BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mac 15, 2011

Ulasan Filem Hikayat Merong Mahawangsa

Ulasan Filem Hikayat Merong Mahawangsa
Ulasan Filem oleh Amiene Rev (C) 2011

Filem Hikayat Merong Mahawangsa boleh dianggap sebagai salah sebuah filem termahal di Malaysia. Kos pembikinan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa ini ialah sebanyak RM8 juta dan setakat ini boleh dianggap sebagai filem termahal yang diterbitkan oleh KRU Studios. Namun nilai sebanyak RM8 juta itu tidak dianggap rugi memandangkan filem Hikayat Merong Mahawangsa kini sudah dipasarkan di 72 buah negara. Boleh dianggarkan pulangan keuntungannya juga adalah lumayan. Tambahan pula, filem Hikayat Merong Mahawangsa mendapat sambutan yang amat menggalakkan di panggung-panggung wayang tempatan sehingga jualan tiket sentiasa habis pada setiap tayangan. Filem Hikayat Merong Mahawangsa ini juga ditonton oleh pelbagai kaum dan bangsa, apatah lagi watak-watak penting dalam filem ini terdiri daripada pelbagai bangsa.

Memandangkan di Terengganu kurang orang India, maka 3 buah bas penuh dengan pelakon-pelakon tambahan berbangsa India dari Kuantan, Pahang telah dibawa untuk menjayakan babak pergaduhan di Goa. 2 ekor gajah dan 5 ekor kuda juga telah digunakan dalam babak di Goa.

Aksi-aksi pertarungan hebat dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa ini dirakamkan dengan kerjasama jurukamera khusus untuk aksi lagak ngeri yang dibawa khas dari Hong Kong. Para pelakon lagak ngeri untuk filem ini amat terkenal dan merupakan dari pasukan pelagak ngeri yang sama pernah digunakan untuk menjayakan aksi-aksi hebat dalam filem Hellboy 2 dan Rush Hour. Sementara itu, babak-babak CGI (Computer Generated Image) dalam filem ini adalah sekitar 2000 shot.

Lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa memang sangat menarik dan merangsang semangat. Seramai 105 orang pemain muzik Orchestra Antarabangsa telah dipilih untuk bermain di bawah pimpinan Malaysia Philharmonic.

Berikut adalah sedikit fakta tentang Filem Hikayat Merong Mahawangsa:
  • FILEM: Hikayat Merong Mahawangsa
  • ARAHAN: Yusry Abdul Halim
  • LAKONAN: Stephen Rahman Hughes, Jing Liu, Gavin Stenhouse, Craig Fong, Datuk Rahim Razali, Ummi Nazeera, Wan Hanafi Wan Su, Khir Rahman, Jehan Miskin, Mano Maniam
  • GENRE: Epik, aksi
  • DURASI: 1 jam 50 minit
  • TERBITAN & EDARAN: KRU Studios
  • TAYANGAN: 10 Mac 2011

Kematangan penggunaan CGI tampak semakin jelas dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa ini. Khir Rahman yang memegang watak Kamawas, anak murid kepada Taji (lakonan Wan Hanafi Wan Su) , seperti biasa memainkan watak antagonis dengan cukup baik, serta ungkapan dialog yang jelas dan bertenaga.

Walau bagaimana pun terdapat beberapa babak dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa yang kelihatan agak kebudak-budakan tetapi kelakar. Antara babak-babak tersebut ialah babak semasa Stephen Rahman Hughes (sebagai Merong Mahawangsa) menggunakan cermin untuk menghasilkan sinar seolan-olah laser ke arah tentera lanun di lautan. Lakonan dan dialog para pelakon semasa babak ini berlangsung kelihatan agak janggal. Begitu juga dengan babak di mana Puteri China atau Puteri Meng (lakonan Jing Liu) yang memunculkan diri dengan membawa tangkal azimat Kamawas sambil terjerit-jerit riang mengatakan bahawa dia telah berjaya merampas tangkal azimat kebal Kawamas dianggap tidak begitu perlu.

Kontras, gred warna dan light exposure yang digunakan di dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa ini juga adakalanya tidak sesuai di mana terdapat visual beberapa babak kelihatan tidak jelas di layar perak.

Dari segi olahan skrip, filem ini telah diolah dengan agak baik. Watak asal burung garuda yang tersebut di dalam kitab hikayat asal telah digantikan dengan kumpulan lanun yang dikenali sebagai Garuda. Ini merupakan satu variasi yang baik.

Keupayaan orang-orang dahulu untuk berbahasa Inggeris agak mengagumkan. Stephen Rahman Hughes juga memainkan watak Merong Mahawangsa dengan sungguh hebat dan ikonik. Filem Hikayat Merong Mahawangsa bertuah kerana berjaya mendapatkan pelakon yang serba sempurna seperti Stephen Rahman Hughes yang memang sangat bertepatan dengan ciri-ciri watak hero dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini.

