BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mei 03, 2011

Ulasan Filem SERU - Kisah Seram Di Lokasi Penggambaran Filem


Trailer Filem SERU

"Filem SERU memang sebuah filem seram yang hebat, jika ia dibikin khas dalam bentuk filem 3D, tentu kesannya ke atas penonton akan mencapai tahap seram magis! Saya menunggu filem SERU menembusi pasaran filem seram antarabangsa." - Amiene Rev.
Memandangkan filem SERU adalah sebuah filem yang amat menarik perhatian saya, maka saya menggunakan sedikit waktu saya untuk membuat sedikit ulasan mengenainya.

Jika anda pernah menonton filem Cloverfield, maka anda juga patut cuba tengok teknik rakaman yang sama dalam filem SERU. Filem SERU bukan berkenaan makhluk asing atau raksasa gergasi, filem SERU adalah berkenaan sekumpulan kru penggambaran filem yang dilanda kegemparan apabila mereka diserang oleh satu musibah yang menyeramkan.

Filem SERU membawa anda, bukan sahaja sebagai penonton, tetapi seolah-olah berada di dalam filem itu sendiri. Anda akan rasa seolah-olah diri anda diburu dan dikejar oleh pelbagai manusia yang dirasuk.

Filem ini memang sebuah filem seram Malaysia yang lain dari yang lain. Jika anda sudah biasa bermain permainan komputer first-person shooter seperti Half-Life, boleh kata begitulah keadaan anda apabila menonton filem ini.

Anda akan terbuai dengan jalan ceritanya, dan anda akan dihantui oleh perasaan takut, cemas, gelisah yang dilalui oleh para pelakonnya. Saya menggalakkan anda menonton filem SERU.

Adakah mereka bertiga ini pelakon utama? Adakah mereka bertiga juga akan terkorban?

PERSEDIAAN MENTAL bagi anda yang baru hendak menonton filem jenis ini, pastikan anda tidak muntah kerana filem ini bakal membawa anda masuk ke dunia filem, bukan lagi sekadar penonton biasa. Jika filem SERU dibuat dalam bentuk 3D, tentu kesannya sangat hebat!

Sinopsis Filem Seru

Cerita ini mengisahkan tentang sebuah syarikat produksi filem yang sedang membuat satu penggambaran filem seram. Semasa sesi penggambaran sedang berlangsung, pelbagai kejadian aneh seperti rasukan, dinding bertulisan darah, bekalan elektrik terganggu, lintasan bayang manusia dan sebagainya berlaku dan kemudian digemparkan lagi dengan kes-kes pembunuhan. Bermula dengan penolong pengarah (Sari) yang dirasuk semasa penggambaran sedang berlangsung, diikuti oleh jurumekap (Julia) yang rebah tidak sedarkan diri apabila bekalan elektrik terputus. Julia kemudiannya bangkit semula dalam keadaan yang menyeramkan dan terus menuju ke hutan dan menghilangkan diri.

Watak-watak mula berpecah. Kumpulan mana, atau individu, siapa yang akan selamat?

Jurukamera Sham dan Tony diarahkan ke hutan untuk mencari Julia. Pengarah (Sam) telah menghentikan penggambaran dan mengarahkan krew-krew pulang ke tempat khemas asas mereka untuk mengelakkan situasi menjadi lebih buruk. Penerbit (Lina) mengarahkan agar Sari dibawa mendapatkan rawatan di hospital.

Spoiler: Anda tidak perlu baca perenggan yang diwarna-putihkan di bawah ini jika anda mahukan lebih kejutan untuk filem SERU.

Selepas Sari dibawa pergi, satu demi satu pembunuhan berlaku yang menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal. Semua siri pembunuhan itu adalah disebabkan oleh sepasang suami isteri yang tidak dapat menerima kematian anak dan cucu mereka. Dan krew yang terlibat dalam penggambaran tersebut, terutamnaya Sari digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kembali anak dan cucu

Senarai Pelakon:

Sharnaaz, Cut Mutia, Azman Hassan, Nora Danish, Awal Ashaari, Pierre Andre, Qhaud, Dazrin, Murshid, Nabila, Nursyarifatun, Dewa Sapri, Mona Majid, Nisha Dirr, Along, Sufian.

Pengarah:

Ming Jin, Pierre Andre.

Tarikh Tayangan:

28 April 2011


Qhaud dari Akademi Fantasia turut memegang salah satu watak penting yang menambahkan lagi kerumitan teka-teki dalam filem SERU, sama ada dia akan terselamat atau tidak. Atau sama ada dialah hero terakhir dalam filem ini yang akan membawa bukti-bukti pembunuhan kepada pihak berkuasa?

Filem ini banyak bermain dengan teka-teki. Penonton akan terkejut dengan jawapan akhir filem ini. Siapakah yang akan hidup? Atau semuanya bakal mati? Sebuah filem seram Malaysia yang hebat untuk ditonton. Terdapat beberapa watak yang berkemungkinan akan selamat di dalam filem ini, mereka berpecah kepada beberapa kumpulan. Anda tentukan sendiri siapa yang akan terselamat dan siapa yang bakal mati.



ULASAN HARIAN METRO MENGENAI FILEM SERU
SEPANJANG bulan ini empat filem seram dipertaruhkan bermula dengan Di Larang Masuk pada 7 April diikuti Senjakala (14 April), Penunggu Istana (21 April) dan Seru (28 April).

Bagaimanapun, Seru berbeza dengan filem seram lain kerana mempertaruhkan filem berbentuk ‘Slasher Horror Movie’ yang masih baru di negara ini sekali gus menampilkan kelainan untuk menarik penonton ke pawagam tanah air.

Seru, terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Hanamia Services Sdn Bhd, menampilkan gandingan julung kalinya Pierre Andre dan Woo Ming Jin selaku pengarah lakon layar dan penulis skrip bersama filem ini.

Secara peribadi, Ming Jin mengakui peluang yang diberikan pihak TUSB untuk mengarahkan filem itu sangat berharga buatnya.


“Saya tidak berfikir panjang untuk menggalas tanggungjawab mengarahkan filem ini bersama Pierre. Idea asal untuk buat filem ini bermula apabila saya dan Pierre duduk bersama bagi menggarap filem berbentuk ‘slasher’ yang masih asing
di negara kita.

“Selepas mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak TUSB, barulah mereka bersetuju untuk menjadi penerbit filem ini. Pihak kami menjadikan filem Quarantine sebagai salah satu filem yang menjadi bahan rujukan untuk Seru,” katanya.

Pemegang jurusan filem dan produksi TV yang mengarahkan filem Salon (2005) dan filem pendek Love For Dog ini berkata, gandingannya dan Pierre dapat menghimpunkan idea yang lebih kreatif. Ming Jin lebih menitikberatkan aspek teknikal manakala Pierre lebih banyak kepada aspek lakonan.

Pierre yang mula diberi peluang sebagai pengarah melalui filem Jangan Tegur berkata, dia sudah lama menanti peluang untuk bekerjasama dengan Ming Jin dalam filem sejak dulu.

“Saya adalah peminat filem seram dan sudah lama menanti peluang buat filem seperti ini. Terus terang, Ming Jin adalah idola dan sifu saya dalam bidang pengarahan. Saya juga serasi bekerjasama dengannya dan bersedia untuk bekerjasama dengannya lagi selepas filem ini,” katanya.

Apapun, kata Pierre, pihaknya berdepan dengan cabaran besar untuk mengarahkan filem itu. Cabaran ialah filem ini tidak banyak ‘cut’ seperti karyanya yang lain dan turut membuat penampilan khas memegang watak Bob untuk satu babak saja.

