BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Disember 12, 2010

Ulasan Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah

Poster Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah
Ulasan bergambar oleh Amiene Rev

Sinopsis Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah
Filem komedi seram Mamat Khalid kali ini lebih kepada sekuel kepada filem Zombi Kampung Pisang yang kelakar beberapa tahun lepas. Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah kali ini lebih banyak babak khusus untuk mengejutkan para penonton.

Kak Limah termenung di tangga rumah. Sungguh ayu!

Setelah lama bekerja di Singapura, Husin (lakonan Awie bekas vokalis Wings) mengambil keputusan untuk pulang ke Kampung Pisang. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Husin dihantui perasaan curiga apabila melihat Kak Limah, yang juga merupakan jiran di sebelah rumahnya, berkelakuan aneh dan menyeramkan, apatah lagi dengan rambutnya yang kusut dan mengerbang seperti pontianak lapar. Tidak cukup dengan itu, Husin juga dilanda beberapa kejadian yang amat misteri dan menakutkan.

Kenderaan beroda tiga yang turut berlakon.

Husin pun bergegas ke warung makan yang popular ketika itu, lalu membuka cerita kedai kopi mengenai Kak Limah. Abi Hurairah (lakonan Johan Raja Lawak) menyokong pandangan Husin kerana beliau juga pernah melihat Kak Limah dalam keadaan yang menyeramkan di kawasan perkuburan.

Kak Limah berkeliaran dan duduk di merata-rata tempat, menimbulkan kecurigaan kepada warga Kampung Pisang yang memang kecoh.

Orang-orang Kampung Pisang pasti tidak senang hati apabila melihat Cerita Seram Kak Limah yang sudah mula menghantui kampung. Sementara itu, ada seseorang yang tidak puas hati dengan Husin kerana memutuskan ikatan percintaan dengan seorang yang lain. Siapakah dia itu? Bab ini, kena lihat sendiri di panggung.

Babak menangis turut ada di dalam Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah bersubjekkan hantu dan bukan zombi
"Berbeza dengan zombi yang saya dapati agak sukar untuk penonton kaitkan dengan realiti kerana zombi bukan budaya Malaysia tetapi penonton masih suka dengan elemen kejutan yang diberikan, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pula sebuah filem anti tahyul dan subjek yang saya pilih adalah hantu. Kalau bercakap tentang hantu rasanya rakyat Malaysia sudah terbiasa kerana sejak kecil lagi kita disogokkan dengan cerita-cerita seram yang kita tidak pernah alami." - Mamat Khalid.

Para pelakon tersengih di set lakonan.

Pak Abu mencadangkan orang-orang Kampung Pisang agar pergi ke rumah Mak Limah untuk menyiasat perkara yang sebenarnya. Akhirnya terjawab sudah segala persoalan dan misteri, apabila mayat Kak Limah yang hampir reput telah ditemui di rumah Kak Limah.

Pemandu Bas yang sering membawa bas di Kampung Pisang.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah filem anti-tahyul
"Saya akui skrip filem Hantu Kak Limah Balik Rumah memang berunsur komedi tetapi ia bukan skrip kosong, semuanya berisi. Macam kisah tahyul, saya rasa ramai orang percayakan bomoh dan dalam filem ini saya tampilkan pelbagai jenis bomoh. Filem ini merupakan sebuah filem saya yang jujur dan disampaikan melalui komedi. Saya cuba menunjukkan bahawa masyarakat kita kuat dengan budaya tahyul. Walaupun sudah maju ke depan, namun tahyul masih menguasai pemikiran." - Mamat Khalid.


Mesyuarat wajib ada Penduduk Kampung Pisang.

