BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Disember 06, 2010

Surat Pembaca - Kekasih Dirampas Kawan

Surat Kiriman Daripada Geem - Kawan yang dilamun cinta dengan kekasih
Saya mempunyai seorang kekasih dan kami berhajat ingin bertunang tidak lama lagi. Hubungan kami dirahsiakan kerana kekasih ialah seorang pemilik hotel dan anak kepada seorang jutawan.

Satu hari, saya dan kekasih makan bersama. Tiba-tiba, secara tidak sengaja, kawan karib saya ternampak kami makan bersama. Dia meminta no. telefon kekasih saya daripada saya. Saya memberinya kerana saya fikir dia cuma ingin berkenalan tetapi beberapa hari kemudian, kawan karib saya telah memberitahu kepada saya bahawa dia telah jatuh cinta kepada kekasih saya. Kekasih saya sudah mengetahui tentang hal ini, lalu dia menyuruh saya berterus-terang kepada kawan saya. Apa yang harus saya buat?

Jawapan Balas daripada Amiene Rev:
Berterus teranglah kepada kawan anda itu. Jika betul dia kawan karib anda, dia pasti akan menyimpan rahsia anda. Jika dia tidak mampu berbuat demikian, sesungguhnya dia adalah seorang yang bukan boleh dijadikan kawan. Atau, jika saudari orang yang baik, saudari mungkin juga boleh mengajak dia bermadu dengan saudari. Maklumlah di dunia ini bilangan lelaki semakin pupus, dan bilangan wanita semakin ramai berbanding lelaki. Sudah pasti jika nisbah lelaki:wanita ialah1:4, maka tentu jika seorang wanita berkahwin, maka yang 3 orang lagi kesunyian seumur hidup. Oleh sebab itu, bagi memberi keadilan kepada semua wanita, eloklah jika kekasih anda berkahwin dua. Sikap anda memberi nombor telefon bakal suami anda kepada kawan perempuan anda itu menunjukkan tanda-tanda anda membenarkan dia kahwin dua.

Ingatlah wahai saudari, suamilah yang akan menjadi pemimpin kepada isteri, yang akan membimbing dan menentukan hala tuju kehidupan mereka sebagai suami isteri. Hal ini Allah jelaskan dalam firman-Nya, “Kaum lelaki adalah pemimpin atas kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Oleh itu, sebarang keputusan yang saudari buat hendaklah dirujuk dan dibincangkan terlebih dahulu dengan suami atau bakal suami saudari. Jangan buat keputusan sendiri dengan melulu tanpa memikirkan baik buruk tindakan yang bakal saudari ambil itu. Berfikir sebelum buat, mencegah lebih baik daripada merawat. Semoga apa yang berlaku ke atas saudari ini menjadi teladan buat semua.


Sekarang ini, arahan bakal pemimpin saudari ialah berterus-terang kepada kawan baik saudari itu. Jadi patuhilah arahannya, berterus-teranglah kepada kawan baik saudari itu. Jangan pula saudari melakukan sesuatu yang lain, kelak kekasih saudari akan meninggalkan saudari pula kerana didapatinya saudari suka melakukan sesuatu tanpa berbincang dengannya, dan bila dia meminta saudari melakukan apa yang dipintanya, saudari pula masih terkial-kial untuk mematuhi arahannya. Ingatlah, tidak ada lelaki yang suka mencari perempuan degil yang tidak mendengar kata melainkan lelaki yang bodoh dan dayus sahaja. Saya percaya, saudari BUKANLAH perempuan degil yang suka membuat keputusan sendiri seperti itu. Semoga saudari tidak lagi mengulangi kesilapan lalu.

MORAL: Jangan beri nombor telefon kekasih atau bakal suami/isteri sendiri kepada kawan-kawan lain yang bukan muhrim dengan kekasih saudari jika niatnya untuk berkenalan. Minta izin dengan kekasih atau bakal suami anda sebelum menyebarkan nombor telefon kekasih anda itu.