BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, April 26, 2011

Tiada Pencemaran Radioaktif Di Malaysia Sehingga Kini - MOSTI

Sampel air hujan, air laut, air paip, dan tanah di beberapa kawasan di seluruh Malaysia, sehingga kini tidak menunjukkan sebarang pencemaran bahan radioaktif.

Pensampelan itu dijalankan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bermula 2 April lepas bertujuan memantau kemungkinan terdapat kesan pencemaran radioaktif.

"Sehingga hari ini, tiada sebarang pencemaran radioaktif dikesan di semua sampel," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu kenyataan hari Isnin.

Beliau berkata AELB akan meneruskan pengambilan sampel terutama sampel air laut di Kota Baharu, Kuala Terengganu, Kemaman, Kuantan, Mersing, Pasir Gudang, Kuching, Bintulu, Labuan, Kota Kinabalu, Kudat dan Sandakan setiap dua minggu.

Ongkili berkata kementerian itu melalui AELB, Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia bekerjasama dengan Malawakil Vienna, Malawakil Tokyo dan Kementerian Luar akan memantau secara aktif keadaan insiden nuklear di Jepun dan impaknya di negara ini.

Katanya pemantauan kesan pencemaran radioaktif itu dijalankan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi iaitu di Chuping, Ipoh, Senai, Kuantan, Sri Aman dan Kudat masih menunjukkan paras normal iaitu selamat untuk orang awam.

Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Portal (RPM) pula di empat lapangan terbang antarabangsa di Malaysia (Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Kuching) tidak mengesan sebarang pencemaran sehingga kini, katanya.

Maximus berkata pemeriksaan penumpang dan bagasi termasuk produk industri dari Jepun tidak diperlukan di Malaysia kerana bacaan ujian radioaktif yang dijalankan di lapangan terbang dan pelabuhan utama di Jepun didapati pada paras selamat iaitu kadar dedahan tidak membahayakan kesihatan.

Namun demikian, sekiranya pihak industri masih memerlukan pengesahan bebas kontaminasi dibuat atas produk yang diimport dari Jepun, boleh hubungi Agensi Nuklear Malaysia di talian 03-89251201/019-3877609 (En. Iberahim Ali) atau 03-89256270/019-3888031 (Dr Zulkifli Hashim).

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan perjalanan ke Jepun atau di dalam Jepun, boleh hubungi pegawai bertugas di Wisma Putra melalui talian 03-88874570/03-88892746 atau laman web www.kln.gov.my atau Malawakil Tokyo.

Untuk pertanyaan lain boleh merujuk kepada Pusat Maklumat Radiologi AELB melalui talian Hotline AELB 1-800-88-7999 atau melalui e-mel di MNR-Customer@aelb.gov.my.