Seperti biasa, penduduk Kampung Pisang akan bermesyuarat apabila berlaku kegemparan di Kampung Pisang. Seperti apa yang para penonton Zombi Kampung Pisang tahu, pasti akan ada dialog-dialog kelakar yang bakal diucapkan oleh penduduk-penduduk Kampung Pisang yang memang kelakar. Adakah Kampung Pisang benar-benar wujud di dunia realiti. Di Perak, memang ada kampung yang bernama Kampung Pisang.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah Ada Teguran Tersirat
"Selain itu, saya sentuh perihal masyarakat hari ini yang semakin bersikap penting diri dan pemikiran yang sukar diubah sebagai contoh watak lakonan Pekin, dia seorang bekas penagih dadah. Walaupun telah berjaya dia tetap dicap penagih dadah buat selama-lamanya tanpa masyarakat sekeliling pasti akan kebenarannya. Harapan saya penonton dapat menangkap dialog yang diselitkan yang menyentuh isu masyarakat. Terimalah dengan hati terbuka dan jangan marah sehingga mengganggu konsentrasi. Matlamat utama filem ini hanyalah untuk berhibur. Secara jujur saya sendiri lebih sukakan filem Hantu Kak Limah kerana durinya lebih tajam berbanding Zombi Kampung Pisang." - Mamat Khalid.

Bakooo!!! Bakoo!!! Bakooo rumah itu!!!

Jenazah Kak Limah selamat dikebumikan, tetapi Kampung Pisang tetap diganggu hantu. Pelbagai bomoh, dukun dan pawang dipanggil untuk menghalau hantu tetapi kesemuanya menemui jalan buntu. Hantu tetap datang mengganggu. Kenapa hantu masih terus mengganggu Kampung Pisang? Apakah cerita sebenarnya ini? Saksikan Hantu Kak Limah Balik Rumah di panggung untuk mencari jawapannya.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah Bukan Sekadar Filem Komedi Seram tetapi turut mengajak penonton berfikir.
"Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah untuk semua peringkat umur, bagi kanak-kanak saya ada selitkan lawak-lawak daripada segi perbuatan kerana mereka mungkin tidak faham dialog-dialog yang dilontarkan pelakon seperti seorang yang lumpuh boleh berlari laju sambil menjinjing kerusi rodanya hanya kerana takut hantu. Bagi penonton yang berusia 30 tahun ke atas, jika mereka tidak faham-faham juga setiap kritikan yang diselitkan, tidak tahulah nak cakap macam mana sebab saya buat dengan cara yang santai dan paling mudah difahami berbanding filem saya yang lain. Apa pun ia sebuah filem, kalau mereka datang menonton hanya untuk berhibur dan tidak mahu berfikir, saya faham." - Mamat Khalid.

Adakah ini Pocong Kak Limah?

Berikut adalah petikan dari Berita Harian:
“Filem Hantu Kak Limah Limah Balik Rumah mendapat kutipan RM330,000 pada hari pertama tayangan Khamis lalu. Kutipan filem ini meningkat pada hari kedua iaitu lebih RM800,000 menjadikan jumlah kutipan hampir RM1.2 juta dalam tempoh dua hari di pawagam.

Filem Hantu Kak Limah turut menampilkan Johan Raja Lawak.

“Kami menjangka filem ini akan mencapai kutipan melebihi RM4 juta,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Antara bomoh yang cuba menghalau hantu di Kampung Pisang.

Gayatri berkata, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah karya keempat Mamat Khalid bersama Tayangan Unggul Sdn Bhd selepas Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang dan Zombie Kampung Pisang.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah berdiri dengan jalan cerita yang tersendiri.
"Saya yakin orang yang pertama kali menontonnya pasti akan faham kerana filem ini berdiri sendiri, persamannya hanyalah latar filem dan karakter. Itu pun ada yang telah dikembangkan wataknya dan ada watak yang tiada langsung." - Mamat Khalid.

Poster Hantu Kak Limah Balik Rumah versi seram

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd adalah sekuel filem Zombie Kampung Pisang yang sebelum ini mendapat kutipan RM2.8 juta. Ia dibintangi pelakon handalan seperti Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Shy8, Avaa Vanja, Delimawati, Zami Ismail, Pekin dan Sofi Jikan.

Sekuel ketiga Zombi Kampung Pisang - pelengkap Zombi Kampung Pisang Ultimatum
"Selepas membikin Zombi Kampung Pisang saya menerima banyak kritikan, ada yang tidak suka solekannya, wataknya dan jalan cerita. Kalau jadi sekuel ketiga ini, apa yang kurang, saya baiki. Bagaimanapun, saya tidak boleh beritahu lagi apa pengisiannya kerana buat masa ini fokus adalah terhadap filem Hantu Kak Limah Balik Rumah." - Mamat Khalid.

Tahniah kepada krew penerbitan Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah!