperti ketidaksuburan, boleh juga didiagnosis.

Syed Izzudin berkata ibu bapa yang mahu anak mereka menjalani ujian boleh membawa mereka berjumpa doktor untuk ujian darah yang mudah bagi mengumpul sampel DNA (Deoxyribonucleic Acid).

“Kami akan gunakan (sampel) untuk melakukan ujian genetik dan daripada ujian itu kita dapat mengetahui sama ada mereka (kanak-kanak itu) normal atau tidak,” katanya.

Ditanya mengenai kos untuk melakukan ujian tersebut, beliau berkata di Malaysia harga untuk melakukan ujian itu bermula dari RM2,800 hingga RM7,500 untuk satu sampel ujian yang dianggap murah berbanding di United Kingdom antara US$6,000 dan US$9,000.

Katanya keputusan penuh laporan diagnosis itu boleh diperoleh dalam tempoh empat minggu.

Sementara itu, Pengarah bersama Makmal Rujukan Genetik Kebangsaan NHS, United Kingdom, Dr John Crolla berkata pihaknya berharap teknologi baru itu akan dapat dilaksanakan di sini.