“Pemilihan Sharnaaz selaku watak utama dalam Seru dicadangkan Ming Jin sendiri. Saya juga berpuashati dengan komitmen yang diberikannya dan semua pelakon lain yang juga bakat baru ditampilkan dalam cerita ini.

“Saya berharap filem ini berjaya dan hasilnya boleh dibanggakan sekali gus mewarnai bidang perfileman kita,” katanya.

Diminta komennya mengenai babak orang asli yang memuja roh orang sudah mati dan boleh menjejaskan sensitiviti masyarakat, tegas Pierre, cerita itu hanya rekaan semata-mata dan objektifnya juga untuk menghiburkan penonton.

“Cerita ini tiada kaitan dengan mana-mana suku kaum Orang Asli di luar sana. Pakaian yang dipakai mereka juga tidak menggambarkan mana-mana suku kaum Orang Asli di negara ini.

“Dari segi potongan Lembaga Penapis Filem (LPF) pula, hanya satu babak potong kepala yang tidak dapat kelulusan LPF,” katanya.

Filem membabitkan bajet RM1.48 juta ini menjalani penggambaran selama 20 hari
di beberapa lokasi menarik sekitar Hulu Langat dan Lanchang, Pahang.

Cerita ini bermula dengan berlatarkan lokasi penggambaran sebuah filem produksi Jangan Bernafas. Pelbagai kejadian aneh berlaku apabila salah seorang daripada kru terbabit dengan kejadian histeria. Sesi penggambaran diganggu dengan pelbagai rasukan. Satu demi satu kejadian aneh berlaku menyebabkan penggambaran terganggu.

Dalam semua kejadian, kamera penggambaran sempat merakamkan semua aksi dan kejadian aneh itu. Hanya kamera itu mampu menjawab segala persoalan apakah punca sebenar kejadian aneh berkenaan.

Pada mulanya kru terbabit dalam set ini menganggap ia adalah satu bentuk promosi untuk filem Jangan Bernafas. Namun kejadian menjadi lebih kritikal apabila satu demi satu kru terbabit dirasuk dan hilang.

Menampilkan Shaarnaz Ahmad sebagai pelakon utama (watak Jeff), filem ini turut dibantu barisan pelakon seperti Katija @ Kat (Lina), Cut Mutia (Julie) dan Nisha Dirr (Sari), Azman Hassan (Azman), Along Ezzendi (Sam), Sufian Mohamed (Sham), Qhaud AF (Tony), Dazrin Kamaruddin (Budi), Murshid Anak Wayang (Murshid), Nabila Dally (Ain), Nursharifatun Najwa (Ira), Dewa Sapri (Ungkai) dan Aida Yuamanja (Isteri Ungkai).

Turut membuat penampilan khas dalam filem ini ialah Awal Ashaari (Zed), Nora Danish (Yana) dan Pierre Andre (Bob) sendiri.

Filem Seru...’Serukan Namaku...bangkitkan jasadku’ mula menemui penonton
di 54 pawagam seluruh tanah air pada 28 April ini.


Seru terpilih ke FEFF ke-13
BELUMPUN menjengah pawagam tanah air, filem Seru sudah melakar sejarahnya tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia ke Far East Film Festival (FEFF) ke-13 yang berlangsung pada 29 April hingga 7 Mei ini di Udine, Itali.

Festival ini mempunyai objektif untuk meningkatkan kefahaman dan memberi penghargaan kepada karyawan filem Asia oleh masyarakat di Eropah dan Itali sendiri.

Kewujudan festival ini juga untuk menjadi medan terbaik buat karyawan Asia dan Eropah bertukar pandangan dan idea bagi meningkatkan kualiti filem mereka.

Selain Seru, filem terbitan TUSB yang turut terpilih ke festival ini ialah Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid. Selama 12 tahun, festival ini membawa filem popular Asia kepada penonton di Itali dan sebahagian Eropah