BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, November 10, 2010

Ulasan Filem Death Place - Tai Hong Movie Review

Ulasan Filem Death Place - Tai Hong Movie Review with Movie Poster
Ulasan Filem Seram Thailand oleh Amiene Rev (C) 2010

"Sebuah filem seram yang bermain dengan elemen seram, jijik, kejam dan kelakar." - Amiene Rev

Ulasan dan Sinopsis Filem Death Place: 4 filem seram dan komedi seram
Bagi peminat filem seram Thailand seperti Phobia, Shutter dan seumpamanya, anda tentu akan dapat membiasakan diri dengan format filem ini.Mungkin anda juga akan ingat filem Skrip 7707 yang turut menggunakan format yang sama, di mana beberapa buah cerita seram pendek dicantumkan dalam satu filem. Filem Death Place atau Tai Hong ini adalah cantuman empat cerita seram dalam satu filem. Filem tersebut ialah The Blaze, Imprison, Revenge dan Haunted Motel.

Ulasan dan Sinopsis Filem Death Place: The Blaze (dengan poster) - 18 SG
Filem pendek The Blaze yang membawa maksud api yang sedang marak membakar mengisahkan sepasang kekasih yang terperangkap di dalam kebakaran semasa mereka berada di dalam sebuah kelab malam. Si lelaki, Arm berusaha keras untuk menyelamatkan kekasihnya, Pang namun penutupnya berakhir dengan tragedi. Jalan cerita The Blaze yang merupakan filem pendahuluan Death Place boleh dianggap filem yang agak serius dan menyedihkan dan skripnya agak bercelaru. Plot cerita yang berputar-belit untuk mengelirukan penonton. Teknik menakutkan penonton dengan cara mengejutkan penonton seperti video-video mengenakan pengguna internet telah digunakan di dalam filem ini.

Ulasan dan Sinopsis Filem Death Place: Imprison(dengan poster) - PG 13
Filem pendek Imprison yang bermaksud dipenjarakan adalah filem kedua yang sudah mula menukar jalan cerita dari seram ke jalan cerita kelakar yang tidak disengajakan. Penonton boleh merasakan diri mereka sedang cuba ditakut-takutkan pada beberapa babak akhir dalam cerita ini. Cerita ini mengisahkan seorang tahanan yang dipenjarakan selepas didapati melakukan kesalahan merogol dan membunuh seorang wanita. Menerusi filem ini, tahanan tersebut didera secara mental apabila dimasukkan ke dalam sebuah penjara yang baru kosong, di mana penghuni sebelumnya telah menemui ajal dengan cara membunuh diri. Kemunculan seorang lelaki berpakaian merah dengan dialog-dialog yang cuba menakutkan tahanan tersebut menjadikan cerita sebagai sebuah cerita yang cuba menakutkan penonton dengan elemen dialog. Penamatnya mungkin seram, tetapi gaya yang ditunjukkan oleh mayat pada babak akhir cerita ini menggelikan hati para penonton. Sebuah cerita pendek yang seram dan kelakar.


Ulasan dan Sinopsis Filem Death Place: Revenge (dengan poster) - PG 13
Filem pendek Revenge yang bermaksud dendam mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti filem seram Dark Water yang pernah diterbitkan di Korea dan dibuat semula di Barat. Berbeza dengan filem seram Dark Water, filem seram Revenge tidak menyimpan apa-apa rahsia. Kematian seorang gadis yang dibunuh dan disembunyikan oleh seorang pemuda bisu di dalam tangki air sudah didedahkan pada awal-awal lagi. Babak kelakar dalam filem Death Place semakin ketara menerusi filem pendek Revenge ini. Filem Revenge ini bukan sahaja seram dan kelakar, tetapi juga menjijikkan. Babak-babak seperti memakan nasi yang ditanak dan minum air paip busuk dari tangki mengandungi mayat reput sekali-sekala menimbulkan rasa kasihan penulis kepada orang awam yang tidak berdosa. Para penonton dinasihatkan untuk menghabiskan bertih jagung sebelum anda menonton filem ini. Filem ini memaparkan kezaliman seorang pemuda bisu yang telah menganiayai penduduk flat tersebut. Sungguh kasihan para penghuni flat tersebut kerana terpaksa menggunakan air mayat reput tanpa mereka sedari sehinggalah mereka menemui helaian rambut, jari, kulit dan kuku mayat mangsa yang dibunuh di dalam air minum dan makanan mereka!

Ulasan dan Sinopsis Filem Death Place: Haunted Motel (dengan poster) - 18 PL
Filem pendek Haunted Motel yang membawa maksud Motel Berhantu ditampilkan dalam gaya kelakar pada awal-awal lagi. Format ini sama seperti format yang pernah digunakan dalam filem Phobia 2, di mana babak terakhirnya mengandungi unsur seram, kejam dan kelakar. Filem ini mengisahkan dua orang pemuda yang melanggan seorang pelacur yang agak tua dan kelakar lalu diumpan oleh seorang wanita tua misteri untuk menyewa di sebuah motel yang telah diubahsuai menjadi motel VIP. Sekali lagi, plot-plot yang berputar-belit dipaparkan menerusi filem Haunted Motel. Para penonton ketawa berdekah-dekah menonton filem pendek Haunted Motel yang juga merupakan filem seram kelakar terakhir dalam filem seram Death Place. Kombinasi dua orang pemuda yang agak bodoh tentang seks, seorang pelacur tua pelawak yang kelakar dan seorang nenek tua tidak waras yang kejam dengan jalan cerita yang kelakar disadur dengan unsur seram melengkapkan filem Death Place ini sebagai filem yang mempersendakan kisah-kisah seram yang diadaptasi daripada kisah-kisah seram sebenar yang berlaku di sekitar Thailand. Mungkin filem Death Place ini merupakan sebuah filem seram parodi kisah-kisah seram sebenar.

NOTA: Orang Thailand memang rajin merekabentuk poster untuk filem-filem mereka. Adakah poster filem ini direkabentuk oleh orang-orang yang sama?