BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Mei 04, 2011

Insuran Kenderaan Perlindungan Am Pos Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa mengumumkan bahawa orang ramai boleh mendapatkan perlindungan kenderaan dari semua penginsurans am serta Pos Malaysia di seluruh negara serta merta.

Langkah ini adalah untuk memastikan semua pemandu mendapat akses kepada perlindungan kenderaan, kata BNM dalam satu kenyataan.

Semua penginsurans am bertanggungjawab untuk memberikan perlindungan kenderaan kepada semua pemandu termasuk 'kenderaan tersisih' yang kebanyakannya adalah kenderaan peribadi melebihi sepuluh tahun dan motorsikal yang ditaja jamin oleh Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP), kata BNM.

"Perlindungan kenderaan itu boleh ditaja jamin oleh penginsurans atau diberikan bagi pihak MMIP.

"Mulai sekarang, kenderaan tersisih akan dikenakan caj yang sama dengan kadar premium semasa dan tidak dikenakan caj tambahan yang dikenakan kepada kenderaan berisiko tinggi," jelas kenyataan itu lagi.

Kenderaan tersisih juga hanya diperlukan untuk menjalani pemeriksaan tahunan di Puspakom jika ia disahkan berisiko tinggi.

Bank Negara juga menghalang penginsurans daripada mendesak pelanggan mereka untuk membeli produk bukan kenderaan sebagai syarat jualan perlindungan kenderaan untuk memastikan hak pengguna dilindungi.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pembelian perlindungan kenderaan, BNM boleh dihubungi di talian 1-300-88-5465, katanya.

BNM berkata langkah ini adalah untuk memastikan orang ramai terus mendapat perlindungan kenderaan yang diperlukan dalam tempoh peralihan kepada Rangka Kerja Perlindungan Kenderaan Baharu.

Rangka kerja itu yang akan bermula pada Januari 2012 akan memberi penyelesaian menyeluruh kepada isu-isu pengstrukturan dalam sektor insurans motor dan takaful.

Bahagian pertama rangka kerja itu termasuk perlaksanaan langkah peningkatan keberkesanan terlaras untuk meningkatkan proses penyelesaian tuntutan keseluruhan, terutamanya bagi tuntutan kecederaan dan kematian.

Sementara itu, bahagian kedua adalah perlaksanaan pelarasan premium secara berperingkat sepanjang empat tahun.

Inisiatif ini adalah untuk memastikan orang ramai dan perniagaan boleh mendapat perlindungan kenderaan pada premium yang berpatutan dan supaya perniagaan insurans/takaful kenderaan berdaya maju pada jangka sederhana dan panjang.-BERNAMA