Filem Hikayat Merong Mahawangsa adalah sebuah filem epik CGI yang hebat di Malaysia. Satu kekurangan yang paling ketara dalam filem ini ialah kekurangan pelakon-pelakon pembantu dan pelakon-pelakon tambahan yang berpengalaman. Watak percintaan Puteri China dengan Putera dari Greek dikembangkan dengan baik, tetapi dialog-dialognya kedengaran agak terikat dengan skrip.

Apa pun pro dan kontra dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa ini, usaha semua pihak yang terlibat dalam penerbitan filem Hikayat Merong Mahawangsa ini patut dipuji. Terdapat banyak lagi karya-karya hikayat Melayu yang agung yang belum dipersembahkan ke layar perak seperti Hikayat Panji Semirang, Hikayat Malim Deman, Hikayat Si Miskin, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Indera Putera, Hikayat Indera Nata, Hikayat Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Bayan Budiman dan berpuluh-puluh hikayat Melayu lama yang belum divariasikan ke bentuk filem.

Menerusi Wikipedia telah dinyatakan bahawa:

Banyak hasil kesusteraan Melayu yang telah musnah ditelan zaman dan peperangan. Antara punca kemusnahan tulisan kesusteraan Melayu adalah seperti lenyapnya Kerajaan Seri Wijaya serta kedatangan agama Islam ke alam Melayu, yang membawa kepada lenyapnya segala naskah-naskah kesusasteraan Melayu yang berasal dari zaman Hindu dahulu.

Selain itu kerana istana raja ialah menjadi tempat perhimpunan buku-buku, kebanyakannya musnah binasa di makan api seperti dalam peristiwa kebakaran istana Sultan Mansor Shah seperti tersebut kesahnya di dalam buku Sejarah Melayu yang mengatakan bahawa dalam peristiwa itulah kerajaan daripada Sang Nila Utama telah dibakar.

Selain itu dengan kejatuhan kerajaan Melaka, banyak kehilangan naskah-naskah kesusasteraan lama Melayu apabila Kerajaan Melayu Melaka alah dilanggar oleh Feringgi banyak buku dan kitab yang musnah terbakar atau tenggelam bersama Flor De La Mar (Flower of the seas). Kapal laksamana Alfonso de Albuquerque dari Portugis yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh Tamiang dan Pasai pada Disember 1511 membawa banyak harta rampasan perang Melaka.

Selain itu berlaku juga kebakaran pada sebuah kapal yang bernama the Fame yang dalam pelayaran ke British. Dalam kebakaran itu turut musnah segala muatannya iaitu berbagai khazanah termasuklah perpustakaan lama Melayu yang telah di kumpulkan oleh tuan Raffles.

Menurut keterangan Abdullah Abdul Kadir Munshi dalam hikayatnya, nyatalah amat banyak perpustakaan lama Melayu yang telah musnah dalam kebakaran kapal the Fame itu. Ada pun perpustakaan lama melayu, iaitu kitab-kitab, hikayat-hikayat dan syair-syair yang musnah itu menurut Hikayat Abdullah penuh berisi di dalam tiga buah peti kulit panjang-panjang sedepa, diantaranya ada kira-kira tiga ratus buah buku-buku yang telah dijilid, tiada termasuk naskah-naskah yang belum berjilid, yang bercerai-berai, bergulung dan yang berhelai-helai. Selain dari itu ada lagi duah buah peti penuh berisi dengan surat-surat dan kitab-kitab Jawa, Bali dan Bugis dan tulisan-tulisan di atas daun lontar.

Sesungguhnya adalah terbukti bahawa segala khazanah yang telah musnah didalam kebakaran kapal the Fame itu amat tinggi nilainya kepada tuan Raffles, kerana ade tersebut di dalam buku yang bernama “ Raffles “ of Singapore karangan Reginald Coupland, mengatakan bahawa berbagai khazanah yang telah dikumpulkan oleh Raffles sebanyak muatan lebih sebuah kapal telah sudah pun dihantarkan ke England beberapa lama terdahulu daripada peristiwa kebakaran kapal the Fame itu, tetapi segala khazanah yang terpilih dan lebih-lebih di hargainya telah dikemudiankan oleh Raffles dengan tujuan ia sendiri hendak memerhatikan keselamatan khazanah-khazanah itu dalam pelayaran. Malangnya semuanya itu telah musnah, termasuklah segala naskah buku-buku, surat-surat, tulisan di daun-daun lontar dan sebainya yang telah di simpan kedalam peti-peti oleh Munshi Abdullah di Singapura itu serta beberapa banyak lagi khazanah-khazanah yang telah terkumpul dan dibawa daripada Bencoolen.
Keagungan Melayu pada zaman dahulu kala perlu dihebahkan agar menjadi contoh dan teladan kepada generasi kini yang tampak cenderung mengagung-agungkan budaya luar.