BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, April 26, 2011

15 Jenis Makanan Tidak Sihat Dilarang Dijual Di Kantin Sekolah

15 Jenis Makanan Tidak Sihat Dilarang Dijual Di Kantin Sekolah

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan telah mencadangkan sebanyak 15 jenis makanan yang dikategori sebagai tidak sihat dilarang dijual di kantin sekolah. Makanan yang dikategorikan tidak sihat termasuklah mee segera, gula-gula, makanan berjeruk, makanan mengandungi perisa tiruan, makanan diproses seperti daging burger dan minuman berkarbonat.

Selaras dengan cadangan yang dijangka dimuktamadkan pada bulan depan, pihak kementerian telah mengenal pasti 60 makanan berkhasiat seperti nasi goreng, kuetiau sup dan mee sup untuk dijual oleh pengusaha kantin sekolah.

Kesemua cadangan makanan berkenaan terkandung dalam deraf Garis Panduan Penjualan Makanan di Sekolah yang akan dilaksanakan apabila diluluskan kelak.

Cadangan penjualan makanan berkhasiat itu penting kerana kajian yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2000 menunjukkan obesiti di kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun adalah 9.7 peratus manakala pada 2008 meningkat kepada 13.7 peratus.

"Kita turut mengupayakan guru-guru kesihatan di sekolah kerana kita (inspektor kesihatan dan pegawai kesihatan) tidak boleh selalu turun," kata Timbalan Menteri Kesihatan.