BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mei 31, 2011

Short Review - Karak - Ulasan Filem

FILEM KARAK - Mesej Bernas Daripada KRU untuk Umat Islam

"Filem Karak lebih fokus untuk menyedarkan orang ramai tentang pentingnya menghayati maksud ayat-ayat Al-Quran, berbeza dengan tema kebanyakan filem hantu seram yang sezaman dengannya yang lebih fokus kepada unsur seram. Sebuah filem seram yang berunsur teguran. Ini satu idea menarik dalam konsep filem seram." - Amiene Rev


Filem seram Karak dimulai dengan kisah seram sepasang suami isteri seperti yang pernah diceritakan di Blog Duke Amiene Rev pada tahun 2006. Rujuk pautan di bawah untuk versi Duke Amiene Rev:


Sekiranya anda pernah menonton filem Momok - Jangan Panggil Aku, maka anda mungkin akan lebih mesra dengan watak-watak hantu yang diceritakan di dalam filem Karak, antaranya kisah Volkswagen Kuning yang muncul tidak putus-putus mengganggu pemandu kereta di lebuh raya Karak pada waktu malam, kemunculan kanak-kanak lelaki yang menghalang jalan, kanak-kanak lelaki boleh berlari sepantas kereta bergerak, pontianak penunggu di tepi jalan dan seumpamanya.

Cerita Momok Jangan Panggil Aku lebih memanfaatkan filter filem dan solekan untuk mewujudkan keseraman, manakala filem Karak memanfaatkan teknologi imej janaan komputer (CGI - Computer Generated Image) untuk menghidupkan jalan ceritanya. Filem ini pada asasnya memuatkan unsur suspense tetapi tidak sampai ke kemuncaknya. Filem ini lebih kepada penyampaian mesej tentang sikap generasi hari ini.

“Saya buat cerita ini bukan untuk menakut-nakutkan orang tetapi ia memasukkan elemen intelektual. Saya percaya filem di bawah arahan Yusry ini tidak akan mengecewakan penonton,” jelas Norman KRU.

Dalam Filem Karak ini, beberapa mesej dan teguran dimuatkan, antaranya babak di mana salah seorang watak memakai kalung tanpa meminta izin, watak biadab salah seorang gadis seperti sudah dibantu tetapi masih mahu mengkritik budi orang, tidak tahu jaga adab dan mulut dan sebagainya.

Teguran yang paling hebat dalam filem Karak ialah mengenai umat Islam pada masa kini yang mengaku beragama Islam dan beriman tetapi pada masa yang sama melanggar batas-batas Islam secara terang-terangan. Filem ini banyak membicarakan tentang sifat fasik di kalangan umat Islam pada masa kini. Bakal ustazah yang kononnya menghafal ayat-ayat Al-Quran dan pernah menjadi Johan Membaca Al-Quran, tetapi membuka aurat, bersentuhan antara lelaki dan wanita secara bebas, tidak menunaikan solat. Pendek kata, filem Karak menyindir golongan yang mendapat A untuk subjek Pendidikan Islam atau keagamaan, tinggi ilmu agama tetapi sebenarnya langsung tidak menghayati apa yang telah dikuasai.

"Kenapa lari? Kata orang beriman..." antara dialog sindiran yang diucapkan dengan jelas menerusi watak salah satu hantu yang muncul dalam filem Karak.

Jika anda mengharapkan Filem Karak sebagai sebuah filem seram, mungkin ya. Namun bagi saya, filem Karak ialah sebuah filem yang mempunyai mesej yang cukup baik untuk menegur umat Islam, ketika dunia hiburan sedang rancak menayangkan filem-filem seram. Filem Karak menyelit di dalam di dunia hiburan berunsur seram untuk menyampaikan mesejnya. Sebuah karya yang kena pada masanya.

Percubaan KRU membawa ramai muka-muka baru dalam Filem Karak juga wajar dipuji. Jasa dan sumbangan KRU dalam mengangkat dunia hiburan tanah air dengan pelbagai idea baru dan pembaharuan merupakan sesuatu yang sentiasa menarik minat saya. Selamat menonton Filem Karak.