BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Januari 29, 2011

Raja Lawak 5 - Peserta Pilihan Amiene Rev

NAZMI - Mohd Nazmi Bin Md Isa yang berasal dari Sungai Besar, Selangor, memiliki semangat dan tenaga yang tinggi dan ini menarik perhatian penonton. Ada identiti dan trademark tersendiri. Lawaknya memiliki fokus dan berkait-kait. Lawaknya asli dan satu bentuk baru dalam Raja Lawak. Belum ada peserta yang didapati pernah memanfaatkan sepenuhnya lawak menggunakan perkataan seperti beliau. Beliau juga ada interaksi dengan penonton. Ini sesuai dengan status pelawak dan penghibur. Oleh itu, tidak syak lagi, beliau adalah pilihan pertama Amiene Rev. STATUS: Lulus pusingan ke-5.

R2 - Dianggotai oleh Rahim Bin Mat Ali dan Ridhzuan Bin Mat Ali. Rasanya kedua-dua mereka ini adalah adik beradik yang berasal dari Klang, sebab bin mereka sama. Kedua-dua peserta ini memiliki bakat berlakon yang baik. Lawak mereka nampak natural dan seolah-olah peristiwa itu adalah benar-benar berlaku. Kombinasi lawak dan lakonan menyebabkan mereka berdua menjadi pilihan Amiene Rev. Oleh sebab mereka berdua, markah mereka dibahagi dua, dan kumpulan R2 menjadi pilihan kedua Amiene Rev. Begini sudah boleh. STATUS: Lulus pusingan ke-5

ULASAN AMIENE REV MENGENAI RAJA LAWAK MUSIM KE-5:
RAJA LAWAK MUSIM KE-5, pertama kali sempat saya tonton pada minggu ke-5 kerana sebelum ini saya sering terlepas menontonnya kerana terlalu sibuk. Nampaknya peserta perempuan dalam Raja Lawak 5, iaitu KAMI sudah tersingkir pada minggu ke-2. Belum sempat melihat aksi mereka berdua. Lalu saya membuka Youtube.

Antara lawak-lawak yang saya suka ialah lawak si Nazmi, R2 dan Balas. Ahli kumpulan KopiO yang berkulit gelap tu unik dan ada potensi, tapi sayang sekali beliau tidak pandai memanfaatkan kelebihan beliau dengan skrip lawak yang hebat. Hal ini menyebabkan penampilan beliau tampak ada identiti tetapi tidak ada isi. Beliau mungkin sesuai sebagai pelakon, tetapi bukan sebagai pelawak. Begitu juga peserta yang bernama Epy, permainan mimik muka dan kening beliau memang paling hebat dalam Raja Lawak 5. Sekilas, Epy buatsaya teringatkan Man Belon.

Kumpulan Balas juga memiliki identiti sendiri. Bercakap dalam Bahasa Melayu, tetapi gaya sebutan orang asing. Lawak mereka konsisten. Peserta-peserta Raja Lawak yang lain boleh berjaya sama ada menerusi pencarian identiti yang baru dalam Raja Lawak, seperti Nazmi, atau persembahkan idea-idea lawak yang segar, bermesej dan kena pada tempatnya. Apa pun, prestasi peserta-peserta Raja Lawak Musim Ke-5
secara keseluruhannya didapati lebih memberangsangkan berbanding musim-musim sebelumnya. Setiap peserta didapati berjuang dengan tekad sendiri dan seronok dengan penyertaan mereka.

Apa yang menarik untuk Raja Lawak Musim Ke-5, tidak ada adegan dramatik atau simpati seperti yang telah berlaku dalam Raja Lawak yang sebelumnya. Penonton boleh menghiburkan diri menonton rancangan Raja Lawak pada musim ke-5 ini tanpa perlu berasa stres. Barisan juri yang dipilih juga hebat-hebat belaka.