BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Oktober 29, 2010

Surat Pembaca - Peluang Menjadi Seorang Saintis atau Doktor

Surat kiriman daripada Aliya: Masihkah Ada Peluang Untuk Menjadi Seorang Saintis Atau Doktor
Saya adalah pelajar Form 4. Dulu masa saya Form 1, 2 dan 3 saya bersekolah di Sekolah Agama Menengah. Alhamdulillah, saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR iatu saya mendapat 8A 1B. B saya adalah Bahasa Inggeris.

Saya telah ditawarkan ke sekolah asrama iaitu Sekolah Agama Menengah Tinggi. Di sana saya telah mengambil aliran Sains Tulen Agama. Ini kerana saya bercita-cita untuk menjadi seorang saintis. Namun saya hanya dapat bertahan selama 2 minggu sahaja di Sekolah Agama Menengah Tinggi itu kerana saya langsung tidak faham apa yang diajar oleh guru sekolah itu sama ada untuk matapelajaran agama dan Bahasa Arab mahupun mata pelajaran teras.

Tapi saya pelik kerana saya boleh faham apa yang diajar oleh guru bagi matapelajaran biologi, kimia dan fizik. Saya tidak mahu masalah ini berterusan kerana saya banyak matapelajaran yang saya tidak boleh tangkap. Oleh itu, saya telah mengambil keputusan untuk tukar ke sekolah lain di mana sekolah itu mesti ada aliran sains tulen tapi saya tidak dapat mana- mana sekolah. Saya boleh tukar ke sekolah kebangsaan tapi saya tidak mahu kerana saya suka bersekolah di sekolah agama.

Oleh itu, saya telah pindah semula ke sekolah saya yang lama iaitu sekolah Agama Menengah dan di sana saya mengambil aliran sastera. Mata pelajaran yang saya ambil ialah Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris, Mathematics, Sciences, Sejarah, Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah, Pendidikan Syariat Islamiah, Prinsip Perakaunan dan Additional Mathematics.

Selepas beberapa bulan sehingga sekarang saya masih tidak tahu apakah cita-cita saya selepas saya telah tukar aliran sains kepada aliran sastera. Saya asyik tanya diri saya apakah cita-cita saya dan selalunya diri saya akan cakap saya mahu menjadi doktor atau saintis. Tapi kebiasaannya saya akan kata kepada diri saya yang saya tidak jadi doktor atau saintis kerana saya tidak mengambil aliran sains tulen. Di sini, saya ingin katakan masihkah saya ada peluang untuk menjadi doktor atau saintis dan saya ingin nyatakan bolehkah saya ambil jurusan sains di universiti.

Bolehkah saya ambil asasi sains di universiti untuk saya mencapai cita-cita saya. Saya harapkan saudara atau saudari dapat membantu saya dalam menghuraikan masalah saya. Masihkah saya ada peluang untuk menjadi seorang saintis atau doktor. Sekian, terima kasih.

Maklum balas daripada Amiene Rev:
Untuk menjadi seorang doktor, subjek biologi adalah satu kewajiban. Namun, di sini, perlu saya tegaskan bahawa bidang doktor adalah sangat luas. Subjek-subjek yang saudari ambil walau bagaimana pun lebih menjurus ke arah bidang perakaunan atau akauntan dan bidang perundangan atau peguam di mana subjek-subjek kemanusiaan mengisi senarai subjek yang saudari ambil.

Jika saudari mahu mengambil asasi sains, saudari akan berdepan dengan subjek-subjek yang serupa seperti aliran Sains Tulen di mana, peringkatnya adalah lebih tinggi untuk saudari. Saudari mungkin akan terbeban kerana tahap pembelajarannya adalah lebih mendalam berbanding tahap SPM.

Adalah sangat menghairankan apabila saudari meninggalkan aliran sains tulen sedangkan saudari kata saudari boleh faham subjek biologi, fizik dan kimia tetapi saudari bertukar ke aliran sastera. Jika perkara ini diaturkan oleh pihak sekolah, maka saya berpendapat saudari mungkin rasa saudari faham apa yang dicakapkan oleh guru di dalam kelas, tetapi saudari tidak menguasai subjek tersebut. Faham dan menguasai subjek adalah dua perkara berlainan. Namun, jika diteliti daripada rekod keputusan PMR saudari, saya rasa saudari sebenarnya layak ke bidang Sains Tulen.

Oleh kerana saya sendiri masih tidak jelas bagaimana saudari boleh bertukar ke bidang sastera, atas dorongan siapa, dan atas galakan siapa, saya sarankan saudari bertemu dengan kaunselor sekolah untuk membincangkan bidang yang sesuai dengan saudari.

Sekiranya minat sebagai doktor bagi saudari bermaksud minat untuk merawat pesakit atau membantu orang lain, maka saudari masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi, bimbingan dan kaunseling di mana elemen-elemen bercirikan doktor seperti merawat pesakit secara psikologi masih boleh dilakukan.