BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 04, 2010

RED - Retired Extremely Dangerous Review

RED - Apabila Pesara CIA Kembali Beraksi Melawan CIA Itu Sendiri
RED Movie Review - Ulasan Filem RED
Ulasan Oleh Amiene Rev

Genre: Aksi, Pengembaraan dan Komedi
Laman Web Rasmi: http://www.Red-TheMovie.com
Pengarah: Robert Schwentke
Para Pelakon: Bruce Willis, Morgan Freeman, John Malkovich, Helen Mirren, Karl Urban, Mary-Louise Parker

Sinopsis Filem RED
Filem RED didasarkan daripada novel grafik keluaran D.C Comics, karya Warren ellis dan Cully Hammer. RED merupakan sebuah filem sarat dengan aksi letup-meletup dan juga komedi yang dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Bruce Willis, Morgan Freeman, John Malkovich and Helen Mirren. Frank (Bruce Willis), Joe (Morgan Freeman), Marvin (John Malkovich) dan Victoria (Helen Mirren). Kesemua bintang-bintang ini merupakan bekas Agen Terbaik CIA. Namun, disebabkan rahsia terpendam yang diketahui oleh mereka menyebabkan mereka dilabelkan sebagai RED - Retired but Extremely Dangerous (Pesara Yang Masih Sangat Berbahaya).

Kesemua mereka yang sudah bersara dan berumur melebihi 50 tahun ini terpaksa hidup dalam keadaan penuh berbahaya selepas mereka menjadi buruan dan sasaran CIA itu sendiri. Bak kata, seperti buah kelapa, semakin tua semakin berminyak, mereka semua bergabung menjadi satu pasukan untuk menghapuskan pengkhianat sebenar di dalam CIA, yang juga merupakan salah seorang pemimpin dalam pucuk pimpinan tertinggi di negara Amerika.

Ulasan Amiene Rev:
Bruce Willis merupakan bintang filem aksi yang paling saya minati suatu ketika dahulu. Filem-filem beliau seperti Die Hard, Fifth Element, 12 Monkeys, Armageddon, Surrogates, The Sixth Sense, dan lain-lain filemnya merupakan filem kesukaan saya.

Seperti biasa, Bruce Willis akan tampil tenang dalam keadaan cemas bagi setiap babak-babak aksi yang dilakonkannya. Ini adalah identiti lakonan Bruce Willis yang hebat.

Watak-watak yang dicipta dalam filem ini juga menarik dan kelakar. Joe, pakar analisis CIA yang sudah berpencen, memiliki strategi yang menarik, manakala Marvin, orang tua yang tidak suka dipanggil orang tua yang sangat kelakar dan tampil dengan dialog-dialog keanak-anakkan yang menggelikan hati selain aksi-aksi spontannya yang juga membuatkan kebanyakan penonton tergelak.

Babak-babak menarik Marvin (John Malkovic) dalam filem RED ini termasuklah:
Babak rumah di dalam enjin kereta: Ramai orang ingat Marvin tinggal di dalam kereta, tetapi sebenarnya ada sesuatu di sebalik enjin kereta yang orang tidak tahu.

Babak Marvin berjaya mengesan atau menghidu bau perisik-perisik CIA yang lain dengan mudah: Marvin sudah mula curiga dengan kemunculan sebuah helikopter tetapi tidak diambil berat oleh Frank Moses (Bruce Willis). Marvin juga sudah menyedari kemunculan perisik-perisik yang menyamar sebagai orang biasa tetapi tidak disedari oleh Frank. Frank memarahi Marvin dan Marvin merajuk sambil memegang ekor patung bantal khinzir merah jambu kesayangannya.

Babak di mana Marvin memukul bom yang dilancarkan oleh seorang agen CIA seperti permainan bola lisut dengan pelancar grenade: Antara babak kelakar spontan di mana Marvin secara tepat mengembalikan bom tangan yang dilempar oleh seorang agen CIA kembali kepada agent CIA.

Babak di mana Marvin menembak tepat peluru roket yang sedang dilancarkan ke arahnya: Peluru ternyata lebih pantas daripada roket, apabila seorang agen CIA wanita menembak roket RPG ke arah beliau, beliau pun dengan tepatnya menembak ke arah roket tersebut dan menyebabkan kematian mudah seorang agen CIA.

Babak Marvin menyumbat hidungnya yang berdarah dengan kapas dalam usaha merampas sebuah ambulan: Hahaha! Satu kejutan yang sudah dijangka. Takkan orang itu mati dengan mudah. Siapa yang mati hidup semula?

Babak Marwin bersembunyi di dalam timbunan daun-daun kering di depan rumah Victoria: Hahaha! Sungguh kelakar!

Babak Marvin akhirnya berjaya juga melepaskan tembakan kepada orang yang tidak disukainya: Dalam satu babak, orang yang tidak disukai Marvin mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan Marvin bertanya kepada Frank dan Joe, sama ada dia boleh menembak lelaki itu sekarang. Dalam satu babak yang lain pula, orang itu sudah mati, dan Marvin melepaskan tembakan secara mengejut ke arah mayat orang itu sehingga mengejutkan Frank dan rakan-rakannya.

Victoria pula merupakan seorang pesara CIA yang hebat dan tampil garang. Beliau sering mengeluarkan kata-kata yang kedengarannya kejam, tetapi sebenarnya terisi maksud cinta yang dalam.

Filem ini kelihatan hebat apabila orang-orang tua yang sudah berpencen beraksi di medan pertempuran yang penuh dengan peluru, bom dan letupan dalam usaha mempertahankan diri mereka daripada menjadi mangsa penganiayaan dan juga dalam usaha menghapuskan pemimpin yang jahat yang berada di pucuk pimpinan Amerika.

Strategi-strategi yang tampil ringkas, aksi komedi dan kelakar pasti menarik perhatian penonton. Watak yang paling mencuit hati dalam filem ini pastikan watak Marvin lakonan
John Malkovich.