BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mei 31, 2011

Hari Belia Negara: 15,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan!

Hari Belia Negara: 15,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan!

PUTRAJAYA – Belia yang masih menganggur disaran merebut lebih 15,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 76 majikan dalam pameran pekerjaan sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 di sini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Sehubungan itu, beliau mahu golongan belia yang masih mencari pekerjaan supaya memanfaatkan Youth Jobs Fair yang diadakan selama tiga hari bermula semalam yang menawarkan gaji lumayan sehingga RM10,000.

Menurut beliau, dalam pameran itu terdapat majikan yang menawarkan sehingga 600 peluang pekerjaan.

“Sehubungan itu, belia perlu menggunakan peluang keemasan ini sebaik-baiknya. Setakat hari ini, sambutan yang diterima amat memberangsangkan,” katanya pada majlis pelancaran Youth Jobs Fair di sini hari ini.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 30 tawaran pekerjaan diisi yang kebanyakannya melibatkan lepasan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang baru menamatkan pengajian mereka.

“Kita amat prihatin dalam menyediakan peluang mencari pekerjaan kepada rakyat berbanding beberapa negara lain yang mengenakan bayaran untuk perkhidmatan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 470,000 permohonan pekerjaan diterima kementerian menerusi portal www.jobsmalaysia.gov.my yang terdiri daripada mereka yang pertama kali mencari pekerjaan atau yang ingin menukar pekerjaan.

Melalui pendekatan-pendekatan yang dilaksanakan kerajaan selama ini, kadar pengangguran di Malaysia masih berada di bawah paras 3.5 peratus yang diklasifikasikan sebagai negara ‘full employment’.

Sumber: MyNewsHub