BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 23, 2010

Surat Pembaca - Pendam Perasaan Cinta Demi Kenalan

Surat kiriman daripada Azzu yang pendam perasaan terhadap kenalan:
Salam. Saya merupakan seorang remaja yang berusia 19 tahun dan masih menuntut dalam jurusan undang-undang di salah sebuah IPTA di selatan tanah air.

Saya mempunyai 2 orang kenalan lelaki. Salah seorang daripada mereka ialah teman sekolah saya dan seorang lagi merupakan teman semasa saya mengikuti satu kem selepas saya tamat SPM. Saya tahu mengenai perasaan 'teman sekolah' saya terhadap saya namun saya hanya menganggap dirinya sebagai kawan, tidak lebih dari itu. Tambahan pula, dia merupakan anak kepada guru saya.

Saya pula menyimpan perasaan terhadap 'teman kem', namun saya tidak pernah meluahkannya. Saya yakin yang 'teman kem' saya turut mempunyai perasaan yang sama namun dia pernah berkata yang dia serba salah dan sangat sayangkan persahabatannya dengan 'teman sekolah' saya itu memandangkan mereka bersahabat baik dan tinggal berjiran.

Jadi, di sini saya ingin meminta sedikit nasihat daripada Encik Amiene berkenaan masalah saya ini. Adakah saya patut terus memendam perasaan saya demi menjaga hati 'teman sekolah' saya itu? Atau berterus-terang adalah sebaik-baik penyelesaian? Please... thanxz! salam...

Nasihat Percintaan daripada Amiene Rev kepada Azzu:

Salam kembali, Azzu. Oleh kerana nasihatku telah kau pinta, maka di sini, biarlah aku membertanyakan sesuatu kepadamu, Azzu. Pertama, Azzu, adakah Azzu betul-betul sedar bahawa Azzu dan dua orang lelaki itu cuma berstatus kenalan, seperti yang Azzu sendiri nyatakan? Adalah amat pelik lagi menggemparkan pemikiran saya, apabila mengetahui Azzu sudah pun jatuh cinta terhadap salah seorang daripada mereka.

Kedua, bagaimana Azzu tahu perasaan cinta rakan sekolah Azzu itu terhadap Azzu? Adakah menerusi kuasa psikik, terus mata, jin, khadam atau menerusi pengakuannya sendiri atau melalui rakan kem Azzu itu sendiri?

Ketiga, sudahkah Azzu menonton cerita Sangam? Itu adalah sebuah cerita Hindi mengenai dua orang sahabat baik yang sama-sama mencintai seorang wanita. Kesudahannya mereka semua mati membunuh diri kerana cinta. Alangkah bodohnya kisah cinta seperti itu. Jadi, janganlah Azzu, rakan kem dan rakan sekolah Azzu meniru perbuatan yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam filem Sangam itu. Kahwin lari ke Siam juga tidak boleh!

Kesimpulannya, saya mempunyai satu cadangan buat Azzu. Buatlah solat istikharah, dan pintalah kepada Allah S.W.T mengenai apakah yang terbaik untuk Azzu. Ingatlah, solat istikharah ini adalah salah satu daripada keistimewaan terbaik anugerah Allah kepada orang-orang Muslim dalam membuat pilihan. Selamat berjaya dalam percintaan. Semoga kekal bahagia hingga ke anak cucu.